Friday 29 June 2012

Sejak bila UMNO bantah Disko & Pub nie... Hipokrit betoi puak nie..!!



UMNO hipokrit isu pusat hiburan

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan kerajaan negeri baru-baru ini telah mengeluarkan empat lesen baru kepada pengusaha pusat hiburan.

Pendedahan Menteri Besar itu ekoran keresahan yang timbul di kalangan umat Islam negeri ini terhadap kewujudan sebuah pusat hiburan kononnya yang terbesar di Alor Setar. Pusat hiburan yang diberi nama View Nite ini mengundang seorang pengacara wanita terkenal dari Perancis dalam upacara perasmian yang akan diadakan pada 30 Jun nanti.

Keresahan yang timbul kerana promosi terhadap pembukaan pusat hiburan dibuat di beberapa daerah di negeri Kedah secara besar-besaran. Kain rentang yang mendapat pengesahan dari pihak berkuasa tempatan digantung di merata tempat. Keresahan kedua ialah kerana majlis perasmian pusat hiburan itu diadakan 'sempena' kedatangan bulan Ramadhan.

Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri tidak boleh menghalang rakyat negeri ini untuk berhibur tetapi perjalanan pusat-pusat tersebut adalah dalam kawalan pihak berkuasa tempatan.

"Kita bagi lesen untuk hiburan tetapi di bawah kawalan kerajaan negeri termasuk kawalan keselamatan, tatasusila dan sensitiviti kaum...," katanya kepada pihak media yang membangkitkan isu tersebut.

Jelasnya, di Alor Setar hanya empat pengusaha pusat hiburan itu dalam proses untuk memulakan perniagaan dan mereka diberikan lesen baru. Selebihnya adalah pusat hiburan yang hendak aktif semula setelah lama tidak beroperasi. Mereka mendapat lesen sejak di zaman BN.

Isu yang berbangkit bukan kerana yang bertambah itu empat atau empat puluh tetapi kerana yang memerintah Kedah sekarang ialah PAS yang perjuangannya berteraskan Islam.

Pembangkang yakni UMNO yang membangkitkan isu tersebut bukan kerana dasar perjuangan mereka yang Islam atau kebimbangan mereka terhadap kerosakan akhlak umat Islam. Hudud yang jelas datangnya dari Allah pun sanggup dipersenda mereka sambil menganggap hudud yang diperjuangkan PAS adalah rekaan manusia bukan dari Allah maka apa pula kaitan mereka dengan isu pusat hiburan.

Mereka mengkritik kerajaan kerana merasa inilah masa untuk memulang paku buah keras. Dahulu PAS lawan kemungkaran, kini benarkan pusat hiburan. Itu saja nawaitu penentangan mereka dan ironi yang cuba digambarkan terhadap PAS.

Kewujudan pusat karaoke ialah tempat orang ramai berkunjung untuk menyanyi dengan muzik latar yang disediakan oleh pengusaha tersebut. Biasanya orang yang suaranya lebih sedap sedikit dari suara katak pisang akan datang berkaraoke. Ia tiada bezanya dengan pelbagai program hiburan di tv khususnya program yang melibatkan persembahan nyanyian.

UMNO, Perkasa, Pekida dan beberapa NGO berdemonstrasi di hadapan Wisma Darul Aman sambil menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri kerana membantah pusat karaoke tetapi tidak pula berdemonstrasi di hadapan stesen tv kerana menganjurkan Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Bintang Kecil, Mentor, Juara Lagu, Bintang Popular, Vokal bukan sekadar rupa, Suara Emas dan sebagainya. Tiada beza pun antara keduanya, kecuali satu professional, satu lagi amatur. Sekurang-kurangnya karaoke hanya ‘merosakkan’ seorang dua yang datang melalak di pusat karaoke tetapi ‘pusat hiburan di tv’ merosakkan jutaan rakyat Malaysia. Di hadapan skrin tv itulah anak bini pejuang UMNO, Perkasa, Pekida dan lain-lain ternganga menonton sampai meleleh air liur. Jadi penentangan UMNO dan rakan-rakan sewaktunya ini hipokrit namanya!

Mereka membantah premis yang membenarkan jualan arak dan judi (yang sebenarnya dikhususkan kepada Non Muslim) di Kedah tetapi tidak berkata apa-apa terhadap kerajaan BN yang memberi lesen mengilang arak dan lesen judi di peringkat Pusat. Hipokrit lagi.

Apapun PAS sebagai sebuah kerajaan yang diberi amanah oleh Allah mentadbir Kedah tidak boleh memandang ringan terhadap kewujudan pusat hiburan dan penyalahgunaan terhadap lesen pusat hiburan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah. Yang haram dari sudut hukum Islam tetap haram.

Terdapat dakwaan bahawa terdapat pusat hiburan yang melanggar syarat lesen seperti beroperasi sehingga melebihi satu pagi, beroperasi di malam Jumaat, menjual arak kepada orang Islam dan mengadakan persembahan menjolok mata, urut refleksologi yang disalahguna untuk 'mengurut' yang lain (bertentangan dengan Enakmen Hiburan 1995); semua ini mesti diambil tindakan tegas. Alasan yang sering kedengaran ialah Pejabat Daerah tiada skuad penguatkuasa. Jika demikian adakan skuad penguatkuasa! Bukan payah sangat. Takkan empat tahun memberi alasan yang sama. Kata orang hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Bagi pusat hiburan yang langsung tiada lesen atau yang wujud secara haram, maka pihak polis dan kerajaan tempatan yang berkuasa terhadap premis serta pihak berkuasa agama boleh bergabung kekuatan untuk membanteras.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts