Monday, 19 November 2012

Facebook satukan mempelai bisu

Facebook satukan mempelai bisu
Hasmadi (kiri) tersenyum setelah tangannya dikucup Norazizan sewaktu majlis akad nikah di rumah keluarga pengantin perempuan, Taman Seri Serai, Bagan Serai kelmarin.



BAGAN SERAI - Dilahirkan bisu bukan halangan kepada Hasmadi Hassan, 41, dan pasangannya, Norazizan Masran, 36, untuk menjadikan laman sosial Facebook sebagai medium mengenali hati budi sekali gus hidup bersama melalui ikatan perkahwinan.

Pasangan istimewa itu melangsungkan pernikahan di rumah keluarga pengantin lelaki di Taman Seri Serai kelmarin dengan Hasmadi melafazkan akad nikah menggunakan bahasa isyarat.

Majlis akad nikah disempurnakan jurunikah, Sabri Sabran lebih kurang jam 5 petang sambil disaksikan sanak saudara kedua-dua mempelai.

Pasangan terbabit dipertemukan buat pertama kali sewaktu keluarga Hasmadi datang ke rumah kakak Norazizan di Selinsing, di sini, untuk merisik setahun lalu.

Hasmadi yang berasal dari Kangar, Perlis tidak menyangka perkenalan dengan Norazizan ketika itu melahirkan perasaan mahu mengenali gadis itu secara lebih dekat.

Menurutnya, sikap Norazizan yang lemah lembut membuatkannya terpikat dan kedua-duanya mula cuba mengenali hati budi masing-masing melalui laman sosial Facebook sejak pertemuan itu.

“Luahan rasa hati melalui Facebook menguatkan perasaan cinta dan setiap kali berkomunikasi, saya dapat rasa keserasian yang wujud di antara kami.

“Walaupun kami berdua golongan orang kurang upaya (OKU) tapi saya berharap jodoh kami berpanjangan dan ikatan perkahwinan ini diberkati ALLAH SWT,” katanya menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan seorang ahli keluarga.

Dalam pada itu, Norazizan berkata, sejak bertemu Hasmadi, dia mula menyimpan perasaan sayang kepada pemuda itu.

“Kali pertama berjumpa, saya rasa bimbang sekiranya keluarga Hasmadi tidak dapat menerima kekurangan diri saya kerana tidak tahu bakal suami juga OKU.

“Bagaimanapun, saya bersyukur pertemuan kali pertama akhirnya membawa ke jinjang pelamin dan berharap dikurniakan sekurang-kurangnya lima cahaya mata,” katanya.

Sementara itu, ibu Hasmadi, Che Rokiah Bakar, 64, berkata, dia tidak menghalang anak istimewanya itu memilih pasangan hidup demi kebahagiaannya.

“Dia juga insan biasa yang memerlukan perhatian daripada seorang wanita bergelar isteri,” katanya.

Bagi kakak sulung, Nor Kamaliya Masran, 41, pula, dia berasa terharu dan bersyukur kerana adiknya bertemu jodoh dengan jejaka sepertinya walaupun jarak perhubungan di antara kedua-dua mempelai begitu jauh.

“Saya berharap Norazizan mencapai kebahagiaan hakiki bersama pasangan hidupnya dan percaya kedua-duanya mampu menempuh cabaran alam perkahwinan dengan tabah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts