WASHINGTON 5 Sept. - Bekas anggota komando
Amerika Syarikat (AS) yang menulis buku mengenai pengalamannya terlibat
dalam serangan yang membawa kepada pembunuhan Osama bin Laden, berdepan
dakwaan jenayah.
Amaran Pentagon itu dikeluarkan, semalam selepas Pemerintah Khas
Perang Tentera Laut, Laksamana Muda Sean Pybus menyuarakan pandangan
mengenai sesetengah komando bersara atau masih menganggotai badan itu
yang cuba mendapatkan wang atas kemasyhuran mereka.
"Saya sangat kecewa, malu dan memandang serius perkara ini," ujar
Pybus melalui surat yang dihantar kepada anggota tentera, mengecam sikap
sesetengah mereka yang menjaja maklumat mengenai misi menentang musuh
nombor satu negara itu.
Namun, masih belum jelas sama ada kerajaan akan mengenakan dakwaan
jenayah terhadap penulis buku, Matt Bissonnette, yang merupakan antara
komando terlibat dalam operasi pada Mei tahun lalu di Abbottabad,
Pakistan.
Buku bertajuk No Easy Day itu mula dijual semalam, ditulis menggunakan nama penanya, Mark Owen.
Jabatan Pertahanan AS, sebelum ini mengugut untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap Bissonnette, namun ditangguhkan berikutan tidak
pasti sama ada buku itu mendedahkan rahsia negara.
No Easy Day mencetuskan kontroversi apabila ia mendedahkan bahawa misi membunuh Osama jauh bercanggah dengan kenyataan White House.
Menurut buku itu, Osama sudah mati ketika pasukan elit tentera laut
AS menyerbu bilik tidurnya di sebuah banglo di Abbottabad, bercanggah
dengan kenyataan rasmi White House tentang kematian bekas pemimpin
al-Qaeda itu. - AFP
No comments:
Post a Comment