PUTRAJAYA 11 Dis. - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Syed Ahmad Helmy
Syed Ahmad yang bersara wajib mulai esok menyifatkan karier sebagai
hakim menjadikannya hidup dalam suasana yang tidak terbuka kepada
masyarakat.
Beliau yang menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada usia persaraan
66 tahun menyatakan, kehidupan seperti itu wajar bagi mengelakkan salah
tanggapan masyarakat yang boleh menjejaskan nama baik institusi
kehakiman.
''Gaya hidup sedemikian merupakan satu ciri seorang hakim yang tidak
mengizinkan mereka terlalu terbuka kepada masyarakat,'' ujar Syed Ahmad
Helmy di kamar beliau di Istana Kehakiman hari ini.
Beliau ditanya mengenai gaya hidup sebagai hakim ketika diwawancara
sempena persaraannya selepas berkecimpung dalam bidang undang-undang
selama 41 tahun.
Anak kelahiran Singapura itu turut mencuit hati sekumpulan wartawan
yang hadir apabila menyatakan cita-citanya sewaktu kecil adalah untuk
menjadi kerani.
Menurut beliau, 'impian kanak-kanaknya' itu tidak kesampaian apabila
permohonan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pentadbiran
perniagaan ditolak kerana mata pelajaran Matematiknya tidak begitu baik.
Hakim tersebut yang diterima masuk sebagai pengamal undang-undang
oleh Mahkamah Tinggi Malaya turut berpengalaman luas mengendalikan
kes-kes litigasi.
Menurut Syed Ahmad Helmy, beliau bertindak mewakili bekas Timbalan
Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dalam kes saman terhadap Syed Hussein
Al-Attas berhubung buku tulisannya, Siapa Lawan Siapa.
Buku itu membuat tuduhan mengenai peranan Musa dalam Peristiwa
Memali. Mahkamah mendapati tuduhan tersebut adalah fitnah dan Syed
Hussein diperintah membayar ganti rugi RM1.9 juta.
Kariernya dalam bidang kehakiman bermula apabila dilantik sebagai
pesuruhjaya kehakiman pada 1 Jun 2000. Beliau selanjutnya dilantik
sebagai hakim Mahkamah Tinggi sehingga dinaikkan pangkat sebagai hakim
Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2009.
Dalam pertemuan itu, Syed Ahmad Helmy yang baru pulang daripada
mengerjakan umrah bersama keluarga menyatakan beliau mahu berehat
seketika sebelum kembali berkhidmat memberikan nasihat guaman.
No comments:
Post a Comment