KEMENANGAN IKHWANUL MUSLIMIN
MENGGUNAKAN TEKNOLOGI 1400TAHUN YANG LALU
Kita renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang
diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi
umat Islam pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah pula dengan
kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan
amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan
tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala
tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat
sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam
menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan
perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah
untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad,
dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan
takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan
perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka
untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam
masyarakat.
Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh
Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu memperbaiki diri
sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki dirinya,
maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di
sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan
Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu
menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan
amal yang medekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.
“Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesan Syeikh Jum’ah Amin.
Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara
mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan
membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari,
qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah
basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu
wataala. Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu
kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu
“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak
dekat dengan Allah.”
Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam
membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji cabaran, halangan dan
masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan
umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan
di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat
golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang
percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak
dan golongan yang menentang.
Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang mewakili Ikhwan
Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia termasuk
gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang di peroleh Ikhwan Muslimin
setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus semangat buat
seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.
Disebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat kemenangan itu bukan
di raih hanya disebabkan kepakaran strategi politik semata-mata, tetapi
pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah subhanahu
wataala dalam perjuangan mereka. Melihat kepada anggota Majlis Parlimen
Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140 orang hafal
al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10.000 hadis. Lebih
dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang bergelar
doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih dari 50 orang
tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang adalah bekas
tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang wanita yang
bertudung kemas.
Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin gunakan?
Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang bangun malam
sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh?
Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “ Bagaimana mata ini dapat
tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan
kembali di antara dua tempat..” Teknologi ini telah wujud 1400 tahun
yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan
superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan
ialah qiamullail.
Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang
bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir . Semoga kemenangan Islam
akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti Islam pada PRU-13
akan datang.
"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi
Allah tidak memberi agama ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa
yang tidak dicintai-Nya."
Mohd Yusof Hadhari
No comments:
Post a Comment