Thursday, 9 August 2012

Waheeda-Akhil Hayy, Contoh Pejuang Seni Islam..


SETELAH Akhil Hayy, 43, diijabkabulkan dengan pelakon dan penyanyi Waheeda, 33, (gambar) Waheeda terus mengambil keputusan drastik untuk mengundur diri dari bidang seni berunsur maksiat, manakala Akhil pula sudah acap kali terbabit dengan pelbagai program agama dan dakwah di saluran Astro Oasis. Syabas Waheeda dan Akhil Hayy!

Diberitakan. Waheeda yang ditemui sewaktu sidang media episod kemuncak program Imam Muda 3 yang diadakan di Bukit Jalil baru-baru ini, beliau mengatakan antaranya, "Sebelum bersara dahulu, saya sudah 10 tahun terbabit dalam bidang seni. Kini saya masih boleh memberi sumbangan dalam bidang muzik menerusi penciptaan lagu, meskipun sudah tidak menyanyi lagi."

Sementara itu, suaminya Akhil yang baru menamatkan tugasannya sebagai pengacara Imam Muda 3 pada 3 Ogos lalu memberitahu dia sedang dalam proses untuk menghasilkan album baharu. Menurutnya, ia merupakan album yang kelima dan mengandungi 10 buah lagu. Setakat ini tujuh buah lagu sudah siap dirakamkan termasuk dua buah lagu yang dicipta oleh isterinya iaitu.. 
  • Ighfir Zdunubi (Ampunkan Aku) dan  
  • Subhanaka. 

Di situlah hebatnya isteri yang memperjuangkan seni sesuai dengan peranannya sebagai Muslimah melalui peranan suaminya.  Al-hamdulillah.

Menurut Akhil Hayy, "Sebenarnya proses untuk menghasilkan album ini sudah bermula sejak awal tahun 2010, tetapi ia terpaksa mengambil masa yang agak lama kerana saya perlu mencari lagu-lagu yang sesuai." Sudah tentu maksudnya, sesuai dengan kehendak agama.

"Kini, saya akan kembali fokus semula untuk album baharu ini dan saya berharap supaya ia dapat diterbitkan pada tahun ini," ujarnya yang pernah melahirkan empat buah album iaitu..
  • Nasyid Legenda, 
  • Di Bawah Satu Cahaya, 
  • Kembara Sufi dan 
  • Nasyid Legenda 2.

Selain dalam proses menerbitkan album baharu, Akhil menjelaskan dia juga berhasrat untuk menganjurkan sebuah konsert yang menampilkan otai-otai rock terkenal tanah air. Namun begitu, konsert yang mahu dianjurkannya itu berbentuk islamik apabila penyanyi yang diundang akan mempersembahkan lagu-lagu yang berbentuk ketuhanan. Sudah tentu bukan lagu-lagu yang melalaikan, tidak membantu pembangunan ruhani dan jasmani insan.

"Saya memang mengimpikan untuk menganjurkan konsert yang sebegitu, termasuk dengan penataan cahaya dan bunyi yang baik dan mampu memberikan hiburan yang bermakna kepada peminat," ujarnya yang pernah menganggotai kumpulan rock D'Riyadh pada awal 90-an.

Pada masa yang sama, Akhil juga memberitahu dia mempunyai perancangan untuk menerbitkan filem atau telefilem yang berunsur keagamaan dan kini sedang mencari penulis skrip yang sesuai. Kita patut berdoa dan membantu, moga-moga cita-citanya berhasil.

Berbalik kepada Waheeda, ketika ditanya mengenai kehidupan sehariannya sekarang bersama suami, beliau memberitahu dia lebih banyak memberi tumpuan kepada rumah tangga dan perniagaan abaya yang dilakukan dalam talian. Itulah yang wajar sebagai seorang isteri artis yang solihah, tidak dengan mempamirkan diri kepada awam.

Soal anak dan keluarga tidak diabaikan. Penyanyi yang zaman jahiliahnya pernah berlakon sebanyak enam buah filem itu memberi fokus untuk membesarkan dua orang anak tirinya, walaupun bukan anak kandungnya sendiri. Namun begitu dia tetap berharap dikurniakan Allah SWT cahaya mata sendiri pada tahun hadapan.

 Menurutnya seperti yang diberitakan, "Pada awal tempoh perkahwinan saya dan suami, saya memang banyak menguruskan rumah tangga dan kedua-dua anak tiri iaitu Siti Nur Maisarah dan Mohd. Syarif Idayatullah.

"Kini kedua-dua anak tiri saya sudah bersekolah di sebuah Maahad Tahfiz di Ipoh, Perak dan boleh dikatakan sekarang ini merupakan tempoh bulan madu saya dan suami termasuk berusaha untuk mendapatkan anak sendiri," ujarnya.

Menurutnya, biarpun selama ini dia sekadar membesarkan kedua-dua anak tirinya, namun dia tetap menganggap mereka seperti anak kandung dan sentiasa memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik.

"Sebagai ibu, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membesarkan anak-anak dan melihat mereka berjaya. Sekurang-kurangnya berpeluang menjaga anak tiri dapat memberi pengalaman buat saya untuk membesarkan anak sendiri nanti," jelasnya.

Melihat kepada perkembangan dunia hiburan tempatan sekarang, semakin ramai artis wanita yang mengambil keputusan untuk berhijrah, Waheeda memuji tindakan rakan-rakan artis tersebut. Bagaimanapun, dia menjelaskan istilah 'hijrah' itu adalah kembali kepada fitrah kerana hasrat mereka yang kini berpegang kepada hukum Allah.SWT.

Pada saya, ituah contoh sebagai seorang Muslimah, isteri kepada artis Islam masa kini yang...
  • Tidak mempamerkan diri menyanyi di tempat yang ada lelaki bukan muhrim, kerana memperelokkan suara bukan pada tempatnya bagi wanita adalah salah dalam Islam.
  • Membantu suami menambah ekonomi keluarga dan berdakwah menyebarkan pakaian Islam supaya ramai wanita menutup aurat. 
  • Memperjuangkan seni lagu-lagu yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam dari balik hijab.
Kata pujangga, tangan yang menghayun buaian itulah yang akan menggncangkan dunia. Sesuai juga dengan kata ulama, wanita itu adalah tiang seri rumah tangga. Biasanya, tiang seri yang kukuh itu tidak nampak dari luar, tetapi kalau rumah itu roboh, siasatlah tiang serinya!  

Zaman sekarang, ibarat pelancar roket yang ditembak dari dalam rumah, tetapi sasarannya adalah medan tempur musuh!!

Allahu 'aklam.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts