Oleh: al-bahanj
" Berikut ini adalah ringkasan kisah besar dan mulia hijrah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke Madinah berdasarkan maklumat dari kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri.
Ada beberapa maklumat yang mungkin berbeza dari yang biasa kita dengar melalui ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan sebelum ini. Semoga kita semua mendapat ibrah yang banyak dari kisah yang mulia ini.
Pada
26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH
Ta`ala, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam bergegas untuk
berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda. Abu Bakar
telah dapat meneka apa tujuan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam
berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu.
Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.
Dalam
masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan
persiapan untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul
Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam. 11 orang penjenayah telah terpilih untuk
melaksanakan misi jahat tersebut.
Bertolak dari Makkah
Apabila
malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang
penjenayah tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan
telah dirancang untuk diadakan pada setengah malam iaitu ketika Nabi
sedang tidur. Jadi, sepanjang malam itu mereka menunggu dan
mengintai-intai samada Nabi sudah tidur atau belum.
Namun,
kekuasaan ALLAH dan peliharaan ALLAH terhadap kekasihNYA mengatasi
kesempurnaan perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut
sebagaimana disebut di dalam Surah al-Anfal, ayat ke-30.
Sebelum
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bertolak meninggalkan rumah, Banginda
telah menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan
menggunakan selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami
berwarna hijau. Nabi kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya
ke atas penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah
Yasin.
Dengan
izin ALLAH `Azza wa Jalla, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut
ditutup dan mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa
sallam. Mereka terus menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan
pembunuhan, sedangkan Nabi telah pun keluar meninggalkan rumahnya.
Dari
rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah
dirancang tengahari tadi. Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar
dari pintu belakang dan terus meninggalkan Makkah sebelum waktu fajar.
Seorang
lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah
itu kenapa tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia melihat
Nabi Muhammad sudah pun keluar meninggalkan rumahnya.
Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak nampak
langsung Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam seperti didakwa
lelaki tersebut.
Setelah
mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun
mengintai ke dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur
berselimut. Mereka pun yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi
sudah keluar itu, tersilap. Mereka lalu terus menunggu-nunggu sehingga
menjelang pagi. Kecewalah mereka rupa-rupanya yang di dalam selimut itu
ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa
sallam.
Di Gua Thur Selama 3 Hari
Walaupun
Yathrib (nama asal bagi Madinah) terletak di Utara Makkah, namun Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam tidak memilih jalan biasa iaitu utara
Makkah untuk ke sana. Ini kerana Baginda menyedari bahawa risiko yang
sangat tinggi buat mereka berdua di laluan tersebut yang pastinya sedang
menunggu Nabi.
Lokasi Bukit Thur
Sebaliknya,
Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar Nabi dari Makkah.
Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur. Ketika melalui di
atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet kerana bukitnya berbatu
bata dan sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa memapah Baginda
dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit
tersebut.
Mereka
berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di
dalamnya. Abu Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk
memeriksa dengan katanya:
“Demi
ALLAH, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih
dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan
jangan kamu.”
Abu
Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang. Beliau pun
mengoyakkan kainnya lalu menutup lubang tersebut. Kemudian didapati
pula ada 2 lubang lagi di dalamnya, lalu ditutup 2 lubang tersebut
dengan menekapkan 2 kakinya ke lubang tersebut.
Setelah
keadaan dirasakan agak selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi
Muhammad masuk ke dalam gua. Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun
masuk dan meletakkan kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar lalu tertidur.
Tiba-tiba kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah satu
lubang itu, namun ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya
di atas wajah mulia Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Nabi tersedar
dan bertanyakan apa yang telah terjadi. Setelah Abu bakar menceritakan
bahawa beliau telah disengat, Baginda pun meludah ke tempat sengatan
itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan binatang berbisa itu.
Rasulullah
sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar berada di dalam gua tersebut
selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad. Selama 3
hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu
Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar).
`Abdullah
bin Abu Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur. Apabila waktu sahur,
beliau akan ke Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah. Siangnya, beliau
akan mengintip-ngintip perbualan orang-orang musyrikin Makkah terutama
yang berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi sallAllahu `alaihi wa
sallam. Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya
apabila `Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi. `Amir bin Fuhayrah pula
mengembala kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut. Apabila
waktu malam, beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan
tempat Nabi dan Abu Bakar bermalam dan membekalkan susu kepada mereka.
Apabila malam sudah larut, kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah
mengikut jalan yang dilalui `Abdullah bin Abu Bakar supaya jejak kakinya
terpadam. Begitulah yang terjadi sepanjang 3 hari itu.
Dalam
pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak
menjumpai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Ali bin Abi Talib
telah dipukul dan diseret ke ke Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula
telah ditempeleng dengan sangat kuat dalam usaha mereka untuk
mendapatkan maklumat di manakah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.
Bengang
dengan kegagalan mereka untuk mengesan Nabi, mereka lalu menyekat semua
jalan keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata dan
tawaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menawan Nabi samada
hidup atau mati turut diwar-warkan. Dengan tawaran itu, maka ramailah
orang yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa, para
penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan Makkah.
Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib (Madinah)
Selepas
3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk
jalan yang mahir yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai,
telah menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk
mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu. Mereka bertolak pada
bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian. Selain Nabi Muhammad sallAllahu
`alaihi wa sallam dan Abu Bakar, `Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin
Urayqit turut sama dalam perjalanan tersebut. Sebelum bertolak, Asma’
bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk memberikan bekalan bagi
menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar itu.
Mereka
berempat menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju ke
arah barat iaitu pesisiran pantai. Sampai di kawasan yang agak
terpencil, mereka berdua menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah
menuju ke Yathrib dengan menggunakan jalan yang jarang digunakan orang.
ALLAH
Subhanahu wa Ta`ala telah memelihara sepanjang perjalanan kekasihNYA
dan rombongannya itu. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa
peristiwa menarik berlaku di mana beberapa individu dan kaum telah
memeluk Islam apabila bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam
dalam perjalanan.
Singgah di Quba’ selama 4 Hari
Pada
hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam dan rombongannya itu sampai di Quba’.
Di
Quba’, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam singgah di rumah Kalthum
bin al-Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu
dan Khamis di Quba’. Di situ Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di
dalamnya. Itulah masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa
selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid Quba’.
Sampai di Yathrib (Madinah)
Pada
hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke
Madinah dengan rombongannya. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda
singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan
Bani Salim bin Auf. Seramai 100 orang lelaki menyertai mereka dalam
solat tersebut.
Selepas
selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan
disambut dengan sangat meriah oleh penduduk di situ. Walapun orang
Ansar di Yathrib bukanlah orang yang mewah, tetapi masing-masing
menawarkan diri supaya Nabi singgah dan menetap di rumah mereka lantaran
besar hati ingin melayan insan yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu
Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.
Sebenarnya
sebelum hari yang dinanti-nanti itu, mereka beramai-ramai telah
menunggu Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam setiap hari dan pulang semula
apabila mendapati Baginda tidak sampai. Walaupun penduduk Yathrib
tidak mengenali wajah dan susuk Baginda, namun perasaan cinta dan rindu
mereka sangat tinggi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.
Rumah
Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di
kampung Bani al-Najjar iaitu kampung keluarga pihak bapa-bapa saudara
sebelah ibu Baginda, di mana rumah Abu Ayyub merupakan rumah yang paling
hampir tempat unta tersebut berhenti. Tapak unta itu berhenti
dijadikan tapak Masjid Nabawi.
Beberapa
hari selepas itu, Sawdah iaitu isteri Baginda sampai bersama 2 puteri
Baginda iaitu Fatimah dan Ummu Kalthum. Bersama mereka juga Usamah bin
Zaid dan Ummu Aiman. Mereka ini keluar dengan ditemani oleh `Abdullah
bin Abu Bakar dan `A’ishah. Puteri Baginda yang bernama Zainab masih
tinggal di Makkah bersama Abu al-`As kerana tidak mendapat peluang
keluar dari Makkah sehinggalah setelah peperangan Badar. Allahu A`lam.
Begitulah
serba ringkas kisah hijrah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dari
Makkah ke Yathrib. Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar
sebagai Madinah ar-Rasul sallAllahu `alaihi wa sallam atau lebih
dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini. Peristiwa hijrah ini
telah memulakan era baru dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam
dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang lebih hebat.
Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad.
Sekadar menyampaikan,
No comments:
Post a Comment