Saturday, 17 November 2012

Simpati kepada Nurul Ezzah




Oleh ABD SHUKUR HARUN
shukurharun@yahoo.com 
 
Isu Nurul Ezzah Anwar yang sepatutnya dijernihkan menurut pendekatan Al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama’ muktabar telah menyeberang menjadi isu politik yang tajam. Saya bersimpati terhadap Nurul Ezzah.


Hingga saat rencana ini ditulis saya masih munggu pandangan terperinci dari para intelektual Islam yang saya kira memahami benar-benar persoalan ini dan mampu membahaskannya dengan fikiran terbuka dan jernih. Para tokoh ini, antaranya, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Dr. Dzulkifly Ahmad, Dr. Asri Zainal Abidin, Dr. Maria Mahmud, Dr. Mazliee Othman, Dr. Sidek Fadhil dan ramai lagi. Saya percaya, mereka ini telah memahami benar-benar ayat Al-Quran “La Iqraha-Fiddeen …’ dan seterusnya dalam Surah Al-Baqarah, yang intisarinya ‘Tiada paksaan dalam agama’.
 
Tentunya ramai umat Islam yang prihatin dan gemar berfikir dan tidak beremosi, serta tidak didorong oleh prejusid politik kepartaian yang sempit akan bersedia mendengar hujah-hujah intelektual Islam yang berfikiran terbuka ini. Justru dengan hujah mereka ini akan menambah kefahaman mengenai tasawuur Islam lebih mendalam.

Tentunya ada umat Islam yang merasa kecewa bahawa isu pandangan Nurul Ezzah - yang kebetulan Naib Presiden PKR – telah dipolitikkan sedemikian rupa, lebih-lebih lagi menjelang PRU Ke-13. Isu ini telah dibumbu dengan pelbagai tuduhan dan andaian, sesuatu yang bertentangan dengan kemurnian Islam.

Oleh itu pada pendapat saya, kini keadaan amat mendesak supaya para ulama dan intelektual Islam merancakkan wacana ilmu mengenai isi dan tuntutan Al-Quran supaya umat Islam umumnya benar-benar memahami isi Al-Quran. Di samping itu memahami sebab-sebab turunnya sesuatu ayat dan bagaimana memahami ayat Al-Quran itu dalam konteks masa kini.
Kekeliruan mengenai Islam telah menjadi begitu meluas, hingga ‘terlindung’ keunggulan dan kemurniannya. Kekeliruan ini berlaku, antaranya kerana memahami secara salah tuntutan Islam, hingga agama itu dilihat sesuatu yang sukar difahami, pada hal ia begitu mudah. Benarlah kata-kata ulama tersohor, Buya Hamka suatu masa dulu bahawa, “Kecemerlangan Islam terlindung oleh kejahilan umatnya sendiri.” 

Dan demikian juga kata Prof. Madya Dr. Asri Zainal Abidin bahawa akidah Islam adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-Sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit-belit.

Menurutnya, dengan hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlahkan konsep akidahnya, tidak perlu berpayah-payah. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk difahami oleh semua lapisan umat, kata beliau lagi.

Pada pendapat saya, di tengah-tengah kekeliruan sesetengah umat dalam memahami Islam, muncul pula elemen dan tiupan prejudis politik yang tajam, melatari isu-isu agama, hingga dilihat perihal agama Islam menjadi bahan perdebatan yang dilatari kebencian politik terhadap tokoh tertentu dan parti tertentu. 

Oleh itu, saya mengulangi sekali lagi pendapat supaya wacana yang yang benar-benar memberi kefahaman mengenai isu dan tuntutan Al-Quran diadakan sekerap yang mungkin supaya dapat difahami umum. Masjid-masjid - besar dan kecil - sangat berperanan dalam menyediakan ruang wacana seluas-luasnya untuk memberian kejelasan dalam persoalan ini.
Saya sama sekali tidak menolak kuliah mengenai tasauf, perihal penawar hati, fardzhu ‘ain dan pengajaran tajwid yang banyak diadakan di masjid dan surau, justru pengajian ini memang perlu dikekalkan. Tetapi apa yang saya kira wajar dilakuan ialah adanya keseimbangan, iaitu memberikan juga tumpuan kepada wacana isi Al-Quran dan tuntutannya masa kini, bukan sekedar mengelokkan bacaan dan membanyakkan hafalan.

Ertinya di sini, pihak masjid dan surau perlu review kembali jadual kuliah yang telah diadakan setiap malam, agar dapat mengaktifkan wacana Al-Quran. Dalam masa yang sama memberikan kepahaman bahasa Al-Quran itu sendiri, sekurang-kurangnya di peringkat asas.
Bayangan apabila seorang Badwi dari celah bukit bertemu dengan Nabi s.a.w. dan bertanyakan, apa itu Islam. Lalu Nabi s.a.w. menjawab secara mudah bahawa Islam itu katakan, “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.” Maka Arab Badwi itu terkejut kerana memahami maksudnya, lalu berkata, “Kalau aku bawa ucapan ini kepada kaumku, nescaya aku akan dibunuh.” Tetapi kata Nabi s.a.w. “Itulah Islam.”

Demikianlah mereka yang mengerti makna dua kalimah syahadah dan tuntutannya dan ini menunjukkan keperluan memahami kandungan Al-Quran, walaupun di peringkat asas.
Dalam hal ini, mereka yang sering mendengar wacana Al-Quran akan mahami makna dan tuntutan ‘tiada paksaan dalam agama’ seperti yang disebut di dalam Al-Quran itu. Oleh itu wacana Al-Quran tentunya mampu membantu menghuraikan ayat tersebut.

Jika ramai orang memahami ayat ini serta huraiannya dengam fikiran terbuka dan tidak pula terjebak dalam perangkap prejudis politik maka kontrovesi isu ‘tiada paksaan dalam agama’ ini nescaya dapat diredakan, walaupun mungkin belum dapat dihentikan sama sekali. 

Dalam hal ini para pendakwah, sewajarnya tidak hanya berligar di dalam masjid dan surau saja, tetapi berada di tengah khalayak, termasuk masyarakat majmuk untuk menyampaian kefahaman, terutama keadilan Islam yang menjadi tunggak kepada keunggulan syariat Islam.
Di sini saya teringat kembali kandungan buku pemimpin Ikhwannul- Muslimin, Sheikh Abd Qader Audah, yang menyebut mengenai kejahilan umat disebaban kelesuan ulama. Justru ulama sangat besar peranannya untuk menyampaikan keluasan Islam sebagai Rahmatan-Li-alamin. 

Saya percaya, isu Nurul Ezzan tidak akan menjadi kontrovesi jika umat benar-benar memahami kandungan Al-Quran dan tidak terjebak kepada prejudis politik.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts