Tuesday, 11 December 2012

Tak perlu beli beras setahun


Tak perlu beli beras setahun
Hamid masih menggunakan lesung bagi mendapatkan hasil padi.

BALING - Walaupun penanaman padi dilengkapi dengan pelbagai mesin moden, seorang petani di sini lebih gemar menggunakan cara tradisional.

Hamid Hussin, 43, dari Kampung Kubang Panjang giat mengusahakan tanaman padi huma ataupun padi bukit sejak enam bulan lalu.


Menurutnya, penanaman padi itu menggunakan kaedah tradisional sepenuhnya iaitu dari menuai sehingga untuk mendapatkan hasil.


Dia berkata, walaupun kaedah tradisional mengambil masa lama, ia tetap memberikan kepuasan kepada dirinya.


“Padi huma mengeluarkan hasil setahun sekali, berbanding padi bendang iaitu dua kali setahun. Proses untuk mendapatkan beras pula lebih kurang sebulan,” katanya.


Ayah kepada 16 anak itu berkata, tanaman padinya itu bukan untuk dijual tetapi untuk menampung keperluan keluarganya sahaja.


“Sekali hasil, boleh tampung sampai setahun. Jadi, saya tak perlu beli beras selama setahun,” katanya berseloroh.


Menurutnya, tidak ramai yang masih mengusahakan tanaman padi jenis ini berikutan faktor masa, selain persekitaran yang tidak sesuai.


“Walaupun tempoh masaknya panjang, padi huma mempunyai bau yang harum dan rasa yang lebih enak. Selepas padi ini siap diproses, kenduri kesyukuran akan diadakan.


“Dulu, kebanyakan penduduk mengusahakan padi huma. Ketika itu memang meriah bila padi mengeluarkan hasil. Penduduk akan bersiap sedia untuk meraikan majlis kenduri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts