Sunday 13 March 2016

Mewarna kini hobi orang dewasa

Jenama-jenama terkenal dalam penghasilan pensel dan krayon warna seperti Stabilo, Staedtler dan Cana d’Ache mendapat permintaan tinggi sehingga 14 peratus berbanding sebelum ini.



Tatkala orang ramai sibuk dengan inovasi gajet-gajet terbaharu, menariknya kewujudan buku-buku mewarna yang direka khas untuk golongan dewasa telah menjadi fenomena masa kini.
Buku mewarna merupakan salah satu cara terbaik untuk menangani tekanan dan lari sebentar daripada dunia teknologi di samping menyerlahkan bakat terpendam masing-masing.
Namun, perkembangan trend tersebut menjadi kemusykilan dan tanda tanya besar kepada pembuat krayon dan pensel warna. Adakah trend itu kekal atau pun akan pudar mengikut peredaran masa?
“Setiap malam saya bermimpi dan memikirkan mengenai krayon,” kata Andreas Martin yang merupakan pengurus kilang pensel warna, Staedtler di Nuremberg, Jerman.
Staedtler pada awalnya merupakan perniagaan keluarga sehinggalah ia menjadi antara jenama terkenal dan mempunyai lebih 2,000 orang pekerja.
“Pensel warna sering mendapat permintaan tinggi dan lazimnya, kami menghasilkannya dalam kuantiti yang sama setiap tahun. Jika ada permintaan lebih, kami masih boleh melakukannya.
“Namun, dengan fenomena sekarang ini, dengan tiba-tiba kami seperti tidak cukup tangan untuk mengeluarkan pensel warna. Sungguh tidak dijangka,” ulasnya.
Fenomena
Di belakangnya, kelihatan sebuah mesin pembuat pensel warna mengeluarkan pensel kuning pada kadar 6,000 unit sejam manakala mesin seterusnya menghasilkan pensel oren.

Seorang pekerja kilang Staedtler di Jerman sedang memeriksa pemprosesan pensel berwarna.


Dalam seksyen lain, pensel dan krayon dalam kepelbagaian warna disusun dan dimasukkan ke dalam kotak, yang setiap satunya mempunyai 20 atau 36 batang.
Bungkusan kotak-kotak tersebut akan dieksport ke Amerika Syarikat (AS), Britain dan Korea Selatan.
Menurut Pengarah Staedtler, Axel Marx, ketiga-tiga negara tersebut merupakan negara utama yang menyaksikan fenomena mewarna bagi golongan dewasa.
“Di AS, sembilan jenis buku mewarna untuk golongan dewasa merupakan antara 20 produk terlaris dijual di Amazon," jelasnya.
“Fenomena tersebut kelihatan mula memasuki dunia Eropah sedikit demi sedikit,” kata Horst Brinkmann yang merupakan ketua pemasaran jenama Stabilo Schwan.
Kesemua jenama terkenal mengorak langkah dalam permainan tersebut. Stabilo telah melancarkan beberapa set krayon dan buku mewarna yang bermotifkan musim bunga.
Jenama Caran d’Ache dari Switzerland pula mengeluarkan beberapa buku mewarna yang berunsur pergunungan Alpine dan landskap musim sejuk.
Sementara itu, Brinkmann menjelaskan, keuntungan yang dicatatkan bagi krayon dan pensel warna Stabilo meningkat lebih 10 peratus. Jenama Staedtler juga tidak kurang hebatnya, ia meningkat sehingga 14 peratus.
“Perkembangan ini sangat menakjubkan walaupun kita berada dalam dunia serba teknologi.
“Namun, ia sebenarnya merisaukan kerana kita tidak tahu sampai bila fenomena ini bertahan.
“Kita perlu fikir tentang kejadian yang mungkin akan berlaku. Hal ini kerana trend tersebut boleh berubah pada bila-bila masa. Jadi, kita kena seimbang dalam proses pengeluaran,” jelas Martin.



Tambahnya, setakat ini, mereka masih mengikuti rutin yang sama. Martin juga memikirkan sama ada untuk menambah mesin-mesin baharu ataupun tidak.
“Jika pasaran mulai turun, kami masih boleh menggunkan mesin-mesin penghasilan pensel dan krayon warna untuk mengeluarkan produk lain,” jelasnya.
Persaing Stabilo dan Staedtler iaitu Caran d’Ache mengambil langkah yang berbeza malah mempumyai harapan tinggi terhadap trend mewarna itu.
“Kami mempertingkatkan pengeluaran produk dan menambah pekerja serta bekerja lebih masa,” kata Presidennya, Carole Hubscher.
Tambahnya, dia begitu yakin bahawa fenomena tersebut tidak akan pudar atau hilang. Jadi, adalah penting untuk pembuat krayon dan pensel warna untuk terus mengeluarkan produk-produk mereka. – AFP


Naik 50 kereta api dalam 15 hari



KETIKA musim sejuk di Itali, seorang anak muda terpaksa transit selama lima jam di stesen kereta api Grosseto sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya.
Dia yang tiba sejak pukul 12 tengah malam berasa gerun apabila mendapati dirinya bersendirian di tempat asing itu.
Gagal mendapatkan bantuan rakyat tempatan untuk mencari tempat berehat, pada suhu yang hampir mencecah 0 darjah Celsius dia membuat keputusan untuk menyorokkan bagasinya di sebuah kawasan semak.
Dia kemudiannya menyertai kumpulan gelandangan yang tidur di sekitar kawasan stesen kereta api tersebut.
Pengalaman itu merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh pengembara beg galas, Meor Farid Asyradi Meor Zahidi, 26, semasa kembaranya merentasi benua Eropah dengan menaiki kereta api.
“Walaupun kepenatan, saya tabahkan diri menanti ketibaan kereta api seterusnya. Dalam keadaan sedemikian, lima jam di Itali umpama lima hari lamanya.
“Ia merupakan pengalaman yang banyak mengajar saya untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan. Bagi saya cukuplah saya selamat sepanjang bersendirian di negara asing itu,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anak jati Sungai Siput, Perak itu juga merupakan penulis buku Travelog Mr. Traveller, sebuah naskhah perkongsian kembaranya di 15 buah negara dengan menaiki 50 kereta api selama 15 hari.
Dilahirkan pada 11 Mei 1990, minat mengembara pelajar Sarjana Sains Politik Islam juga di UM itu mula berputik selepas terlibat dalam program pertukaran pelajar di dua buah negara iaitu Mesir dan Korea Selatan.
Rentetan itu, dia yang juga merupakan seorang guru tuisyen dan moderator sambilan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk pergi melancong beg galas secara sendiri atau berkumpulan setiap kali cuti semester.
Kembaranya di benua Eropah dua tahun lalu merupakan perjalanan yang banyak memberi pengalaman bermakna sambil meluaskan pengetahuan tentang negara orang.

Buku Travelog Mr. Traveller telah dijual sebanyak 12,000 unit.


Seperti pengembara beg galas lain, Meor Farid Asyradi memulakan minatnya dengan mengembara di negara-negara jiran bagi menimba pengalaman berada di negara berbeza adat, bahasa dan kehidupan sosial sebelum merentas benua lain.
Markas
Putera kepada pasangan Meor Zahidi Meor Muhd. Tahir, 56, dan Masturah Meor Adnan, 55, itu memulakan kembaranya selama dua bulan di benua Eropah dengan menjadikan Sweden sebagai pusat utama dalam rancangan perjalanannya.
“Sweden umpama markas untuk kembara saya di Eropah. Di sana saya mempunyai seorang rakan. Kami berkenalan ketika sama-sama menguruskan program Sveriges Muslimska Akademiker (SMA-APIUM Summer Camp) yang diadakan di Akademi Pengajian Islam UM.
“Sebelum memulakan perjalanan menaiki kereta melalui 15 buah negara, saya meluangkan masa terlebih dahulu bersama rakan-rakan di Sweden dan melancong ke Britain selama seminggu,” ujarnya.
Tambah anak kedua daripada lima beradik itu, sebelum memulakan langkah untuk mengembara ke benua Eropah dia telah melakukan persiapan awal dengan membuat beberapa rujukan dan perancangan.
Antara persiapan awal Meor Farid Asyradi sebelum melakukan pengembaraan ialah merancang perjalanan, kewangan, mengkaji tentang budaya dan adat resam tempat yang ingin dikunjungi serta menghubungi rakan-rakan di beberapa buah negara di benua Eropah.
Pada masa sama dia turut melakukan beberapa perancangan tambahan sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga.
Khatam Quran
Menurutnya, perbelanjaan sepanjang dua bulan dia berada di sana hanya menelan belanja hampir RM7,000 termasuk tiket penerbangan ke Sweden dan tiket perjalanan 15 hari melalui 15 buah negara.

Antara koleksi gambar kenangan yang dirakam oleh Meor Farid Asyradi ketika mengembara di benua Eropah.


Walaupun jumlah itu kedengaran kurang munasabah, Meor Farid Asyradi telah membuktikan sebaliknya. Baginya pengembaraan yang dilakukan lebih untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
Antara kenangan lain yang tidak boleh dilupakan adalah rasa hiba apabila dapat mendengar semula azan Subuh berkumandang ketika merentasi sempadan negara Turki.
“Ia merupakan saat yang menyentuh perasaan apabila setelah hampir sebulan lebih saya tidak mendengar azan dilaungkan dari masjid. Ternyata masih ada syiar Islam yang berkembang di benua Eropah ini.
“Selain mengembara, saya juga meletakkan satu lagi sasaran utama iaitu ingin khatam al-Quran sepanjang dua bulan di Eropah kerana ia merupakan cara terbaik untuk membendung diri daripada terbelenggu maksiat ketika di negara orang,” jelasnya.
Tambah suami kepada Siti Syahidah Mohd. Samsudin, 26, selain itu dia juga tidak boleh melupakan saat getir ketika hampir menjadi mangsa peras ugut ketika berada di Romania. Saat itu Allah benar-benar melindungi dirinya dengan memberikan ilham untuk melepaskan diri.
Semua pengalaman yang dialami olehnya merupakan momen yang sangat berharga buatnya. Dia pada masa sama melihat pengalaman tersebut sebagai ilmu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.
Mahu berkongsi pengalaman dengan orang ramai tentang kembaranya di Eropah, pada April 2015, Meor Farid Asyradi telah menerbitkan buku Travelog Mr. Traveller, 25 Tahun-35 Negara-Niat-Minat dengan modal sendiri.
Tidak berniat untuk memperdagangkan pengalamannya, tanpa disangka tindakan menerbitkan buku travelog tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca.
“Pada awalnya saya tidak merancang untuk menerbitkan buku, namun akhirnya saya membuat keputusan untuk melakukan sedemikian setelah memikirkan ia boleh menjadi jalan dakwah saya menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
“Ia merupakan satu langkah berani dan saya mengambil masa selama tiga minggu untuk menggarap kandungan dan proses mencetak mengambil masa lebih kurang dua minggu,” ujarnya.
Berani
Setelah sembilan bulan berada di pasaran, buku terbitan Meor Farid Asyradi telah terjual sebanyak 12,000 unit.

Dengan sekeping tiket, Meor Farid Asyradi mengembara ke 15 negara dengan menaiki 50 buah kereta api selama 15 hari.


Kini buku yang merupakan cetakan kelima itu masih berada di pasaran serta telah dinobatkan sebagai salah satu antara 15 buku terlaris 2015 di sebuah kedai buku terkemuka Malaysia.
Bagi Meor Farid Asyradi, segala pencapaian yang dikecapi merupakan rezeki kurniaan Ilahi. Dia yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah selepas tamat pengajian sarjana memberitahu, aktiviti melancong dan penglibatan dalam bidang penulisan akan tetap diteruskan.
“Insya-Allah tahun ini saya akan menerbitkan sebuah lagi buku, Travelog Mr. Traveller: The Untold Story yang bakal memuatkan 50 kisah benar sepanjang pengalaman menjadi pengembara beg galas.
“Pada masa sama, saya juga merancang untuk membuka syarikat penerbitan sendiri bagi membantu dan membuka platform buat penulis muda lain memulakan karier dalam bidang penulisan,” jelasnya mengakhiri bicara.

Thiah pemilik suara Boboiboy

Bagi penggemar siri animasi Boboiboy, pasti tertanya-tanya siapa pemilik suara kartun superhero itu.

Jangan terkejut kerana di sebalik personaliti Boboiboy, dia adalah gadis berusia 17 tahun, Nurfathiah Diaz, 17.

Mula membabitkan diri sebagai pelakon suara sejak berusia tujuh tahun, Nurfathiah atau lebih mesra disapa Thiah tidak menyangka dia mampu bertahan sehingga sekarang.


“Saya meminjamkan suara bagi watak Upin dan Ipin sejak berumur tujuh sehingga 10 tahun.

“Selepas itu, saya meminjamkan suara untuk Boboiboy pada usia 12 tahun sehingga sekarang. Kiranya, tahun ini genap 10 tahun saya terbabit sebagai pelakon suara,” katanya.

Menurut Thiah, menjadi pelakon suara sama sekali tidak pernah terlintas di fikiran sebaliknya rezeki itu hadir secara kebetulan.

Namun, secara perlahan-lahan minatnya terhadap bidang itu mula bercambah sehingga menjadi pilihan penerbit syarikat animasi.

“Saya tidak pernah tahu wujudnya bidang ini. Bukan apa, sejak kecil lagi ketika menonton kartun saya sangkakan itu adalah suara mereka sendiri.

“Apabila diberi peluang melakonkan watak Upin dan Ipin serta Boboiboy, baru saya faham.

“Ternyata ia bukan semudah disangka kerana perlu berlakon dengan emosi yang betul mengikut skrip disediakan. Ada ketika untuk satu-satu babak mengambil masa yang lama,” katanya.

Sambung Thiah, dia masih bersekolah seperti biasa kerana poses rakaman suara dilakukan pada setiap Sabtu dan Ahad.

“Jika kebetulan ada perkara penting atau pembetulan, baru proses rakaman dijalankan pada hari biasa.
“Kebiasaannya setiap kali sesi mengambil masa enam jam membabitkan satu episod. Tetapi ia juga bergantung kepada durasi babak itu,” katanya.

Menerusi filem Boboiboy, Thiah mengambil masa dua tahun untuk merakamkan suaranya kerana proses pembikinan filem itu dilakukan secara berterusan.

Selepas filem itu mendapat sambutan menggalakkan peminat di Malaysia, Thiah tidak sabar bertemu peminatnya di Indonesia pada 13 April ini.

“Memandangkan siri ini turut ditayangkan di Indonesia, jadi tidak dinafikan ramai peminat saya dari sana.
“Sejak mereka mendapat tahu filem ini bakal ditayangkan di sana, setiap hari Instagram saya dihujani komen mereka tidak sabar mahu berjumpa saya,” katanya.

Insurans suara

Sepanjang sedekad pembabitannya sebagai pelakon suara, Thiah mengakui berasa seronok dan berbaloi.

“Alhamdulillah, soal bayaran memang berbaloi kerana pelakon suara tidak memerlukan tenaga yang banyak.
“Paling penting, saya dapat bekerjasama dengan pekerja kreatif yang menjayakan siri animasi ini. Bagi saya, ia pengalaman berharga yang orang lain belum tentu dapat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya itu, Thiah memberitahu dia tidak mengambil insurans suara, jauh sekali mengamalkan sebarang tip penjagaan suara.

“Bab makan saya tak ada pantang larang. Saya sama seperti remaja lain. Kalau kebetulan suara saya ada masalah, proses rakaman tidak dibuat.

“Kalau nak tahu, suara Boboiboy itu adalah suara sebenar saya. Berbanding kebanyakan pelakon suara lain, mereka boleh menukar jenis suara, tetapi tidak saya,” katanya.

Thiah berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran berapa lama berkhidmat sebagai pelakon suara.

Baginya, selagi ada rezeki dan permintaan, dia akan terus berkhidmat sebagai Boboiboy.

Thiah juga memasang impian mencuba bidang nyanyian dan pengacaraan.

“Sejak berada dalam bidang ini, saya teringin mengembangkan bakat sebagai pengacara. Malah, kalau diberi peluang menyanyi pun saya boleh.

“Cuma, kalau diminta berlakon awal-awal lagi saya menolak,” katanya.

Wajah Fotogenik Diana Danielle Tarik Minat Mawar Fareeda



SELEPAS Amyra Rosli, kini giliran model dan pelakon jelita Diana Danielle dilantik menjadi Faces of Fareeda untuk jenama tudung terkemuka di Malaysia, Fareeda.

Menganggapnya sebagai rezeki, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson ini mengakui bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam mempromosikan koleksi terbaru Fareeda, Sweet Love by Princess of Persia.

Pada masa sama, pelakon berusia 25 tahun ini mengakui cukup teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada Fareeda.
“Alhamdulillah, ia rezeki saya. Saya tidak teragak-agak untuk menerima tawaran ini  memandangkan saya pernah bekerjasama dengan Fareeda, sebelum ini.
“Lagipun, Fareeda sentiasa menghasilkan tudung yang berkualiti bahkan secara peribadinya, saya senang dan suka bekerja dengan individu yang bagus,” katanya.
Berbicara mengenai Sweet Love by Princess of Persia, Diana mengakui ada sedikit persamaan dengan koleksi terbaru tudung Fareeda itu.
“Konsep ‘love’ yang dimainkan ada persamaan dengan tanda tangan saya. Jadi saya sangat suka.
“Malah, ia ‘simple’, jelas dan mudah untuk dipakai. Koleksinya lebih kepada warna yang pelbagai malah cetakan ‘love’ juga membuatkan ia tampak menarik dan bersemangat buat si pemakai.
“Sebab itu, koleksi ini bukan hanya untuk golongan muda, sebaliknya turut bersesuaian bagi golongan berusia kerana ia bersifat umum,” katanya.
Ketika ditanya adakah pelantikannya sebagai Faces of Fareeda ada berkaitan dengan pertukaran imejnya nanti, Diana menjawab:
“Insya-ALLAH, doakanlah untuk saya. Mana tahu, suatu hari nanti saya akan bertukar imej.
“Sebagai seorang Islam, sudah tentu saya mahu menjadi insan yang terbaik dan saya juga perlahan-lahan sedang ke arah itu,” katanya.

Wajah Diana fotogenik

Sementara itu, Pengarah Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Mawar Abdul Karim berkata, pemilihan Diana sebagai Faces of Fareeda adalah kerana tertarik dengan keunikan wajah yang dimiliki oleh pelakon berkenaan.
“Wajahnya yang fotogenik dan ‘classy’ bersesuaian dengan koleksi terbaru yang bakal ditawarkan oleh Fareeda.
“Pada masa sama, kita juga masih menjalinkan kerjasama dengan Faces of Fareeda, sebelum ini,” katanya.
Kata wanita berusia 27 tahun ini lagi, jalinan kerjasama ini bertujuan untuk memperkenalkan koleksi terbaru dari Fareeda dan sekali gus memperkenalkannya kepada peminat.
“Sebenarnya, Fareeda dan Diana mempunyai golongan peminat berbeza.
“Jadi dengan adanya kerjasama sebegini, capaian kempen untuk peminat yang berbeza akan menjadi lebih meluas,” katanya.
Koleksi corak Sweet Love ini akan berada di Butik Fareeda Bandar Baru Bangi bermula 3 April ini.

Rumah Gelongsor

Rumah Gelongsor Yang Paling Cool Didunia.

 
Bukan rumah ini yang menggelonsor tapi dalam rumah ini terdapat gelongsor yang menghubungkan setiap tingkat. Kalau anda di tingkat 3 dan rasa malas nak turun tangga, anda boleh gelongsor sahaja untuk ke tingkat 2.

Rumah yang direka oleh Japanese Studio LEVEL Architect ini terletak di Meguro-ku, Jepun dan berkeluasan 1762 kaki persegi.Berikut foto-foto rumah yang mempunyai gelongsor:







Ustaz Diminta Untuk Mengubati Anjing Sakit




Jacobusseorang kanak-kanak papua berusia 10 tahun telah berlari menemui seorang ustaz, iaitu Ust. Abdu L Wahab, orang Jawa yang telah lama berdakwah di Papua.

Jacobus meminta Ust. Abdu L wahab untuk mengubati anjingnya yang sakit. Ustaz Abdu tersenyum dan mengiyakannya. Mereka berdua menuju rumah Jacobus.
Melihat anjing tersebut sedang duduk menampak tak bermaya, Ust. Abdu mengarahkan telapak tangannya ke arah anjing dan berkata dalam logat khas Jawa:
“Su, asu… angger kowen arep mati ya mati, angger arep urip ya waras!! (Jing, anjing… kalau kamu mau mati ya mati saja, kalau mau hidup sembuhlah!!)
Jacobus yang tidak tahu dan mengerti bahasa Jawa berpikir Ust. Abdu berdoa menggunakan bahasa Arab. Diam-diam Jacobus menghafalkan kata-kata yang dia kira mantra atau do’a itu. Setelah itu Ust. Abdu pun pulang.
Beberapa hari kemudian, Jacobus lari-lari ke rumah Ust. Abdu bermaksud untuk melaporkan anjingnya sudah sembuh.

Tapi malangnya Ust. Abdu diberitahu sedang sakit. Jacobus terkejut, dan menuju ke bilik ust. Abdu lalu mengarahkan telapak tangannya ke muka Ust. Abdu sambil membaca mantra:
“Su, asu, angger kowen arep mati ya mati, angger arep urip ya waras”.
Ust. Abdu terkejut dan tertawa terus bangun dan diberitakan terus sembuh dari sakitnya.
Sumber : FP Kongkow Bareng Gus Dur

Kehidupan Nelayan Basikal Di Amsterdam


Kota Amsterdam terkenal dengan tiga perkara iaitu ganja, kawasan lampu merah dan basikal. Di dalam kota ini dianggarkan terdapat 2 Juta basikal yang digunakan penduduk untuk pergi dari titik A ke titik B. Negara Belanda adalah antara negara paling rata di dunia dan oleh sebab itu menggunakan basikal sejak kecil adalah perkara biasa. 

Pada waktu yang sama membuang basikal ke dalam terusan di Amsterdam juga sudah berlaku sejak sekian lama. Sekitar dekad 60an, pihak berkuasa tempatan Amsterdam menyedari semakin banyak basikal dibuang ke dalam terusan sehingga menyebabkan ia mencalarkan bahagian bawah bot. 

Maka bagi mengelakkan terusan dipenuhi basikal, kerja pembersihan dilakukan setiap hari. Tugas membersihkan terusan jatuh ke atas "nelayan basikal". Mereka akan berlayar di dalam bot yang dilengkapi penyangkuk besar yang memudahkan basikal dibawa keluar dari terusan. Setiap tahun sekitar 15000 basikal akan dibawa keluar dari terusan. Kesemua basikal yang "ditangkap" kemudian dikitar semula oleh pihak berkuasa tempatan. 




Sumber Pri.Org

Saturday 20 February 2016

Puteri Arab Saudi Di Hukum Mati..


Hukuman mati buat Puteri Arab Saudi yang berzina dan hamil anak luar nikah
TUHAN menciptakan lelaki dan wanita untuk berpasang-pasangan. Meskipun begitu, tetap ada aturannya bagi seorang lelaki dan wanita untuk berhubungan.

Misalnya etika dan sopan santun, maksimal adalah peraturan sebuah negara yang memang berdiri tegak mengatur hubungan lelaki dan wanita, sesuai dengan kaidah agama.


Arab Saudi adalah negera yang menjunjung tinggi nilai keislaman, termasuk dalam kehidupan bermasyarakat dan hubungan antara lelaki dan wanita.
Negara tersebut bahkan telah mengatur tempat-tempat dan jam tertentu sehingga lelaki dan wanita yang bukan muhrim tidak akan bercampur sembarangan.

Walau begitu, Arab Saudi pernah menghukum puteri dari negaranya sendiri. Misha’al binti Fahd al Saud, seorang puteri terhormat yang merupakan cucu perempuan dari Putera Muhammad bin Abdulaziz, abang dari Raja Khalid bin Abdulaziz Al Saud.

Puteri yang Disayangi Ramai.

Hukuman mati buat Puteri Arab Saudi yang berzina dan hamil anak luar nikah

Misha’al adalah seorang gadis yang berjiwa bebas seperti burung dan sangat jujur. Ia merupakan kesayangan di Istana. Raja dan seluruh keluarganya sangat menyayangi gadis tersebut.

Misha’al juga gadis yang terpelajar dan memang suka menuntut ilmu. Ia mendapat sokongan dari keluarga kerajaan Arab untuk belajar hingga ke berbagai belahan dunia. 

Tidak ada yang kerajaan tidak berikan pada gadis itu. Sampai suatu ketika, ia pergi ke Lebanon untuk belajar.

Misha’al yang sudah cukup umur dan jiwa muda yang membara, bukan hanya untuk menuntut ilmu semata, tapi juga jatuh cinta. Perempuan ini bertemu dengan seorang pemuda Lebanon bernama Khaled al-Sha’er Mulhallal. Sebut saja dia Mulhallal.

Benih-benih Cinta Terlarang

Hukuman mati buat Puteri Arab Saudi yang berzina dan hamil anak luar nikah

Perasaan di antara Misha’al dan Mulhallal makin mengembang dari hari ke hari. Pemuda yang telah membuat puteri Arab Saudi itu jatuh cinta, sesungguhnya adalah keponakan dari Duta Besar Arab Saudi di Lebanon. Namun sungguh, dia memang bukan siapa-siapa bila dibandingkan dengan status Putri Misha’al.

Di sisi lain, keluarga kerajaan sudah menjodohkan sang putri dengan pria yang sederajat. karena menganggap kalau gadis itu sudah cukup umur untuk menikah. Keinginan Misha’al belajar ke Lebanon, sebenarnya hanya usaha melarikan diri dari perjodohan tersebut.

Tapi cinta memang tidak memandang latar belakang. Misha’al terlanjur dimabuk cinta oleh pesona Mulhallal yang juga menuntut di Lebanon. Cinta membuatnya lupa segalanya. Lupa kalau dia seorang putri raja, lupa perjodohan, lupa keluarga. Dan cinta itu, menggiring nasib keduanya pada maut yang buruk.

Sudah jelas kalau cinta Misha’al dan Mulhallal tidak akan disetujui oleh keluarganya. Sang putri dan pria yang dicintainya merencanakan untuk lari. Perempuan itu memalsukan kematiannya, seolah-olah ia mati tenggelam dan tubuhnya tidak ditemukan.

Taktik ini digunakan untuk mengulur waktu. Sehingga ia bisa menyamar ke bandara sebagai seorang pria, meninggalkan tanah airnya dan hidup bersama pria yang ia cintai selama-lamanya. Namun sayang, akhirnya ia tertangkap di Bandaraya Jeddah.

Alarm di Bandara berbunyi nyaring. Mishaal ‘digerebek’ banyak sekuriti. Saat itu ada pemuda yang sempat berusaha menyelamatkannya, tapi sayang mereka dikepung terlalu banyak penjaga.

Para penjaga memisahkan mereka hingga berurai air mata, konon pemuda itu adalah Mulhallal. Akhirnya sang putri dikembalikan ke keluarganya. Dan yang lebih mengerikan, hukuman berat telah menanti mereka.

Usaha Keluarga Menyelamatkan Sang Putri

Hukuman mati buat Puteri Arab Saudi yang berzina dan hamil anak luar nikah

Karena tuduhan perzinahan perlu 4 orang saksi laki-laki dan kesaksian diri dengan 3 kali mengucapkan ‘Saya berzina’, kasus Misha’al sebenarnya masih bisa ditutupi. Keluarga berusaha melindunginya.

Sang raja memmujuknya dengan meminta Misha’al untuk tidak mengaku apa-apa agar selamat dari hukuman, yang penting ia tidak bertemu lagi dengan Mulhallal. Karena bila ia mengaku, tak seorangpun, bahkan datuknya sendiri, bahkan raja sekalipun, yang bisa menolongnya.

Namun sepertinya cinta itu sudah terlalu dalam. Puteri menolak melindungi dirinya sendiri, apalagi mengingkari cintanya pada Mulhallal selama ini. Misha’al kembali ke persidangan dengan tiga kali mengucap, “Aku telah melakukan zina. Aku telah melakukan zina. Aku telah melakukan zina.”

Maka dijatuhkanlah eksekusi mati kepada sang putri, begitu pula dengan kekasihnya. Eksekusi mati Misha’al dan Mulhallal terjadi di tahun 1977, tanggal 15 Julai di taman Gedung Ratu Arab Saudi.


Meski ia punya status yang tinggi, ia tetap diperlakukan sebagaimana terpidana mati. Kedua mata Misha’al ditutup, ia juga disuruh berlutut dan dieksekusi atas instruksi langsung dari sang kakek. Ini dilakukan karena Misha’al dianggap telah mencoreng kehormatan keluarga, karena semestinya dia menikah dengan pria yang dijodohkan dengannya.

Mulhallal, dipaksa melihat eksekusi mati gadis yang dicintainya. Walau begitu, sebilah pedang juga sudah berada di dekat kepalanya. Dibawa oleh seorang eksekutor yang konon masih merupakan kerabat dari Misha’al. Karena bukan dilakukan oleh algojo profesional, kepala Mulhallal tak putus dalam sekali tebas. Bisa dibayangkan kalau kematian itu jadi sangat menyakitkan

Hukuman mati buat Puteri Arab Saudi yang berzina dan hamil anak luar nikah

Ada desas-desus yang mengatakan bahwa perempuan yang dieksekusi itu bukan sang putri, karena keluarga kerajaan. pasti tidak sampai hati melakukannya. Hanya kalangan kerajaan yang mengetahui dan menjadi saksi pedihnya eksekusi mati sang puteri dan pujaan hatinya.

Pasca eksekusi mati, peraturan tentang wanita di Arab jadi semakin ketat. Raja menambah penjagaan di beberapa fasilitas umum, di mana pria dan wanita mungkin untuk bertemu.

Kisah ini juga dibuatkan semacam film dokumenternya, berjudul Death of a Princess. Dan bisa diduga kalau film ini menuai kontroversi.

Kisah ini hampir mirip dengan Romeo dan Juliet, hanya saja realiti selalu lebih kejam dari drama yang sering kita lihat dalam film atau kita dengar dari kisah-kisah yang melegenda.
Hukuman mati buat Puteri Arab Saudi yang berzina dan hamil anak luar nikah

LAKARAN 3D YANG AMAT REALISTIK

Sushant S Rane ialah seorang artis yang berasal dari Mumbai. Lakaran 3D beliau bukan sahaja nampak timbul tetapi juga kelihatan realistik. Jika anda mahukan lagi lakaran beliau yang cool sila ke akaun Instagrambeliau. 






'Mahathir mahu semua parti ketepi perbezaan singkir Najib'



Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju supaya semua parti politik mengketepikan perbezaan masing-masing dan berganding bahu untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dedah seorang ahli parlimen PAS.
Bercakap kepada Malaysiakini, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini adalah antara keputusan dan isu-isu yang dibincangkan semasa pertemuannya selama sejam dengan bekas perdana menteri itu pagi ini.
"Kedua-dua kami bersetuju bahawa Najib perlu digantikan dengan segera dan keputusan mengenai perdana menteri baru akan dibuat kemudian.
"Kami bersetuju bahawa kita harus mengketepikan perbezaan antara parti dan ideologi, kita harus lihat ke hadapan," katanya.
Menurut Mahfuz, jika isu pengganti dibincangkan ketika ini, ia mungkin menyebabkan pertikaian.
"Idea kami sama iaitu perubahan PM mesti disegerakan, cara bagaimana, bermula dari kesatuan semua pihak, termasuk parti-parti politik.
"Jangan fikir dulu siapa pengganti PM, sebab kalau fikir dulu siapa pengganti PM, makna takkan berlaku... semua pihak akan bertengkar, akan perlu ada kepentingan politik masing-masing," katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena juga berkata beliau telah berjumpa Dr Mahathir atas inisiatifnya sendiri dan tidak mewakili PAS.
Menurutnya, pembangkang boleh membiarkan Najib terus menjadi perdana menteri sehingga menimbulkan lebih banyak rasa tidak puas hati dan marah rakyat terhadap Umno dan BN supaya peluang mereka lebih cerah pada pilihan raya umum akan datang.
"Dalam tempoh masa lama itu satu penganiayaan kepada rakyat akan terus berlaku.
"Saya tak sampai peringkat untuk terus menganiayai rakyat yang tertekan di bawah pimpinan Najib," katanya.
Mahfuz berkata susulan perjumpaan pagi tadi, beliau mencadangkan perbincangan lanjut dan meliputi jumlah yang lebih besar.
"Bukan hanya saya dan Tun (Dr Mahathir)... memerlukan pelan tindakan.
"Pemikiran itu sudah ada titik pertemuan. Saya beritahu tadi perlu ada satu pertemuan lebih besar pelbagai parti, NGO dan individu untuk kita rangka pelan tindakan," katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa Mahathir pada pertemuan itu tidak memberi sebarang janji atau jaminan mengenai pelan tindakan berkenaan.
"Dia (Dr Mahathir) ambil maklum. Bagi saya beliau seorang negarawan, walaupun ada perbezaan dalam beberapa hal, tetapi kita ada titik pertemuan pada isu semasa.
"Bagi saya beliau boleh panggil semua pihak bukan saja daripada pembangkang tetapi juga di kalangan individual, BN dan NGO lain," katanya lagi.

Nama Faiz Subri kini diiktiraf dunia




MATLAMATNYA memang mahu menjaringkan gol, namun siapa sangka sepakan percuma itu lencongannya cukup menarik menerjah gawang gol Pahang yang mengelirukan penjaga gol, Mohd Nasril Nordin untuk membantu Pulau Pinang menang 4-1 pada aksi Liga Super 2016.

Nama Mohd Faiz Subri kini bukan sahaja jadi bualan penyokong tempatan malah dunia selepasvideo sepakan percumanya itu menjadi viral malah diangkat sesetengah pihak sebagai calon yang akan memenangi Anugerah Puskas 2016, pengiktirafan kepada jaringan paling cantik dalam dunia bola sepak secara tahunan.
Anugerah tersebut yang sebelum ini dimenangi nama-nama besar dunia seperti Cristiano Ronaldo, Neymar, Hamit Altıntop, Zlatan Ibrahimovic dan tidak mustahil akan menjadi milik Mohd Faiz pada 2016 jika dia mendapat undian tinggi sekiranya dicalonkan.
Bagi penyerang berusia 28 tahun ini, satu pengiktirafan tinggi buatnya sebagai seorang pemain bola sepak tempatan selepas jaringan golnya itu mendapat perhatian dunia.
Menurutnya, dia cuba memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan mengalas tanggungjawab memburu gol di samping cuba memberikan saingan sengit merebut posisi jentera serangan Pulau Pinang.
“Mungkin latihan berterusan mengambil sepakan percuma pada sesi latihan yang menjadi antara faktor gol menarik tersebut dapat dihasilkan.
“Menjadi penghormatan yang tinggi buat saya apabila jaringan itu dilihat dan disukai penyokong dan pemerhati bola sepak di peringkat antarabangsa,” katanya.
Jaringannya bukan sahaja dapat disaksikan 4,704 penyokong di Stadium Bandaraya, Georgetown malah turut dipancar melalui siaran langsung yang ditonton di seluruh negara sebelum ia dimuatkan dalam media sosial menjadi viral antarabangsa.
Mohd Faiz yang meledak dua jaringan pada perlawanan tersebut mengakui kehadiran ramai penyerang berbakat muda ke dalam pasukan termasuk import terbaharu, Osas Saha telah merangsangnya untuk bekerja lebih kuat.
Kehadiran muka-muka baharu ini juga secara tidak langsung telah merangsang persaingan sihat di kalangan mereka untuk mempamerkan aksi terbaik merebut kesebelasan utama Harimau Kumbang.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah ini menjelaskan, fokusnya terhadap perlawanan seterusnya menentang Kuantan FA pada aksi Piala FA 2016 di laman sendiri pada Sabtu tidak terjejas biarpun sepakan percumanya hangat diperkatakan.

'Biar Kementerian Kesihatan tentukan terus haram atau tidak ganja'



Kementerian Kesihatan Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan sama ada mahu terus mengharamkan penggunaan ganja di negara ini atau tidak.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berkata ini kerana kementerian itu sahaja yang tahu mengenai had kandungan barang larangan itu.
Mengulas lanjut, Ridzuan berkata dalam dunia perubatan hari ini pun sudah jelas di mana semua jenis ubatan mengandungi dadah.
"Kita lihat kalau sakit, semua akan ke hospital untuk dapatkan ubat yang mana dalam ubat itu sendiri semua ada dadah.
"Keputusan sama ada mahu terus mengharamkan atau tidak, kita serah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Dan jika dibenarkan sekali pun ia haruslah mengikut kadar yang ditetapkan," katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Beliau diminta mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan Parlimen Belia Malaysia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli supaya kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja mengikut situasi semasa dengan melihat kegunaannya daripada aspek positif.
Kata Ridzuan, beberapa negara di dunia seperti Colombia dan Belanda menghalalkan penggunaan ganja.
"Ganja pun sebelum ini dibenarkan di Malaysia dan hanya diharamkan selepas perubatan moden ini wujud.
"Di negara luar seperti Colombia pun mereka makan ganja begitu saja dan tidak ada masalah," katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam semalamdilaporkan sebagai berkata penggunaan ganja perlu diperhalusi secara mendalam oleh semua pihak.
Dr Subramaniam berkata semua pihak perlu melihatnya daripada pelbagai sudut.
Malah, Subramaniam berkata kerajaan mempunyai pelbagai isu lain yang perlu diberikan tumpuan berbanding isu ganja dan tidak melihat cadangan menghalalkan penggunaan ganja sebagai agenda nasional.

Petua Merawat Ekzema Secara Tradisional




Baru Tok Aki perasan yang cucu bongsu Tok Aki berusia 8 bulan mengidap Ekzema…Bahasa orang tua Ekzema ni adalah kulat pada kulit tidak kira pada wajah atau bahagian badan lain..

Tok Aki kesian tengok cucu Tok Aki..dah la rumah Tok Aki tiada pendingin hawa (Aircond)… Pengidap Ekzema ni tak boleh tahan panas atau haba..apabila berpeluh mereka akan rasa gatal dan menggaru..
Bahananya, kulit akan cedera dan Ekzema akan terus melarat di bahagian lain..
Cucu bongsu Tok Aki ni ada Ekzema pada kulit kepala bahagian dekat leher, leher, pelipat tangan dan bahagian alat sulit..
Kesian Tok Aki perhatikan, bila kepanasan cucu Tok Aki akan menangis, malah budak-budaknya bukan tahu, kerjanya menggaru.. pantang anak menantu tinggal sekejap, dia akan menggaru bahagian Ekzema hingga berdarah-darah…
Ada pernah satu masa tu, rumah Tok Aki terputus bekalan elektrik, cucu Tok Aki menangis-nangis sebab tak tahan gatal, nak beritahu tak tahu bercakap, terpaksalah Tok Aki, anak menantu bergilir kipas pakai surat khabar..
Itu pun kurang berkesan, nak mandikan selalu, cucu Tok Aki masih kecil, takut nanti penyakit lain pula yang datang..
Nak tak nak terpaksalah kipas tak henti supaya dia rasa nyaman.. Nasib baik juga Tok Aki punyai beberapa petua dari orang-orang lama untuk atasi Ekzema..Sekurang-kurangnya kurang sedikit bebanan anak menantu Tok Aki.
Ramai ibu bapa menghadapi masalah ini pada anak-anak kecil mereka. Justeru, Tok Aki nak kongsikan beberapa petua yang diharapkan berguna kepada semua..
Petua 1: Kunyit
  • Tok Aki pasti ramai yang mengetahui khasiat kunyit terutama dalam merawat masalah kulit dan luka.
  • Untuk merawat Ekzema pada bayi atau kanak-kanak. Ambil kunyit hidup kemudian sapukan pada tempat Ekzema, Isya-Allah ia akan berkesan dalam merawat penyakit itu dan menyembuhkan luka disebabkan kesan garu.
Petua 2: Minyak Zaitun
  • Minyak Zaitun memiliki pelbagai manfaat, tidak hanya dapat menyedapkan masakan anda. Khasiat yang terdapat dalam Minyak Zaitun dapat mengurangkan keradangan.
  • Apa yang perlu dilakukan adalah menyapu Minyak Zaitun pada bahagian Ekzema. Ia akan bertindak melembutkan kulit yang kering dan mengawal Ekzema.
Petua 3: Lidah Buaya
  • Banyak petua yang pernah Tok Aki kongsikan menggunakan khasiat Lidah Buaya atau Aloe Vera. Ternyata tumbuhan ini memiliki 1001 khasiat untuk pelbagai penyakit termasuk Ekzema.
  • Apa yang perlu dilakukan adalah menyapu Lidah Buaya pada Ekzema. Amalkan sentiasa kerana ia ternyata memberi kelegaan dan merawat penyakit ini. Lebih mudah jika tanam sendiri pokok itu di rumah kerana tumbuhan ini amat mudah ditanam dan dijaga selain mudah membiak. Ia juga boleh ditanam dalam pasu bunga.
Semoga kita mendapat manfaat ke atas petua yang Tok Aki kongsikan ini.. Anda juga boleh mencuba pelbagai produk yang terdapat di pasaran termasuk Losyen Mustajab Dunia Herbs..
Selamat mencuba…

Sekian..

Sumber LINK

Syor Untuk Halalkan Ganja, Wajar Kata Pengasih




Kuala Lumpur – Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) menyokong syor akan pihak kerajaan mengkaji semula kesalahan penggunaan marijuana atau ganja di kalangan masyarakat di negara ini.

Presidennya Datuk Mohd Yunus Pathi ketika dihubungi SuaraTV berkata kesalahan menghisap ganja tidak wajar diambil tindakan sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak memudaratkan.
“Secara peribadi saya tidak bersetuju untuk menghalalkan penjualan ganja, namun saya bersetuju supaya mereka yang menghisap ganja tidak didakwa sebagai kesalahan jenayah.
“Kalau ada yang nak menghisap ganja biarlah mereka hisap, ini kerana menghisap ganja bukan satu perkara yang serius yang boleh diklasifikasikan sebagai sangat merbahaya,” katanya kepada SuaraTV sebentar tadi.
Menurut Mohd Yunus lagi, majoriti negara yang menganggotai TPPA turut menyifatkan pengunaan ganja sebagai tidak merbahaya dan tidak meletakkan ia sebagai kesalahan jenayah.
“Saya difahamkan majoriti negara di bawah TPPA meletakkan ganja sebagai bahan yang tidak mudarat dan mereka yang menghisapnya tidak dihukum.
“Macam arak ia ada dijual tetapi bukan semua orang minum arak, begitu juga dengan judi dan penjualan nombor ekor ia dijual secara terbuka kerana tidak semua yang bermain judi” ujarnya pula.
Terdahulu Ahli Parlimen Belia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli ketika membahaskan usul mengenai meningkatkan undang-undang dadah pada sidang Parlimen Belia semalam mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula peruntukan undang-undang berhubung pengunaan ganja.
Menurut wakil dari Selangor itu golongan muda tidak menganggap ganja sebagai dadah dan menegaskan isu ketagihan ganja di negara ini hanya menyumbang lapan peratus daripada semua jenis ketagihan berbanding 60 peratus daripada morfin dan 30 peratus daripada heroin.

Laporan berhubung isu tersebut kemudiannya ditweet oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disifatkan sebagai tanda sokongan terhadap syor yang dikemukakan itu. – SuaraTV.

Ganja bukan alternatif untuk kita!




Kenyataan Ahli Pemuda UMNO, Syed Rosli Jamalullail baru-baru ini yang mengesyorkan pemindaan ganja daripada dadah terlarang benar-benar mengejutkan saya dan memanggil untuk menjawab dari sudut kesihatan. Seperti yang kita maklum ganja atau dadah dari jenis kannabis ini merupakan bahan terlarang di Malaysia dan penyalahgunaan ganja adalah salah di sisi undang-undang.

Seperti ubat-ubatan psikotopik sepertinya (selain morfin, heroin) tidak dinafikan mempunyai kegunaan teraputik dalam merawat sesetengah penyakit. Walaubagaimanapun, ia masih di dalam senarai ubat terkawal yang hanya diberikan kepada pesakit dalam kadar tertentu yang dikawal dan dipantau secara khusus oleh pengamal perubatan.Penggunaan ganja sebagai ‘penenang’ dalam masalah stres dan tekanan hidup adalah satu alternatif yang diseru atas alasan yang dangkal, malahan amat merbahaya kepada kesihatan psikologi dan fizikal masyarakat umum. Negara-negara Barat yang membenarkan penggunaan ganja berleluasa hari ini juga semakin giat melakukan kajian dan menyiarkan artikel & jurnal hasil kajian mereka terhadap bahaya ‘marijuana’ yang telah melanda rakyat mereka, dengan tujuan memberi kesedaran dan mengurangkan masalah yang berakar umbi daripada salah guna ganja.
Salah satunya adalah jurnal terbitan The New England Journal of Medicine 2014, hasil kajian yang dilakukan oleh beberapa orang doctor ke atas populasi rakyat mereka yang terlibat dalam penggunaan tegar ganja. Antara kesan buruk yang dibuktikan daripada kajian tersebut:
1. Terbukti menyebabkan masalah ketagihan yang mempengaruhi aspek kesihatan & sosial penagih
– Hampir separuh daripada pengguna ganja yang menhisap setiap hari akan mendapat ketagihan, dan 1 daripada 6 remaja yang terlibat dengan ganja akan ketagih.
– Kajian yang dilakukan oleh National Survey on Drug Use & Health di England pada tahun 2012 sahaja telah menunjukkan 2.7 million rakyat yang berumur 12 tahun ke atas mengalami ketagihan pada ganja.
2. Membantutkan perkembangan otak dan minda
– Mengurangkan dan melemahkan sesetengah sel otak yang mengawal perangai iaitu hippocampus dan prefrontal cortex; mengakibatkan pengguna ganja mudah mengalami masalah untuk menimbang tara baik buruk tingkah laku, kurang bersikap positif. Hasil kajian menunjukkan ini adalah antara penyumbang kepada masalah keruntuhan akhlak dan sosial di kalangan remaja dan pemuda yang terlibat dengan ganja.
– Mengurangkan perkembangan IQ bagi remaja dan juga bayi yang terdedah kepada ganja ketika dalam kandungan. Kajian juga mendapati ramai remaja yang terlibat dengan ganja mengalami kesukaran untuk menghabiskan persekolahan dan seterusnya menyumbang kepada keciciran daripada pembelajaran.
3. Penyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya
– Ganja memberi kesan kepada sistem koordinasi badan dan menurunkan tahap fokus dan kesedaran pengguna menyebabkan pengguna sukar untuk mengawal kenderaan ketika memandu (pengguna ganja menyumbang kepada kemalangan jalan raya 3-7% lebih daripada mereka yang tidak dibawah pengaruh sebarang dadah/alkohol).
4. Menyumbang kepada ketagihan dadah yang lebih merbahaya
– Kesan daripada ganja yang menurunkan sejenis hormon natural dalam badan iaitu ‘dopamin’. Pengurangan hormon dopamin menyebabkan pengguna ganja mudah merasa tidak puas dan mahukan sesuatu yang lebih kuat untuk merangsang bahagian otak yang mengawal ‘satisfaction’ dan ketenangan. Dalam jangka masa panjang ini akan menyebabkan kecenderungan untuk mengambil dadah-dadah jenis lain yang lebih kuat seperti morfin, kokaina malah menjurus kepada ketagihan alkohol.
5. ‘Withdrawal syndrome’; kesan sampingan badan hasil daripada ketagihan
– Apabila pengguna ganja berhenti mengambil ganja, mereka akan mengalami simptom-simptom khas kesan sampingan daripada kebergantungan tubuh badan mereka kepada ganja seperti resah, masalah sukar tidur, kurang konsentrasi dan masalah untuk belajar dan fokus, meninggikan syahwat, pelupa dan sukar menghafal. Sungguh pun kedengaran seperti tidak serius, namun sebenarnya para doktor mengakui kaitan kesan ini yang membawa kepada pelbagai masalah sosial yang memberi kesan kepada pekerja, peningkatan kes jenayah seks dikalangan pengguna ganja, risiko kemalangan ketika memandu dan sebagainya.
6. Risiko mendapat penyakit mental
– Penyalahgunaan ganja dibuktikan mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko untuk menhidap penyakit mental seperti kemurungan dan ‘anxiety disorder’
– Meningkatkan risiko menghidap skizofrenia, dan seringkali rawatan serta keseriusan penyakit mental akibat penyalahgunaan dadah adalah lebih teruk dan sukar untuk dirawat.
Kita hari ini telah didedahkan dengan pelbagai masalah yang kian meruncing, malah dilihatkan penghalalan ganja dari sudut undang-undang sebenarnya membuka ruang yang lebih besar kepada masalah kesihatan sosial. Belum selesai masalah peningkatan kes jangkitan kelamin, HIV hasil daripada peningkatan kes homoseksual, belum lagi bercerita tentang kes gugur dan pembuangan anak luar nikah.
Pada hemat saya sebagai seorang pegawai perubatan, cukuplah apabila melihat pesakit kami datang dengan kemalangan yang teruk kerana mabuk, pesakit-pesakit mental yang berjuang untuk menyeimbangkan diri mereka dalam masyarakat, masalah kanak-kanak dan remaja yang dirujuk kepada pakar psikologi kanak-kanak kerana masalah sosial, tidak sanggup lagi untuk melihat pertambahan daripada golongan ini dalam masyarakat kita.
Saya yakin kerajaan berhasrat penuh untuk memastikan yang terbaik buat rakyat dari aspek sosial, kesihatan mahupun ekonomi. Banyak alternatif lain yang lebih sihat untuk dicadangkan kepada masyarakat bagi menangani tekanan hidup seperti bersenam, sembahyang, meditasi, pemakanan yang sihat dan gaya hidup sihat secara keseluruhannya. Pengambilan ubatan luar/ bahan tambahan seperti dadah dan ganja sebenarnya memberi kesan keseronokan dan ketenangan hanya dalam jangka masa pendek dan bukanlah cara penyelesaian terbaik. Saya yakin majoriti rakyat Malaysia adalah masyarakat yang menyokong kepada gaya hidup fizikal & mental yang sihat, dan saya yakin bahawa dengan jelas sekali bahawa ganja bukanlah alternatif untuk kita!
Dr Nadiah Norudin melalui e-mail

..........
Dr Nadiah Norudin seorang pegawai perubatan dan aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

EPF umum dividen 6.40 peratus bagi 2015


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus bagi 2015 dengan pembayaran keseluruhan berjumlah RM38.24 bilion.
Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi tahun berkenaan, iaitu peningkatan 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion pada 2014, katanya dalam satu kenyataan.
Peningkatan itu seiring dengan pertumbuhan aset pelaburan KWSP kepada RM684.53 bilion setakat 31 Disember 2015 manakala pendapatan kasar tumbuh 13.18 peratus kepada RM44.23 bilion berbanding RM39.08 bilion pada 2014.
"Pendapatan pelaburan kasar yang dicapai adalah menerusi strategi kepelbagaian merentasi kelas aset di beberapa negara dan pasaran.
"Walaupun kolerasi dalam kalangan pasaran-pasaran global adalah tinggi, strategi kepelbagaian ini membuka peluang kepada kami untuk menjana keuntungan dan mengenal pasti pelaburan berpotensi pada pentaksiran menarik," kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman.
Beliau berkata langkah kepelbagaian dalam pasaran modal dan mata wang membolehkan KWSP mengaut pulangan signifikan daripada sumber bukan ringgit yang merangkumi 48 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sepanjang tahun berkenaan.
"Sebagai dana simpanan persaraan, pelaburan kami sentiasa bertumpu kepadausaha untuk mendapatkan pulangan pendapatan jangka panjang yang mampan berbanding pulangan jangka pendek, dan kami berbesar hati mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus yang menunjukkan prestasi membanggakan sekalipun berdepan cabaran," katanya.
Lebih penting lagi katanya, KWSP berupaya mencapai dua sasaran pelaburan strategik iaitu sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal setiap tahun seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991, dan sekurang-kurangnya dua peratus dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut.
Bagi 2015, Samsudin berkata dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut ialah 4.05 peratus iaitu 205 mata asas lebih tinggi daripada sasaran.
Bagi tahun dalam semakan, ekuiti terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan pada 58.81 peratus, iaitu sebanyak RM26.01 bilion atau peningkatan 13.54 peratus daripada RM22.91 bilion pada 2014.
Menurut kenyataan itu portfolio ekuiti luar negara memainkan perana utama dengan menyumbang lebih 50 peratus kepada pendapatan pelaburan ekuiti 2015.
Sementara itu, pelaburan KWSP dalam instrumen tetap terus memberi pendapatan yang stabil dengan aset kelas ini yang merangkumi sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang 35.40 peratus daripada RM44.23 bilion pendapatan pelaburan kasar pada tahun berkenaan.
Hartanah dan infrastruktur menyumbang RM1.70 bilion, naik 22.23 peratus daripada 2014, manakala portfolio luar negara bagi kelas aset ini yang diceburi sejak 2010, menunjukkan prestasi memberangsangkan dari tahun ke tahun.
"Program pelaburan luar negara KWSP berstruktur yang dilaksanakan secara rasmi pada 2006, menyumbang 48 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan sebanyak RM44.23 bilion untuk tahun ini walaupun pendedahan hanya 25 peratus daripada jumlah aset pelaburan, sekali gus mengatasi prestasi aset domestik," kata Samsudin.
Selaras perancangan pelancaran skim simpanan patuh syariah pada 2017, pendedahan KWSP dalam pelaburan patuh syariah yang meliputi pelbagai kelas aset setakat ini melebihi 40 peratus daripada aset keseluruhan.
KWSP juga memastikan semua pelaburan termasuk aset bukan syariah, adalah beretika dan tidak terlibat dengan sebarang pelaburan yang berkaitan antaranya sektor perjudian, alkohol/arak, dan senjata ketenteraan.
Mengulas iklim ekonomi pada 2016, Samsudin berkata tahun ini akan lebih mencabar.
"Kombinasi ketidakpastian kadar pertumbuhan dan kemerosotan harga komoditi menyaksikan kejatuhan indeks utama termasuk FBM KLCI sejak awal tahun.
"Ini merupakan iklim yang sangat berbeza dengan separuh pertama 2015 dengan pelaburan global kami mampu mengimbangi kesan kelembapan pasaran domestik," katanya.
Ketidaktentuan pasaran mata wang juga bermakna akan menyukarkan KWSP untuk mengulangi prestasi cemerlang aset global 2015.
"Bagaimanapun, kami akan terus melindungi dan meningkatkan nilai simpanan ahli dengan memberi pulangan yang stabil dan konsisten dalam jangka panjang, selaras dengan had risiko yang bersesuaian," katanya.
- Bernama

Popular Posts