Tuesday, 7 August 2012

Antara derita Rohingya dengan gahnya Olimpik London



Blog lanh14.blogspot.com

DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.  Renungan “Ucapkanlah wahai anak, ‘Ya Tuhanku, kasihilah kedua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil.” (Surah al-Israk, ayat 24)  Kini Ramadan Kareem sudah menginjak ke pengakhiran. Semoga kita mendapat pengampunan-Nya. Ramadan beberapa tahun lalu, kita dikejutkan dengan tragedi umat Islam selatan Thailand apabila lebih ratusan orang terbunuh selepas pasukan tentera Thai melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan yang membantah penangkapan guru agama.

Kini pada Ramadan mulia ini orang Islam Rohingya di Myanmar (Burma) pula disembelih beramai-ramai. Pengusiran orang Rohingya sekali gus memalitkan rasa malu kepada pertubuhan serantau Asean dan sejagat seperti OIC dan PBB yang setakat ini 'malu-malu untuk bersuara' apatah lagi bertindak. Malaysia yang pernah menjadi Pengerusi OIC dan anggota kanan dalam Asean perlu bertindak segera bagi membela golongan minoriti itu. Berdasarkan sejarah, kita tahu PBB akan bertindak segera untuk menangani apa yang mereka dakwa keganasan yang berlaku di sebuah negara umat Islam. Krisis di Dafur, Sudan; Timor Timur (bekas wilayah Indonesia), Iraq; Afganistan, Iraq dan Iran adalah sebahagian contohnya.
Tetapi dalam kes membabitkan penganiayaan ke atas umat Islam seperti di Kashmir (India), Xinjiang (China), Chechnya (Rusia), Rohingya (Myanmar) dan kini di Thailand, PBB 'tidak berkutik' pun, apatah lagi untuk mengharapkan suara lantang kuasa besar dunia.
Dunia Islam juga memandang sepi. Masalah Rohingya bukan keutamaan mereka, jadi tidak perlu susah-susahkan diri. Jika OIC yang mendakwa sebagai 'payung umat Islam' sedunia lambat bertindak, apa lagi yang dapat dilakukan ummah, selain mendoakan keselamatan saudara seagama.
Kini selepas lebih empat dekad sejak diwujudkan pada 1969; OIC, pemimpin dan ummah perlulah bermuhasabah diri, mengkoreksi dan memperbaiki apa-apa kelemahan yang menyebabkan umat Islam seluruh dunia dihina sedemikian rupa.
Kita yakin selagi umat Islam terutama pemimpinnya tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-nya selagi itu penghinaan akan dihadapkan kepada umat ini. Kini dari China ke Afrika Selatan, dan dari Amerika Syarikat ke Australia, umat Islam hidup penuh tekanan sehinggakan di negara yang mengaku negara Islam contoh, hukum-hakam Islam dicemuh walaupun baru ada ura-ura melaksanakan sebahagian daripadanya.
Bagi kita, berapa banyak pun sidang OIC, selagi sebahagian besar pemimpinnya dan juga pemimpin negara umat Islam masih berkiblatkan Washington, London dan Moscow, selagi itulah ummah akan dihina.
Ketika saudara seislam kita, orang Rohingya menderita, dunia termasuk negara dan masyarakat Islam bergegak gempita dan gah dengan Sukan Olimpik yang dilangsungkan di London pada bulan suci Ramadan. Cendekiawan Islam juga sibuk membicarakan perihal sukan ini sama ada atlet dibolehkan menangguhkan puasa. Tetapi tidak ramai yang peduli akan penderitaan orang Rohingya.
Penganjuran Olimpik pada bulan Ramadan menunjukkan Barat tidak peduli pun akan amalan orang Islam. Sukan yang berasal daripada kepercayaan Greek purba ini penuh dengan gaya bertentangan ajaran Islam seperti memuja api (berlari membawa obor api) manakala sesetengah atletnya hampir bertelanjang. Melalui sukan ini Barat mahu seluruh dunia termasuk orang Islam mengikut cara hidup mereka. Itulah sebabnya timbul kontroversi apabila Arab Saudi bertegas atlet wanitanya tetap berhijab manakala Iran siang-siang lagi sudah memboikot sukan ini.
Jika pada tahun 1980 dulu, sebahagian besar negara dunia termasuk negara kita memboikot Sukan Olimpik Moscow kerana pencabulan Soviet _ Union_ terhadap Afghanistan, tidak bolehkah negara dan umat Islam mengambil sesuatu inisiatif untuk menarik perhatian dunia terhadap penderitaan umat Islam minoriti di negara seperti Myanmar (Rohingya), China (Xinjiang), India (Kashmir) dan Filipina (Mindanao).
Atau mereka terpukau dengan gah dan keglamoran London sehingga melupakan bahawa kini adalah bulan Ramadan dan lebih malang lagi saudara seagama mereka dizalimi sedemikian rupa?

No comments:

Post a Comment

Popular Posts