Mungkin ramai yang
beranggapan pengganas komunis hanya ‘menanam ubi’ dalam hutan belantara bagi
melengahkan para permburu yang sentias mengejar mereka dalam operasi memusnakan
mereka. Sebenarnya pengganas komunis turut memasang
jerat di bandar-bandar, seperti di Pulau Pinang. Ini diceritakan oleh mantan
pegawai Jurutera, Kapt Sulaiman Bin Mohd Salleh (B) (bersara Lt Kol), seorang
mangsa jerangkap samar.
Pada 1971, beliau bertugas di No 24 Skn (Askar Wataniah) berpangkalan di
Pulau Pinang. Salah satu tugas tambahan yang dipertanggungjawabkan kepada
pasukan ini ialah memusnahkan jerangkap samar yang dipasang/ditanam
persekitaran bendera Parti Komunis Malaya (PKM) yang kerap berkibar di Pulau
Mutiara.
Pada 01 Mei 1972, ketika memberi ceramah dalam satu seminar sempena
'Hari Pegawai' di Pulau Pinang, Kapt Sulaiman telah menerima panggilan telefon
daripada Supritenden Zaman Khan (bersara Tan Sri), Ketua Polis Daerah George
Town. Menurutnya, penduduk tempatan telah maloparkan kepada pihak polis
terdapat bendera PKM berkibar di atas bukit di Balik Pulau dan Tanjung Bungah.
Justeru, beliau memohon bantuan Kapt Sulaiman untuk memusnahkan jerangkap samar yang
kebiasaannya ditanam di kawasan bendera.
Selesai saja ceramah, beliau bersama 5 orang anggota timnya, telah pergi
ke Balik Pulau. Kerja-kerja memusnahkan jerangkap samar berjaya dilaksanakan
pada jam 0030, 02 Mei. Pada awal pagi pula, mereka meneruskan tugas di Tanjung
Bungah dan mula mendaki bukit pada jam 0815 dan tiba dilokasi terbabit pada jam
1145[2]; bendera dipasang di atas sebatang pokok. Bagi beliau, ini
adalah insiden kali ke55 pasukannya terlibat dengan misi memusnah jerangkap
samar yang dipasang di persekitaran bendera PKM!
Sebelum menurunkannya, proses mengesan jerangkap dilakukan dengan
'Pengesan Jerangkap Samar A4' (teknologi Perang Dunia Ke2). Peralatan tersebut
tidak mengesan sebarang komponen jerangkap samar. Masalah alatan ini ialah ia
hanya boleh mengesan jerangkap samar yang ditanam sedalam 6 inci sahaja. Namun
demikian, melalui pengalaman, beliau yakin terdapat jerangkap samar di kawasan
itu. Justeru, bagi mempastikannya, Kapt Sulaiman akan membuat tinjauan di
kawasan tersebut. Pada jam lebih kurang 1315, ketika meletakkan tangannya pada sebatang
pokok berdekatan dengan pokok berkenaan sebelum memulakan langkah pertama, beliau
telah hilang imbangan dan tiba-tiba '....Boom' diikuti '...Boom...Boom...Boom'. Tiga
jerangkap samar meletup serentak dan melambungkannya 8 kaki ke
udara. Beliau telah terpijak jerangkap samar yang ditanam di bawah pokok
tersebut!
'Dah mati ke aku?' ingat beliau apabila jatuh ke bumi. Anggapan ini
kerana keseluruhan kawasan di penuhi dengan debu putih bagaikan awam. Kesakitan
yang teramat sangat di kaki kanannya menyedarkan Kapt Sulaiman bahawa beliau
masih hidup. Beliau telah meminta anggotanya untuk membuka butnya kerana tidak
sanggup menahan kesakitan. Tanpa but, dalam beberapa saat sahaja, kakinya
membengkak. Tumit kaki kanannya hancur sama sekali. Anggota-anggota beliau
mengimprovisasi satu strecer untuk membawa beliau keluar dari lokasi itu. Dalam
perjalanan menurun bukit, beliau telah pengsan. Apabila tersedar, beliau sudah
berada di Hospital Besar Pulau Pinang.
Doktor memaklumkan kakinya perlu dipotong tetapi beliau tidak bersetuju.
Kapt Sulaiman terpaksa menjalani sebanyak 21 pembedahan untuk membetulkan
tulang kaki kanannya dalam tempuh 5 tahun dan terbaring di hospital selama tiga
tahun setengah.
Lt Kol Sulaiman (B)....Terima kasih.
No comments:
Post a Comment