PKR lancar kempen turun harga kereta
PETALING JAYA: PKR hari ini melancarkan kempen 'Turunkan Harga Kereta' mengambil kesempatan cuti balik kampung Hari Raya Aidilfitri.
Pelancaran dilakukan di Ibu Pejabat PKR oleh Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad tengahari ini.
Menurut Nik Nazmi, pelancaran itu bertujuan agar cadangan PKR menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat sampai ke seluruh pelosok negara.
Sebanyak 50 ribu pelekat kereta 'Turunkan Harga Kereta' telah dicetak dan akan diagihkan mulai hari ini di sekitar Lembah Klang.
"Untuk minggu ini, kita akan mengagihkan pelekat ini di tol-tol, manakala selepas cuti Hari Raya kita akan mengagihkannya keseluruh negara melalui pejabat-pejabat PKR setempat," katanya.
Selain dari pelekat kereta, PKR juga turut mengubahsuai sebuah kereta Proton Tiara bagi menjadi kereta rasmi kempen tersebut.
"Bermula 24 Ogos ini, pasukan kempen akan mula menjelajah tempat-tempat yang dipilih di Lembah Klang dan seluruh negara sebagai sebahagian dari Jelajah Turunkan Harga Kereta.
"Kita juga akan turut mengadakan forum yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat yang akan bermula 2 September nanti," sambungnya lagi.
PKR juga turut mengadakan kempen di laman sosia www.facebook.com/turunkanhargakereta dan menyeru seberapa ramai rakyat menyokong laman ini dan menyebarkan logo kempen.
PKR yakin desakan menurunkan harga kereta adalah satu tuntutan yang disokong oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
"Logo kempen dipilih tidak melambangkan unsur politik supaya semua rakyat tanpa mengiran latar belakang dan kepercayaan politik boleh bersatu dan bersetuju bahawa masanya telah tiba untuk memastikan harga kereta tidak membebankan rakyat," sambung beliau lagi.
PKR turut meminta rakyat Malaysia membantu mempromosi kempen ini dengan menghiasi laman facebook dan twitter dengan logo 'Turunkan Harga Kereta' bermula hari ini.
No comments:
Post a Comment