KUBANG PASU 10 Ogos - Universiti Utara Malaysia
(UUM) melantik Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) dan dua
bekas mufti sebagai Profesor Adjung bagi memajukan lagi Pusat Islam
universiti itu.
Pengarah Pusat Islamnya, Prof. Madya Dr. Ismail Ishak berkata, dua
bekas mufti yang dilantik ialah bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh
Hassbullah Abd. Halim dan bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahya Hussin.
Katanya, ketiga-tiga tokoh agama itu akan menjadi penasihat dan
perunding dalam hal ehwal Islam universiti serta merancang dan
menguruskan Pusat Islam UUM.
"Pemilihan ketiga-tiga tokoh agama ini adalah disebabkan kekuatan dan
kepakaran masing-masing, khususnya penonjolan di arena tempatan dan
antarabangsa," katanya pada majlis berbuka puasa peringkat UUM di Masjid
Sultan Badlishah UUM di sini semalam.
Pada majlis itu, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri
Tunku Annuar Sultan Badlishah menyempurnakan penyampaian watikah
pelantikan Profesor Adjung kepada tiga tokoh agama tersebut.
Menurutnya, Harussani mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan
Persekutuan dan ia secara tidak langsung dapat membantu UUM dalam
menjalinkan kerjasama berkaitan hal ehwal Islam.
"Hubungan baik Mat Jahya dengan Arab Saudi akan dimanfaatkan
sepenuhnya untuk bekerjasama dengan universiti-universiti di negara Asia
Barat.
"Syeikh Hassbullah pula mempunyai hubungan baik dengan kerajaan
negeri dan Jabatan Agama Islam Kedah dan ia akan memudahkan kita
berurusan dengan mereka kelak.
"Dengan pelantikan ketiga-tiga tokoh agama ini, telah jelas bahawa
Pusat Islam UUM bukan sahaja menumpukan hal ehwal Islam di dalam kampus
tetapi juga ke peringkat lebih tinggi dalam dan luar negara," tambahnya.
No comments:
Post a Comment