Wednesday, 1 August 2012

Isu Replika Botol Arak di Penang 'selesai'


Arak bukan promosi Aidilfitri
Arak bukan promosi Aidilfitri
Botol arak dikeluarkan dari struktur pameran, semalam.
 
GEORGETOWN - Pihak pengurusan sebuah pusat membeli belah yang didakwa mempromosikan minuman keras sempena sambutan hari raya Aidilfitri mengakui melakukan kesilapan namun ia bukan disengajakan.
Exco Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya menghubungi pengurusan pusat membeli belah berkenaan dan mengambil tindakan segera.
Beliau berkata, pihak pengurusan pusat beli belah terbabit bersetuju membuat ubah suai segera dan memindahkan struktur pameran dan botol minuman keras berkenaan.
“Perkara ini bukan disengajakan oleh pihak pusat beli belah itu kerana struktur yang mempamerkan botol arak itu adalah satu binaan lama.
“Binaan replika sempena sambutan hari raya Aidilfitri itu pula baru dibuat di depan struktur botol arak. Oleh itu, ia dilihat seolah-olah dipromosikan bersama apabila kita mengambil gambar sedangkan pihak pengurusan berkenaan tidak berniat sebegitu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam tindakan pengurusan sebuah pusat membeli-belah terkenal di pusat bandar ini yang mempromosikan minuman keras sempena sambutan Aidilfitri.
Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, pihaknya kesal dengan pihak pengurusan pusat membeli-belah itu kerana mempamerkan kira-kira 480 botol bir kosong di bawah kain rentang tertera Syawal Ceria.
Dalam pada itu, Abdul Malik meminta pertubuhan bukan kerajaan termasuk CAP agar terus menghubungi dan memaklumkan kepada pihaknya atau Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Menurutnya, perkara itu boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa tanpa perlu pendedahan pihak media.
“Tidak payah masukkan perkara sedemikian ke dalam surat khabar kerana kami boleh menyelesaikannya,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kesemua botol arak yang sebelum ini disusun di dalam struktur pameran sudah dikosongkan oleh pihak pengurusan pusat beli belah berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts