ALOR SETAR - Bilangan orang ramai yang meminati makanan kegemaran Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah seperti popia Mohammad
dan Mee Abu sentiasa meningkat setiap tahun.
Pengusaha Mee Abu, Seeni Mohammad Abd Kadir, 58, berkata, mereka sedang
berusaha untuk membuka dua cawangan baru pada tahun depan iaitu di
Kuala Lumpur dan Alor Mengkudu, Kedah bagi memberi peluang lebih ramai
orang merasainya. Menurutnya, selain Tuanku Abdul Halim dan bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sering menikmati makanan itu setiap kali pulang ke Kedah.
“Sejarah pembuatan Mee Abu sudah bermula sejak 1935 di Pulau Pinang dan pada 1945 moyang saya membawanya ke sini.
“Sekarang sudah masuk generasi keempat yang mengambil alih perniagaan
ini,” katanya kepada media pada majlis berbuka puasa popia Mohammad dan
Mee Abu bersama Kelab Media Elit Kedah (KMEK), di sini, baru-baru ini.
Seeni berkata, mereka bersyukur kerana makanan yang dihasilkan sering mendapat perhatian golongan kenamaan.
Hadir sama, Presiden KMEK, Kamarul Ariffin Md Yasin.
Dalam majlis itu, seramai 80 anak yatim diraikan, termasuk murid
Sekolah Pendidikan Khas Alor Setar, Sekolah Kebangsaan Jabi, Sekolah
Menengah Tunku Abdul Malik serta pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran, Derga.
Bagi pengusaha popia, Sini Mohammad Jamal Mohamad, 45, berkata,
sehingga kini sudah ada empat cawangan popia, manakala mi mempunyai dua
cawangan.
“Ini kali pertama kita bekerjasama dengan KMEK untuk meraikan anak
yatim. Moga tahun depan majlis seperti ini dapat diteruskan lagi,”
katanya.
No comments:
Post a Comment