KUALA LUMPUR, 25 Sept — Spekulator mata wang, George Soros bukan
sahaja mendanai kumpulan pro-demokrasi di Malaysia, tetapi juga telah
membiayai aktiviti-aktiviti Majlis AIDS Malaysia (MAC) yang pernah
diketuai oleh anak perempuan pengkritik utamanya di Malaysia, Datuk Paduka Marina Mahathir.
Warganegara Amerika Syarikat (AS) itu mendapat perhatian akhir-akhir ini
selepas akhbar arus perdana dan stesen televisyen mesra kerajaan
berkata Open Society Institute (OSI) telah mendanai badan bukan kerajaan
(NGO) pro-demokrasi untuk menjejaskan kestabilan kerajaan Barisan
Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak.
Media Malaysia tidak memberikan apa-apa bukti usaha untuk ketidakstabilan.
Ketua pengkritik Soros adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pernah
memanggil hartawan Amerika itu “dungu” apabila spekulasi matawang Soros
dikatakan telah membawa turun ringgit Malaysia semasa Krisis Kewangan
Asia pada 1997/98.
Wakil MAC dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider membuat
pengakuan selain dana daripada OSI, mereka juga menerima dana daripada
Global Fund (GFATM) yang terlibat dalam program kesedaran anti-AIDS, TB
dan malaria.
“Ya, MAC juga menerima dana asing dan ia digunakan untuk program
kesedaran seperti kempen kesedaran isu tentang AIDS dan HIV serta
program-program lain,” kata wakil MAC yang enggan namanya dikenali
kepada The Malaysian Insider.
Oraganisasi tersebut memberitahu tahun
lepas mereka menerima dana sebanyak US$75 ribu (RM230 ribu) bagi
menampung program dan kempen mereka dalam memberi kesedaran tentang AIDS
dan HIV.
Minggu lalu, pertikaian dana asing kepada NGO di Malaysia menjadi isu
yang hangat dimainkan oleh media arus perdana yang dikawal oleh Umno dan
Barisan Nasional (BN).
Mereka menuduh pembiayaan sedemikian bertujuan untuk menjatuhkan imej kerajaan dan pemimpin Malaysia.
Antara NGO yang menjadi sasaran ialah seperti SUARAM, Seacem dan media
alternatif, Malaysiakini yang didakwa oleh kerajaan dan agensi-agensinya
sebagai cuba mencetuskan ketakstabilan politik negara.
SUARAM baru-baru ini dipantau secara dekat oleh Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) yang mendakwa bahawa badan hak asasi manusia tersebut
memiliki “akaun yang mengelirukan”.
NGO hak asasi manusia itu telah secara aktif mengikuti skandal Scorpene
di mahkamah Perancis, berazam untuk mendedahkan dakwaan rasuah kerajaan
dalam pembelian kapal selam berbilion ringgit pada tahun 2009 dan
mungkin membuka semula kes pembunuhan warga Mongolia Altantuyaa
Shaariibuu, yang dikatakan ada kaitan dengan perjanjian itu.
Malahan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan
dua hari lalu mendakwa spekulator mata wang, Soros cuba merampas kuasa
politik daripada kerajaan BN dengan melantik perdana menteri pilihannya
di Malaysia.
“Bagaimana ia boleh menjadi satu
perkara yang baik? Dia mahu mengawal politik kita,” kata Dr Mahathir
kepada pemberita Ahad lalu. _TMI
No comments:
Post a Comment