Wednesday, 8 August 2012

Menu sederhana tetapi berkat


SEBAIK selesai menunaikan solat Asar di Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, Jamal Adam bersama tiga ahli jawatankuasa masjid bergegas menuju ke bahagian belakang masjid yang menempatkan 10 buah khemah berbumbung putih.
Mereka bergotong-royong mengemas kerusi dan meja untuk orang ramai berbuka puasa di masjid itu. Masing-masing bagaikan sudah memahami tugas yang perlu dilaksanakan sebelum menjelangnya Maghrib. 
Ada yang bertanggungjawab membersihkan ruang di dalam masjid, sementara yang lain mengalas meja khas untuk menyajikan hidangan berbuka. Meja hidangan pula dibahagikan kepada dua bahagian untuk jemaah lelaki dan wanita.
"Segala-galanya perlu dilaksanakan pada kadar segera. Kami tak boleh mengambil sikap lewa dan melewat-lewatkan persiapan kerana bimbang makanan tidak dapat dihidangkan sebelum waktu berbuka puasa.

"Bagi memastikan orang ramai menikmati sajian yang lazat dan sempurna sepanjang bulan Ramadan ini, maka pihak masjid melantik dua syarikat katerer untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Lazimnya khidmat katerer bersama pramusaji digunakan pada hari bekerja saja kerana hari Sabtu dan Ahad, ahli jawatankuasa masjid akan masak bersama-sama," terang Jamal, 51, yang melakukan persiapan berbuka puasa sekitar pukul 5 petang.
Sambil memotong kuih talam, Jamal menceritakan menu berbuka puasa yang disediakan ala kadar saja. Memadailah untuk mengisi perut selepas seharian menahan lapar dan dahaga. Namun hari yang paling mengujakan apabila sajian berbuka puasa di Masjid Bukit Antarabangsa ditaja oleh beberapa individu yang bermurah hati dan berkemampuan. 
Sumbangan makanan tidak dibungkus sebaliknya akan dihidangkan secara bufet untuk kapasiti antara 150 hingga 300 orang. Saki-baki kuih dan minuman pula tidak akan dibuang begitu saja kerana memberi peluang jemaah membawa pulang ataupun menikmatinya selesai solat tarawih.
Selain Masjid Bukit Antarabangsa beberapa masjid di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur turut menyediakan perkhidmatan berbuka puasa di masjid. Antaranya Masjid Asy-Syakirin yang terletak di taman rekreasi Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Masjid Kampung Baru dan Masjid Al-Bukhary di Jalan Hang Tuah.
Dihidangkan secara bufet, menu seperti nasi putih, daging masak merah, ikan masih goreng dan ulam-ulaman serta kuih talam kole kacang sedikit pun tidak menyuntik rasa tawar hati kepada Rosnina Mat Suan, 55 untuk berbuka puasa di masjid. Apatah lagi pilihan minuman di masjid yang terhad pada minuman panas dan sejuk seperti air sirap dan teh tarik. Rosnina merupakan penduduk setempat di Bukit Antarabangsa.
Lebih bersyukur

RAGAM umat Islam sewaktu berbuka puasa di masjid Qubbat Al-Sakhra yang terletak di bandar lama Israel.

"Salah satu sebab saya gemar berbuka puasa di masjid kerana amalan ini mendidik kita erti bersyukur dengan rezeki yang ada. Tiada sebab untuk saya mengeluh dan merungut apabila disajikan hidangan sedemikian. Sekurang-kurangnya saya masih berpeluang menikmati sajian nasi bersama lauk ayam dan daging jika hendak dibandingkan dengan umat Islam yang tinggal di negara miskin.
"Berbuka puasa dengan menu yang ringkas mengelakkan pembaziran. Jika di rumah kita cenderung memasak pelbagai lauk, dorongan nafsu menyebabkan kita menambah juadah yang dibeli di bazar Ramadan. Kadangkala tak habis pun semua makanan itu," jelas Rosnina ketika ditemui Kosmo! di Masjid Bukit Antarabangsa.
Tambah suri rumah itu, berbuka puasa di masjid secara tidak langsung memberinya peluang berdiskusi topik keagamaan dan kemasyarakatan bersama jemaah wanita yang lain sementara menunggu azan Maghrib.
Sementara itu Nazir Masjid Bukit Antarabangsa, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, Datuk Bedolah Botok menjelaskan, hidangan secara bufet atau dihidangkan di dalam dulang lebih berkat. Kaedah sajian tersebut dirasakan membantu mengajak orang ramai datang ke masjid untuk menikmati hidang berbuka bersama-sama.
"Lazimnya, makanan yang dibungkus menyebabkan orang ramai hanya datang ambil dan terus pulang ke rumah. Kesannya, saf untuk solat Maghrib, Isyak dan tarawih akan kosong.
"Berbuka puasa di masjid secara tidak langsung jemaah akan mendekatkan diri di masjid. Sementara menunggu waktu berbuka mereka boleh membaca al-Quran, beriktikaf ataupun mendengar tazkirah," jelas Bedolah.
Mood berbeza
Bagi Siti Norlida Ghazali, 48, tahun ini dia berkesempatan berbuka puasa di masjid buat julung-julung kalinya. Sekitar pukul 6.45 petang selepas pulang bertugas sebagai Pengurus Kanan Jualan di Hotel Prince & Residence, Kuala Lumpur, beliau mula mengambil tempat duduk di meja makan yang disediakan di pekarangan Masjid Bukit Antarabangsa.
"Mood berbuka puasa di rumah dan masjid cukup berbeza. Di sini kita bukan saja perlu menjaga adab-adab ketika berada di masjid malah wajar mengamalkan sikap bertolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri. Misalnya, elak berebut-rebut ketika mengambil hidangan. Berikan keutamaan kepada warga emas dan golongan yang uzur.
"Kemudian, jangan tamak mengisi pinggan dengan kuantiti yang banyak. Ramai lagi jemaah yang ingin menikmati juadah berbuka puasa," jelas Siti Norlida yang hadir bersama dua orang anaknya, Daniel Hafiz Hamdan, 13 dan Ali Imran, 9.
Jelas anak kelahiran Ipoh, Perak itu, sebelum ini aktiviti berbuka puasa menjadi pilihan orang bujang dan amalan itu popular di kampung-kampung. Namun seiring peredaran zaman, amalan itu turut menjadi perhatian golongan berkeluarga dan warga kota.

ORANG ramai dinasihatkan supaya bertolak-ansur dan tidak berebut sewaktu menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan oleh pihak masjid.

"Amalan berbuka puasa di masjid dapat meningkat jumlah jemaah dan merapatkan ukhwah sesama manusia. Di sini saya berpeluang menambah kenalan baharu dan mengenali jiran lebih dekat yang sebelum ini sukar untuk bertegur sapa. Kami saling bertukar nombor telefon dan mula merangka aktiviti menarik untuk dilakukan selepas bulan Ramadan.
"Kini barulah saya faham betapa program di masjid membantu menyemai semangat kejiranan yang kuat. Insya-Allah jika berkesempatan tahun depan saya ingin meneruskan amalan berbuka puasa di masjid," kata Siti Norlida ketika ditemui Kosmo!.
"Tahun ini genap sembilan tahun saya berbuka puasa di masjid. Walaupun tidak penuh selama sebulan tetapi saya akan mencari masa bagi memastikan sekurang-kurangnya lima kali seminggu untuk berbuka di masjid.
"Suasana berbuka puasa di rumah mahupun di restoran lebih selesa dan agak mewah, namun hakikatnya berbuka puasa di masjid memiliki keunikan tersendiri meskipun terpaksa duduk bersila di atas lantai dan tidak bermeja. Makanan pula dihidangkan di atas pinggan plastik dan kadangkala pinggan kertas saja," ujar anak jati Sungai Petani, Kedah, Mohd. Faiz Naim Hassan, 25, yang gemar berbuka puasa di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria, Sungai Petani, Kedah.
Didik berdisiplin 
Dia mula berbuka di masjid pada umur 16 tahun sewaktu menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Pemberian Zakat Fitrah anjuran masjid berkenaan.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Khidmat Pelanggan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor itu salah satu keistimewaan berbuka puasa di masjid ia mendidik para jemaah lelaki ataupun wanita erti disiplin.
"Disiplin yang dipamerkan ialah dari aspek solat berjemaah dan berbuka puasa. Di masjid, kita akan berbuka puasa dengan segelas air, sepotong kuih dan beberapa biji kurma sebelum menunaikan solat Maghrib secara jemaah. Selesai solat, barulah kita makan makanan berat. 
"Selesai berbuka para jemaah berkumpul semula di dalam masjid untuk bersama-sama mengerjakan sembahyang Isyak dan solat sunat tarawih. Situasi menonjolkan perpaduan dan semangat bersatu padu umat Islam dalam menjalani amal ibadat pada bulan Ramadan," jelas Mohd. Faiz yang juga gemar berbuka puasa di masjid kerana enggan terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts