Sumber: Ibnu Hasyim
BANDAR TEMERLOH – Ketika umat Islam sibuk merebut pahala berganda ketika ini, masih ada segelintir umat Islam mencemar kesucian Ramadan tanpa rasa malu apabila membeli nombor ekor.
Aktivis masyarakat, Zainor Rashid Abdullah, 52, berkata, dia kesal dengan perbuatan segelintir umat Islam itu yang sengaja menunjukkan sikap kurang baik pada mereka yang bukan beragama Islam. Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan ada bapa yang membawa anak kecil membeli nombor ekor dan sudah pasti perbuatan buruknya itu akan menjadi contoh serta ikutan kepada anaknya.
“Kita sedih melihat umat akhir zaman ini yang sengaja melakukan perbuatan berdosa tanpa ada perasaan bersalah atau malu pada masyarakat umum.
“Perkara ini umpama menconteng arang di muka umat Islam dan seharusnya ia tidak berlaku. Kita dapat lihat ada segelintir umat Islam membeli nombor ekor di kedai-kedai sekitar Temerloh dan Mentakab,” katanya kepada Sinar Harian.
Zainor Rashid berkata, selain itu daripada sumber yang diperoleh terdapat juga kakitangan kerajaan terlibat dalam aktiviti kurang sihat itu, termasuk warga emas yang sepatutnya menjadi contoh dan tauladan kepada generasi muda.
“Perkara ini perlu dibendung segera kerana kita tidak mahu lebih ramai umat Islam terjebak dalam perkara tidak bermoral ini yang mana akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga meminta pihak berkuasa memantau perang mercun di taman perumahan kerana ia mengganggu ketenteraman orang ramai terutama kanak-kanak dan warga emas.
“Kita kecewa kerana bekalan mercun mudah didapati dan boleh dibeli oleh kanak-kanak bawah umur,” katanya. (Sinar)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Orang Islam beli nombor ekor bulan Ramadhan malu, kerajaan lulus lesen nombor ekor sepanjang masa tak malu? Bapa yang membawa anak kecil membeli nombor ekor suatu contoh perbuatan buruk, kerajaan lulus lesen judi lagi besar ajar rakyat berkelakuan buruk, itu lagi teruk.
Kerajaan kencing berdiri, tentu rakyat kencing berlari! Kalau nak jadi baik mudah saaja, tolak kerajaan UMNO/BN, pilih kerajaan PAS/Pakatan dalam PRU13 ini..Itu jalan selesai! (IH)
No comments:
Post a Comment