Monday 24 September 2012

Vanidah, Rashidi digesa segera rujuk


VANIDA dan Rashidi mencetuskan kontroversi dalam filem Untuk Tiga Hari apabila mengungkapkan kata-kata cerai. 
 
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Pasangan pelakon Rashidi Ishak dan Vanidah Imran (Vee) digesa segera merujuk kepada jabatan agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan Rashidi terhadap Vanidah dalam filem Untuk Tiga Hari.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, lafaz cerai yang diungkapkan Rashidi sewaktu melakonkan watak Zafrin dalam filem itu menyebabkan perkahwinan sejak 1 Oktober 2000 antara beliau dan Vanidah tidak sah di sisi agama.

"Ia umpama menjadikan sesebuah perkahwinan itu sebuah permainan seperti kahwin muta'ah. Justeru, saya menasihatkan kedua-dua mereka merujuk kepada jabatan agama Islam dengan segera.

"Umat Islam tidak harus mempermainkan hukum-hakam agama meskipun dalam soal lakonan. Jangan menggambarkan seolah-seolah pernikahan itu satu permainan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas dialog yang diungkapkan Rashidi kepada Vanidah dalam satu babak pada filem arahan Afdlin Shauki itu yang menyebut:

Kita kahwin untuk tiga hari, Affin akan pegang pada janji Affin, hari kedua mesti kena bersanding, lepas itu selepas selesai majlis perkahwinan, hari ketiga, kita minta cerai.
Jelas Harussani, Islam tidak mengajar penganutnya untuk mempermainkan kesucian sesebuah perkahwinan sebaliknya berusaha memastikan perkahwinan itu berkekalan dan bahagia sepanjang kehidupan mereka.

"Tidak betul untuk kita menjadikan tindakan-tindakan seumpama itu sebagai budaya meskipun dalam lakonan kerana ia akan menggalakkan perpecahan dalam rumah tangga," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts