SALAH seorang sosiologis terkemuka dari Barat, E.E Schattschneider (1960: 15) menyebutkan “cara terbaik mengurus sesuatu konflik ialah sebelum ia bermula.” Tentu sahaja pepatah Melayu sendiri ada mengatakan cegah sebelum parah untuk mendokong kata-kata tersebut. Di tangan anda, setiap rencana pendek atau tulisan pojok yang dihasilkan Ahmad Lutfi Othman ini (dalam buku Detik Utopia) serba sedikit berkongsi kehendak, semangat dan tujuan tersebut, iaitu untuk menyelesaikan konflik dan mencungkil di mana ia bermula. Lutfi melakukannya dengan gaya dan caranya sendiri.
Saya
ingin memperkenalkan konsep ‘Kewartawanan-Kapital’ untuk menjelaskan
status, peran, sosok dan wibawa Ahmad Lutfi Othman sebagai seorang
jurnalis alternatif. Capital atau kapital menurut Cambridge Dictionary merujuk kepada “money and possessions, especially a large amount of money used for producing more wealth or for starting a new business.”
Dalam
hal ini menggantikan wang kepada sosok Ahmad Lutfi sendiri,
‘Kewartawanan-Kapital’ adalah satu bentuk khazanah dan kekayaan dalam
bidang jurnalisme atau kewartawanan yang terhimpun sebagai aset.
Khazanah ini lantas melimpah atau sengaja dilaburkan kembali untuk
membina lebih banyak aset lain.
Saya berpandangan, tulisan-tulisan Ahmad Lutfi Othman meskipun bersifat popular dan tidak selalunya diiringi dengan fakta, pemerhatian atau data ilmiah ia masih berguna sebagai satu dokumen tongue wagging yang dapat menggambarkan ‘stable tension yang mencirikan masyarakat majmuk Malaysia’ (Shamsul AB, 2008: 7). Tulisan pojok beliau adalah cerminan serius seorang tokoh kewartawanan alternatif meski di beberapa tempat akan terzahir hasrat terpendam beliau untuk menjadi tukang ramal.
(Ahmad Lutfi bersama pimpinan PAS yang menerajui Harakah, Mustafa Ali, Kamarudin Jaffar dan Mahfuz Omar)
Saya mengenal Ahmad Lutfi Othman dalam tahun 1998 sewaktu mulai membina nama sebagai seorang novelis dalam persada sastera tanahair. Kurang dua tahun sesudah itu, Lutfi, dengan keyakinan tinggi telah menerbitkan novel pertama saya yang berjudul Perempuan Politikus Melayu (2000).
Novel tersebut membuka mata birokrat dan elitis sastera tempatan akan kewujudan saya selaku pengarang kreatif. Ia tercalon untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Secara kreatifnya, Perempuan Politikus Melayu adalah novel yang saya panjangkan dari sebuah cerpen berjudul Laungan Tanpa Suara (Penerbit Sasbadi, 1997). Saya pertama kali membawa Perempuan Politikus Melayu ke Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi ia ditolak. Saya kira temanya, persembahannya dan wawasannya sulit dipertimbangkan oleh penerbit berpengaruh tersebut.
Saya faham benar, dengan nama yang masih rebung pada waktu itu, tidak akan ada penerbit mahu mengenengahkan kisah seorang politikus yang korup. Saya membawa Perempuan Politikus Melayu bertemu Ahmad Lutfi Othman di Penerbitan Pemuda. Secara peribadi saya tidak pernah mengenal beliau.
Hanya sesekali menulis untuk majalah fenomenal Tamadun yang mana beliau adalah editornya. Lutfi, dengan cepat memberi reaksi. Dinsman menjadi pembaca pertama manuskrip novel ini dan menyukainya. Di pejabat Penerbitan Pemuda saya mengenal beberapa wartawan muda lain. Yang paling berbekas dalam ingatan saya tentulah Fathi Aris Omar.
Tentu secara keuntungannya, Perempuan Politikus Melayu gagal di pasaran. Tetapi ia menjadi pelaburan Lutfi terhadap saya, untuk mencambah wawasan beliau dalam sarana dan wadah lain pula.
Apa yang ingin saya sebutkan di sini, Ahmad Lutfi Othman menjadi kapital atau ibu pelaburan yang sangat lumayan sehingga dengan keyakinan beliau terhadap tulisan-tulisan kecil saya, beliau membawa saya pergi lebih jauh. Untuk itu saya sangat berterima kasih kepada beliau. Sebetulnya, Lutfi sendiri menyedari kedudukan beliau selaku sang kapital. Membaca rencana pendek beliau tentang ‘Said Zahari dan Pengkhianatan Utusan Melayu’ saya terkesan dengan catatan Lutfi:
Bersembang dengan Pak Said terasa tidak lengkap jika gagal menyentuh suasana persuratkhabaran di negara ini. "Sekarang saya perhatikan orang sudah tidak bercakap soal kebebasan akhbar, termasuk oleh wartawan sendiri. Kalau dulu, wartawan itu sendiri seorang pejuang, sekurang-kurangnya aktivis. Mereka menulis dengan semangat perjuangan yang kental," tambahnya.
Sekali lagi saya terkedu. Ingatan Pak Said itu seperti menyentuh batang hidung sendiri. KAMI yang diasaskan bagi memansuhkan segala undang-undang yang mengongkong kebebasan berkarya, terutama peraturan "karut-marut" Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), bagaikan hidup segan mati tak mahu. Ternyata nafas dan stamina KAMI pendek.
Jika mahu mencari dalih, saya meletakkan punca utama kepada "laihnya" komitmen wartawan sendiri untuk membebaskan belenggu itu. Mungkin Pak Said, yang menghabiskan masa muda bertenaganya di dalam tahanan persendirian (solitary confinement) kecewa dengan sikap saya yang mudah mengalah. Beliau ternyata mengidamkan iklim yang kondusif untuk wartawan beroperasi.
"Tapi, ia mesti diperjuangkan, bukannya hanya menunggu dan mengharapkan ...," tegasnya.
Dalam petikan di atas Lutfi mengeluh tentang ‘laih’nya masyarakat wartawan untuk memperjuangkan kebebasan akhbar. Dalam sedar Lutfi menjadikan Said Zahari selaku ikonnya, dan di luar sedar mereka (rangkaian Said Zahari-Lutfi) membentuk diri selaku jaringan kapital yang kukuh yang kemudiannya mengasuh, melahirkan, menjana aset Wartawan-Kapital yang lain, mungkin sekadar menyebut dua tiga nama, Fathi Aris Omar, Haris Zalkapli dan saya sendiri meski saya membentuk diri sebagai pengarang sastera kemudiannya.
Sebuah model ‘Kewartawanan-Kapital’ memerlukan tiga komponen yang saling berkait. Pertamanya, seorang Wartawan-Kapital hendaklah mempercayai dan memiliki tanggungjawab moral yang kukuh.
Keutuhan moral inilah yang menggerakkan seorang Wartawan-Kapital untuk berfungsi sebagai peribadi yang menggerakkan, yang menggocangkan dan menggencarkan massa serta masyarakat pembaca walaupun beliau sendiri mungkin berada dalam bahaya, risiko dan akan sentiasa berdepan dengan hambatan, ganjalan dan mara bahaya oleh sikap-sikap autoritarian sang penguasa. Nukilan beliau tentang ‘Kenapa Hanya Khir Toyo’ menunjukkan pertahanan moral tinggi yang dimiliki oleh Ahmad Lutfi Othman:
Sesungguhnya "nasib" aduan saya itu tidak penting. Dari awal saya menyedari, usaha membongkar penyelewengan orang besar yang masih berkuasa tidak semudah difikirkan. Pegawai SPRM, dalam banyak hal, bukannya mahu membantu, apatah lagi untuk menghargai usaha kita, malah tambah menyukarkan inisiatif bagi menyelamatkan wang rakyat dan mengangkat integriti. Pihak penyiasat terutama SPRM cawangan Selangor lebih berminat untuk mengorek rahsia siapa yang membocorkan dokumen sulit kepada saya. Beberapa usahawan dan peniaga yang disyaki menyalurkan maklumat itu telah disenaraihitamkan.
Saya telah melakukan segalanya dalam kes tersebut sehingga perniagaan penerbitan saya pun terpaksa ditutup ekoran terlalu banyak halangan melanda. Tidak kurang juga pelbagai "misteri" yang ditimbul sepanjang tempoh yang cukup tegang itu. Biarlah, saya tidak berhasrat untuk mengungkit segala kes lampau.
(Gambar menunjukkan Ahmad Lutfi membuat laporan mengenai rasuah Dr Khir Toyo di Ibu Pejabat BPR, Putrajaya, sekitar tahun 2001)
Komponen kedua untuk sebuah Kewartawanan-Kapital adalah nilai-nilai sosial yang diperjuangkan sebagai inti kandungan Wartawan-Kapital tersebut. Seorang Wartawan-Kapital berniat untuk menyemai reformasi dan masyarakat madani (sivil) dalam setiap tulisannya, dan setiap wartawan anak di bawahnya akan akur malah mengazami iltizam tersebut sedaya upaya. Bahkan dengan nilai-nilai sosial yang bermakna tersebut ia akan menjadi latar ‘kerajaan tempatan yang berperanan baik, ekonomi yang berkembang, aktiviti awam yang sihat dan saling bekerjasama di mana fenomena ini terjelma dari saling percaya antara masyarakat dan bukannya saling prasangka’ (Putnam 1993: 6-7).
Niat Lutfi supaya pembaca berbangsa Melayu menjadi lebih bijaksana dan celik politik seperti yang terlihat pada sebahagian besar masyarakat Tionghua menjelaskan hasrat nilai sosial yang ingin beliau kemukakan:
Ramai peneliti politik melihat bahawa kemerosotan pengaruh parti-parti berasaskan pengundi Cina dalam BN difaktorkan oleh salahlaku pemimpin Umno itu sendiri. MCA, Gerakan dan SUPP hanya menjadi "pak angguk" dan "tumpang semangkuk" kepada segala skandal, penyelewengan dan gejala korupsi yang semakin berleluasa itu.
Sedangkan rata-rata masyarakat Cina menuntut amalan politik baru, yang tercerna melalui agihan sumber yang merata dan adil, serta terlaksananya good governance yang bakal menjamin kesejahteraan untuk semua.
Komponen ketiga yang paling penting dalam model Kewartawan-Kapital ialah jaringan sosial untuk mencambah lebih banyak peribadi atau klon diri yang sama. Staf dibawah Wartawan-Kapital mempunyai keluarbiasaan yang serupa. Di luar jaringan kerja tersebut, Wartawan-Kapital turut membina kumpulan-kumpulan kecil yang sama, dengan keazaman yang tidak berbeza.
Jaringan sosial inilah yang menentukan Kewartawan-Kapital terus bergerak. Dan Wartawan-Kapital yang menjadi aset atau ibu duit akan terus menggandakan dirinya dalam bentuk dan sosok yang lain. Sehingga akhirnya jumlah mereka, Wartawan-Kapital ini menjadi alternatif untuk wartawan pengadu domba, wartawan pengampu dan wartawan arus perdana yang tiada wibawa:
Pada 26 Ogos lalu, ditemani Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan, Wartawan Kanan, Wan Nordin Wan Yaacob dan Jurugambar, Wan Zahari Wan Salleh, saya mengunjungi rakan-rakan SK di Seksyen 13, Shah Alam. Selain bertanya khabar atas tekanan dahsyat pemerintah, saya berhasrat membincangkan langkah-langkah perlu untuk mencetuskan isu berkenaan agar "lebih didengar lagi" termasuk oleh pemimpin Pakatan sendiri.
Editor SK, Dzulkarnain Taib dan wartawan Mohd Najib Ibrahim menyambut kami. Saya perhatikan operasi penerbitan mereka masih berjalan seperti biasa, dengan judul yang bertukar-tukar, tetapi masih mengekalkan "Keadilan", seperti Sinar Keadilan, Obor Keadilan dan terbaru Metro Keadilan. Bagaimanapun, pengalaman saya semasa mengendalikan penerbitan tidak berkala selepas Detik dan Wasilah diharamkan, cukup perit terutama dari segi rangkaian pengedaran dan pengendalian perniagaan.
Saya ingin meraikan catatan-catatan pojok Ahmad Lutfi Othman ini dengan meriahnya. Seperti yang saya katakan kebanyakan tulisan beliau masih penuh dengan nilai pop, kurang sokongan ilmiah, bersifat nujum-nujuman; akan tetapi ketajaman pena beliau tidak tersangsikan lagi.
Tulisan Lutfi ini adalah rakaman sangat bermakna menjelang tsunami politik yang lain. Yang lebih penting, bukan tulisan Lutfi yang telah berjasa selama ini kepada ramai pembaca media politik yang menggemari kebenaran dan sumber alternatif. Tetapi, atau bahkan, tampang Ahmad Lutfi Othman itu sendiri adalah bagai bapa, bagaikan ibu, atau setepatnya kapital yang saling dan sering menggandakan kebaikan, kejujuran dan kehendak atau cita sempurna untuk negara bangsanya.
Kerana itu, dengan kerdil sekali saya memperkenalkan saudara-saudara, seorang ‘wartawan patriot’ yang tidak asing lagi. Selamat menghadami ‘jemput-jemput’ beliau ini.
RUJUKAN
AB, Shamsul. Hubungan etnik di Malaysia: mencari dan mengekal kejernihan dalam kekeruhan. Bangi. Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia. 2008.
http://dictionary.cambridge.org/dictionary/british/capital_3
Putnam, Robert D. Making democracy work: civic traditions in modern Italy. Princeton. Princeton University Press. 1993.
Schattschneider, E.E. The semi sovereign people. New York. Holt Rineheart & Winston. 1960.
------
Artikel ini merupakan kata pengantar dalam buku terbaru Lutfi, DETIK UTOPIA.
Buku ini boleh dipesan melalui pos kepada Penerbitan Pemuda, DL32, Jalan Mutiara, Taman Bukit Ampang, 68000 Ampang, Selangor. Bayaran atas nama Ahmad Luqman Hakim b Ahmad Lutfi, atau bank-in akuan Maybank 162179670906 (emel lutfi_detik@yahoo.com) Harga termasuk bayaran pos RM28.00
No comments:
Post a Comment