Thursday, 6 December 2012

Matrade Mahu Pengeluar Coklat Malaysia Tingkat Eksport Ke China


KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggalakkan pengeluar coklat Malaysia mengeksport produk ke China memandangkan perubahan gaya hidup dan peningkatan kuasa membeli telah membawa permintaan luar biasa bagi coklat import.

Dalam satu kenyataan hari ini, Matrade berkata China mengimport US$227.7 juta, atau 23.42 juta kilogram coklat dan produk coklat pada 2011, yang mewakili peningkatan sebanyak 44 peratus daripada tahun sebelumnya.


Cabang promosi perdagangan luar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata terdapat lebih 70 jenama coklat di China dengan coklat import dilihat sebagai mempunyai kualiti yang lebih tinggi.


Hampir 90 peratus daripada pasaran coklat di China kini dikuasai jenama asing seperti Dove, Ferrero, Cadbury, UHA, Meiji, Nestle, Hershey's dan Lindt & SprUngli, katanya.


Ia berkata empat jenama utama ialah Dove, Ferrero, Cadbury dan Le Conte yang secara kolektif menguasai hampir 70 peratus daripada bahagian pasaran.


Le Conte, merupakan jenama tempatan manakala yang lain diimport, katanya.


Menurut Matrade, coklat import di China untuk pasaran pertengahan dan mewah yang menghargai rasa baru, jenama antarabangsa serta berkualiti tinggi dan bahan-bahan yang sihat.


"Mereka membentuk segmen pengguna dengan kuasa beli yang tinggi yang mampu untuk membeli coklat lebih mahal.


"China mempunyai penduduk seramai 1.35 bilion dan pengambilan coklat tahunan sebanyak 270,000 tan," katanya.


Matrade berkata ia yakin bahawa Malaysia boleh meningkatkan lagi bahagian pasaran, untuk memenuhi segmen pasaran kelas pertengahan, yang merupakan segmen utama penduduk China.


Ia berkata semasa promosi baru-baru ini di cawangan Parkson di Beijing, coklat merupakan produk terlaris di antara produk makanan dan minuman Malaysia.


Coklat Malaysia dianggap mempunyai kualiti yang tinggi dalam bahan-bahan dan rasa tetapi memerlukan peningkatan dalam pembungkusan, katanya.


Matrade menasihatkan pengeluar coklat Malaysia yang ingin memasuki atau mengembangkan eksport mereka ke China supaya menghubungi pejabat di Beijing, Shanghai, Chengdu dan Guangzhou untuk bantuan dalam meneroka potensi pasaran yang besar.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Popular Posts