SHAH ALAM – Dua kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik
(AES) di Lembah Klang menjadi sasaran perbuatan vandalisme dengan
kedua-duanya disembur cat merah, dipercayai dilakukan awal pagi ini.
Hasil tinjauan Sinar Harian Online di Kilometer 6.6 Lebuh Raya
Lembah Klang Selatan (SKVE) petang ini mendapati kamera itu masih
berfungsi seperti biasa, namun proses rakaman mengalami gangguan ekoran
cat merah pada permukaan kamera.
Tinjauan mendapati kamera cuba merakam imej kenderaan yang dipandu
melebihi had laju memandangkan 'flash' masih berfungsi. Pengguna di
laluan tersebut didapati memandu seperti biasa.
Laporan Bernama semalam menyebut bahagian 'flash' kamera AES
itu ditutup dengan plastik. Bagaimanapun plastik itu tidak kelihatan
hari ini, sebaliknya bahagian kamera disembur dengan cat merah.
Situasi yang sama dilaporkan di Kilometer 301.7 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman ketika
dihubungi Sinar Harian, mengesahkan menerima laporan berhubung perbuatan
itu pada jam 2 petang tadi.
Imran berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Menurut beliau, pihak kontraktor terbabit dari bilik kawalan mendapati
kedua-dua kamera tersebut gagal mengesan sebarang pesalah lalu lintas
sejak jam 2.15 pagi tadi.
“AES di lokasi tersebut didapati tidak berfungsi dan apabila diperiksa
ada kesan cat merah pada sensor kamera itu, kontraktor berkenaan segera
melaporkan insiden berkenaan di Balai Polis Salak Tinggi.
“Pihak polis belum dapat mengesyaki pelaku kejadian ini, dan akan segera menyiasat,” katanya.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie
Liu menyifatkan perbuatan tidak bertanggung jawab ini sebagai protes
orang awam terhadap pelaksanaan AES.
"Ini memang satu tunjuk perasaan oleh orang ramai yang tidak puas hati
dengan sistem AES ini. Ia dianggap tidak adil dan membebankan,
bagaimanapun saya tidak setuju dengan perbuatan tersebut.
"Saya telah arahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) untuk
menjalankan siasatan dan Kerajaan Negeri sedia memberi kerjasama
sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) memerlukan pemantauan rapi,"
katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Insiden ini dipercayai perbuatan provokasi pihak tertentu yang kurang
berpuas hati dengan arahan penangguhan untuk menyarung kamera AES
tersebut yang dijadualkan petang kelmarin atas nasihat pejabat peguam
negeri.
No comments:
Post a Comment