PUTRAJAYA - Bermula 1 Mac 2014, rakyat Malaysia yang ingin memohon pasport antarabangsa, penyambungan pasport dan gantian pasport tidak perlu lagi membawa gambar ke pejabat Imigresen.
Ini kerana Jabatan Imigresen menyediakan khidmat rakaman gambar secara percuma bagi memudahkan orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemudahan itu ditawarkan menerusi peruntukan Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan penambahan senjata api kepada Jabatan Imigresen bagi memantapkan lagi penguatkuasaan.

“Keperluan ini berdasarkan penambahan anggota dan pegawai. Kita hanya akan beri berdasarkan jawatan mereka dan kita akan tentukan integriti mereka supaya tidak berlaku penyalahgunaan.

“Kementerian akan pastikan bahawa senjata itu mestilah diberikan kepada mereka yang telah mendapat latihan terlebih dahulu.” katanya selepas merasmikan majlis Hari Imigresen 2013 di jabatan itu di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga telah melonggarkan sekatan visa bagi pelancong India dan China sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menurut beliau, pelancong India dan China akan diberikan visa semasa ketibaan (VOA) tetapi hanya untuk mereka yang memasuki Malaysia melalui negara ketiga.

"Buat masa ini, pemegang pasport India dan China perlu memohon visa untuk berkunjung ke Malaysia. Namun kita tidak akan berkompromi jika ada yang datang untuk menimbulkan masalah sosial atau tidak pulang (ke negara asal mereka),” katanya.

Malaysia memansuhkan kemudahan VOA kepada pelancong dari lapan negara termasuk China dan India pada 2010 kerana banyak berlaku penyalahgunaan.

Dilaporkan ribuan pelancong telah menyalahgunakan VOA yang diperkenalkan pada 2006 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2007 kerana berada di negara ini melebihi tempoh.

Ditanya mengenai langkah menjejaki pelancong yang tinggal melebihi tempoh, Ahmad Zahid berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan.