Posted by Ibnu Hasyim
Gambar hiasan: Antara "girly punk" dan "pelawak terhebat"
HAMPIR
tiga dekad lalu, Lee Kwang Sun, 53, membuat keputusan paling besar yang
telah merubah kehidupannya kini. Warganegara Korea Selatan itu memeluk
agama Islam dan memilih nama Abd. Hafiz Lee Kwang Sun.
Pada masa
itu, keputusan memeluk Islam tidak dipengaruhi oleh sesiapa kerana
tiada seorang pun ahli keluarganya meninggalkan agama asal mereka iaitu
Buddha. Dengan keputusan tersebut, Abd. Hafiz menjadi sebahagian
daripada golongan minoriti di negara berkenaan.
Menyorot
kehidupan sebagai seorang mualaf di Korea, tidak banyak yang dapat
dilakukan oleh Abd. Hafiz untuk mendalami agama Islam. Masjid dan surau
pula sukar ditemui di negara yang mempunyai kira-kira 100,000 penganut
beragama Islam.
“Tiga
tahun selepas memeluk Islam iaitu pada tahun 1984, saya ditawarkan
menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
dalam bidang Pentadbiran Perniagaan,” Abd. Hafiz mengimbas detik awal
penghijrahannya ke Malaysia.
Takdir yang tertulis memungkinkan Abd. Hafiz bakal menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia apabila bertemu jodoh dengan seorang wanita mualaf Korea yang juga penuntut UIAM.
Wanita
tersebut, Lee Hyea Sun, atau nama Islamnya Sophia Abdullah, 49, menjadi
suri hatinya selepas Abd. Hafiz menamatkan pengajian.
“Malaysia
menjadi tanah terbaik untuk kami membina kehidupan dan keluarga kerana
di samping penerimaan masyarakat, agama Islam mudah dipraktikkan di
sini. Lagi pun di sini ada pusat Islam, masjid dan surau pun boleh
ditemui di merata-rata tempat,” katanya.
Kini, hampir tiga dekad Abd. Hafiz dan isterinya menetap di One Ampang Avenue yang terletak bertentangan pusat beli-belah Ampang Point. Dia dikurniakan dua cahaya mata, Muhamad Lee Seung Jae, 20, dan Sharif Lee Seung Ho, 18.
Selain
menjalankan perniagaan perdagangan, Abd. Hafiz merupakan Pengerusi
Persatuan Korea di Malaysia. Persatuan tersebut sudah empat dekad
beroperasi. Beliau menyandang jawatan pengerusi yang ke-33 sejak lima
tahun lalu.
“Apabila
tinggal di sini, kami perlu menghormati budaya, undang-undang dan
rakyat Malaysia serta belajar menerima cara hidup masyarakat di sini,”
ujarnya fasih bertutur bahasa Melayu.
Keputusan Abd. Hafiz tidak menetap di Korea bukan sahaja dipengaruhi faktor agama. Bahkan, beliau sudah jatuh cinta dengan Malaysia terutama makanannya.
“Saya
tidak sanggup meninggalkan Malaysia lama-lama jika pulang ke Korea
untuk menziarahi keluarga atau atas urusan perniagaan,” ujarnya yang
sering merindui nasi lemak setiap kali pulang ke Korea.
Menceritakan
pengalaman awalnya di UIAM, Abd. Hafiz sanggup berlapar sehingga
seminggu dan hanya makan makanan segera kerana tidak suka dengan makanan
masyarakat Malaysia yang kelihatan pelik dan sangat ringkas.
“Di
Korea, kami biasanya dihidangkan dengan tujuh hingga lapan hidangan
sampingan dan nasinya agak melekit. Peringkat awal, saya rasa cukup
pelik dengan nasi lemak kerana ia dihidangkan bersama kacang tanah.
“Tetapi,
lama-kelamaan saya tidak tahan untuk makan nasi dan terpaksa makan nasi
lemak kerana ia mudah didapati di kampus. Tak sangka, saya sangat
menyukainya dan kini ia menjadi makanan kegemaran saya,” katanya.
Abd.
Hafiz mengakui beliau tidak begitu merindui Korea kerana restoran Korea
mudah didapati di Malaysia selain isterinya juga mahir memasak masakan
Korea. “Selain nasi lemak, saya juga menyukai nasi yang dimakan
bersama ikan, sambal belacan, sayur campur dan kuah kari ayam di
restoran mamak,” tambahnya.
Dalam
pada itu, demi menghormati Malaysia, Persatuan Korea di Malaysia turut
mengadakan kelas bahasa Melayu pada setiap hujung minggu. Kelas tersebut
mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Walaupun
tiada masalah komunikasi kerana rata-rata rakyat Malaysia boleh
bertutur di dalam bahasa Inggeris, ramai orang Korea mahu belajar bahasa
Melayu supaya dapat memahami budaya dan tradisi orang Malaysia.
“Kelas
bahasa Melayu tersebut mendapat tunjuk ajar daripada profesor di
Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
Profesor Dr. Kang Kyoung Seok yang terkenal sebagai pakar tulisan jawi,”
katanya.
Kebanyakan
bangsa Korea di Malaysia adalah ekspatriat yang bekerja di
syarikat-syarikat Korea Selatan seperti syarikat permotoran Hyundai,
bisnes restoran atau menjalankan perniagaan perdagangan.
“Di
Malaysia, terdapat kira-kira 20,000 orang Korea termasuk 5,000 pelajar.
Orang Korea mudah menerima cara hidup di sini kerana Korea dan Malaysia
adalah negara Asia, justeru perbezaannya tidak begitu ketara.
(IH/Pelbagai sumber)
No comments:
Post a Comment