Thursday, 6 December 2012

Karib Pak Lah pula sertai PAS




SAYA ke Pulau Pinang seminggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Rakan-rakan di sana menyebut tentang Datuk Abdul Rahman Maidin yang pernah menjadi orang kanan korporat di zaman pemerintahan Tun Abdullah Badawi dulu sudah tidak lagi ngam dengan UMNO. 


Kata mereka, banyak yang dia sudah tidak suka tentang UMNO.
Tanya saya, tidakkah dia juga mahu bersama Pakatan Rakyat kalaupun tidak menyertai PAS? Yang baiknya biarlah dia menyertai PAS, jika dia tidak dapat bersama PAS memadailah dia menjadi kerabat Pakatan Rakyat.
Mereka tidak dapat hendak mengagak adakah dia hendak terjun ke dalam perjuangan menuntut perubahan, menegakkan keadilan dan kebebasan.
Bagi mereka, setakat dia sudah tidak minat kepada UMNO sudah dikira baik untuk kita.
Takjub juga saya tentang seorang yang pernah mendapat kedudukan dan layanan baik dari kerajaan sebelum dipimpin Perdana Menteri Najib boleh tawar hati kepada UMNO dan kerajaannya.
Sebaik saja selesai Perhimpunan Agung UMNO yang mengikut Najib, dengan semangat dalam perhimpunan itu adalah tanda UMNO sudah pulih malah lebih berpengaruh dari masa-masa sebelumnya, maka meletup satu bom yang mengganggu kegembiraan UMNO itu.
Akhbar melaporkan Datuk Abdul Rahman menyerahkan borang menyertai PAS kepada Presidennya di Batu Pahat.
Setahu saya dia orang Pulau Pinang. Mengapa pula dia boleh ke Batu Pahat bagi menyerahkan borang menyertai PAS?
Terharu rasanya, apa yang dikatakan oleh rakan-rakan di Pulau Pinang itu mengesahkan Datuk Abdul Rahman sudah meninggalkan UMNO dan apa yang saya harapkan dia menyertai PAS telah bersama PAS dengan izin Allah.
Apa yang mengharukan lagi ialah ketika hasil Muktamar PAS dicincang oleh pemimin UMNO dan selepas Perhimpunan Agung UMNO mendengar sekalian pemimpin UMNO membotak PAS, Datuk Abdul Rahman nekad masuk PAS.
Layaknya selepas PAS dicincang selumat-lumat, tiada lagi orang mahu bersama PAS. Tetapi sebaliknya, bukan Datuk Abdul Rahman Maidin saja terjun ke medan PAS, tiga lagi orang yang rapat dengan kerajaan ikut menyerahkan borang PAS bersamanya.
Yang menariknya seorang bekas pegawai kanan Felda Mohamad Sais Jonid antara yang baru menyerah borang. Pada ketika Felda dicanang Najib mencapai kejayaan gemilang, disenaraikan di bursa saham, dikatakan orang Felda amat bertuah dan macam-macam insentif lagi diumumkan bagi menggandakan kemajuan Felda, bekas Pegawai Felda pun tak mahu lagi kepada UMNO.
Yang berlaku itu seperti UMNO dibomlah. Ia reaksi pertama selepas semua bom diletupkan UMNO dalam perhimpunannya, ia kena letup. Tak sempat setengah perwakilan sampai ke rumah untuk menyenangi hasil perhimpunan, ia kena bom di Batu Pahat.
Dengan menghempapkan semua keburukan kepada PAS, sepatutnya orang PAS lari daripadanya dan tiada lagi orang hendak menyertai PAS. Orang PAS bencikan PAS seperti Hasan Ali dan kawannya tidak masuk UMNO, orang-orang di bawah dagu UMNO pula masuk PAS.
Mereka tidak termakan dengan tohmah kononnya doa PAS mahu UMNO KO adalah tidak Islamik.
Datuk Abdul Rahman itu orang Pulau Pinang. Jika didengar ceritanya, orang Melayu Pulau Pinang amat benci kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan amat meluat dengan kerana menjadi kuda tunggangan PAS. Tapi orang Melayu Pulau Pinang bergelar Datuk pula menyertai PAS. UMNO kata Johor bukan bumi subur untuk PAS, tapi Datuk Rahman bersama tiga lagi pergi ke Johor untuk mengumumkan mereka masuk PAS.
PAS wajar menginsafinya dan mensyukurinya. Semuanya dengan izin Allah.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts