26 September 2012
ALOR SETAR- “Saya sebak apabila mendengar tangisannya setiap kali dia
menghubungi saya dan meminta mencari jalan untuk membantunya pulang ke
tanah air,” demikian luahan Aishah Baharom, 67, yang menanti kepulangan
anaknya.
Aishah buntu memikirkan cara untuk membawa pulang anaknya Hamidah Mohd
Noor, 46, yang dipercayai mengikut teman lelakinya yang dikenali sebagai
Taufik ke Indonesia sewaktu bekerja di kilang di Pulau Pinang.
Aishah berkata, berdasarkan kiriman pesanan ringkas (SMS) yang dihantar
anak keempat dari enam beradik itu, dia kini tinggal di Kampung Adi
Mulyo, Lampung, Indonesia setelah pergi ke sana sejak 11 tahun lalu.
Menurutnya, Hamidah sering bertanyakan khabar dan menghubungi dia dan
suami, Mohd Noor Shaari, 75, yang kini mengalami penyakit saraf.
“Setiap kali dia (Hamidah) menghubungi saya, dia pasti akan menangis
merayu kepada saya untuk mencari jalan supaya dia dapat pulang ke
pangkuan keluarga selain dia amat merindui kami.
“Dia juga ada memaklumkan mahu pulang untuk melihat bapanya yang tidak
sihat namun katanya tidak mendapat keizinan daripada suami,” katanya
ketika ditemui di rumahnya di Taman Wira, Mergong.
Aishah mendapat tahu Hamidah berada di Indonesia setelah menerima surat
daripada anaknya yang memaklumkan dia berkahwin dan mempunyai seorang
anak yang kini berusia lapan tahun.
Menurutnya, Hamidah ada memaklumkan yang dia sendiri tidak tahu
bagaimana mengikut Taufik ke Indonesia dan hanya tersedar berada di sana
setelah melahirkan anak tunggalnya.
Sebelum bekerja di Pulau Pinang, Hamidah pernah berkahwin selama lapan tahun namun, bercerai.
Menurutnya, ketika Hamidah bekerja di Pulau Pinang, dia langsung tidak
pernah meluahkan hasratnya untuk berkahwin dengan Taufik atau mahu ke
Indonesia walaupun pernah membawa Taufik ke rumah.
“Hamidah anak yang mendengar kata, saya juga terkejut bagaimana dia boleh mengikut lelaki pergi ke Indonesia.
“Saya amat berharap anak saya dapat pulang ke Malaysia kerana setiap
hari saya membayangkan keadaannya di sana, apatah lagi setelah
dimaklumkan mengenai kehidupannya sekarang yang serba kekurangan,”
katanya.
Bapa Hamidah, Mohd Noor yang terlalu merindui anaknya tidak putus-putus
memanjatkan doa supaya ada pihak yang dapat membantu membawa Hamidah
pulang.
Dia yang tidak mampu untuk berjalan terlalu lama, setiap hari akan menunggu panggilan daripada Hamidah untuk melepaskan rindu.
“Saya rindu sangat dengan anak saya dan merayu supaya ada pihak yang
dapat membantu kami membawa pulang Hamidah agar kami dapat bertemu dan
berkumpul seperti dahulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment