Monday, 11 June 2012

Doktor promosi derma organ


P. GHANTAN (kanan) bersama adiknya, P. Rajan memulakan perjalanan sejauh 1,150 kilometer dari Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Johor Bahru dalam usaha mempromosikan kempen pendermaan organ 'Kitar Semula Dalaman' semalam.


KUBANG PASU 10 Jun - Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma organ, seorang doktor akan mengadakan misi berjalan kaki sejauh 1,150 kilometer bermula hari ini.
Dr. P. Ghantan, 26, dari Pantai Remis, Perak, melakukan misi itu bagi mengumpul 1,000 penderma organ dalam perjalanan yang dianggarkan selama 25 hari dari pintu sempadan di sini ke Johor.
Pemegang ijazah perubatan dari Kolej Perubatan Kasturba, Mangalore, India itu berkata, destinasi persinggahan sepanjang perjalanan tersebut adalah tempat tumpuan ramai termasuk pusat beli-belah bagi mengedarkan risalah pendermaan organ.
"Sebahagian besar perjalanan saya melibatkan laluan lama dan singgah di pekan serta bandar bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pendermaan organ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mahu mencari kelainan dalam mempromosikan kempen itu selain ingin menjelajah seluruh Semenanjung dan melihat keindahan alam semulajadi.
"Aktiviti ini baik untuk kesihatan tubuh badan dan minda selain saya dapat bertemu dengan ramai orang di lokasi yang disinggahi," kata beliau yang menamakan kempen itu sebagai "Kitar Semula Dalaman".
Menurut Ghantan, sebagai persediaan untuk misi itu, beliau nekad berjalan sejauh 50 kilometer sehari dengan memulakan perjalanan pada pukul 6 pagi dan berakhir pukul 7.30 malam.
Beliau yang merupakan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini dalam proses pertukaran kerja ke negara ini selepas tamat latihan perubatan di Hospital Wenlok, Mangalore selama setahun.
Menurutnya, beliau memperoleh idea untuk kempen derma organ itu hasil pengalamannya berkhidmat di hospital tersebut.
"Saya melihat seseorang yang mati itu boleh membantu 10 pesakit lain yang amat memerlukan organ untuk terus hidup," katanya.
Beliau melakukan persiapan selama sebulan dengan berjoging dan berjalan kaki setiap hari bagi mengekalkan kecergasan untuk menjayakan kempen itu.
Usaha Ghantan tersebut turut menarik minat adiknya, P. Rajan, 23, penuntut tahun akhir Kejuruteraan Mekanikal Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menyertainya berjalan kaki.
Menurut Rajan, aktiviti itu unik kerana berbeza dengan kempen yang sering dilakukan pelbagai pihak.
"Saya akan menemani abang selama seminggu sehingga Pantai Remis sejauh 300 kilometer sebelum menyambung semula pelajaran bagi menghadapi peperiksaan akhir bulan ini," katanya.
Maklumat lanjut mengenai kempen itu, boleh hubungi Ghantan di talian 014-3091896 atau blognya, ghantan.blog.com.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts