Bagi sesetengah yang turut berada di Pusat Dagangan Dunia Putra tahun demi tahun, sama ada
secara default atau kerana ingin turut sama berseronok dengan suasana
pesta tatkala UMNO mengadakan persidangan, picturesque (pemandangan)
di persekitaran bagunan tersebut mengesahkan mood happy happy itu.
Sedang perwakilan UMNO berseloroh menyampaikan pidato dan disambut dengan gelak dan hilai ketawa – dari Pengerusi Tetap membawalah kepada Presiden (memberikan gambaran seolah-olah raison d-etre parti tersebut adalah untuk berseronok-seronok dan tidak semestinya kerana perjuangan politik Melayu), di ruang legar pula keadaannya lebih kurang macam pasar jalanan Uptown di mana sekian banyak gerai menjual sekian banyak barangan dikunjungi oleh sekian banyak pengunjung.
Yelah, para perwakilan
serta rombongan mereka itu kebanyakannya dari luar Kuala Lumpur dan juga
dari luar bandar. Nak shopping di pusat membeli belah premium di ibu
kota agak kekok. Mungkin ongkos yang dibawa atau diberikan oleh calon
(atas nama bantuan kos perjalanan dan penginapan) tidaklah sebanyak
mana. Maka mahu tak mahu shopping di dewan legar PWTC sahajalah
jawabnya
Kalau nak makan, pergilah ke tingkat atas bangunan The
Mall di seberang jalan. Di situ juga ada banyak gerai dan harganya pun
tidaklah mahal sangat. Kalau nak style sikit mungkin boleh lepak di
beberapa restoran berfesyen di sebelah hadapan bangunan berkenaan. Bila
boleh duduk minum kopi dengan harga kopi lebih RM5 secawan, baru ada
ummph, baru ada perwatakan pemimpin. Nanti bila balik ke cawangan boleh
dijadikan modal untuk bercerita.
Picturesque suasana persidangan
UMNO di era moden, terutama setelah tempat persidangan berpindah di
PWTC dari merata kerap menawarkan pertembungan budaya dua golongan atau
kategori anggota parti - golongan elit dengan golongan bukan-elit.
Golongan elit lebih mudah untuk diperhatikan. Kereta mereka, dari
jenis termewah sedia terpakir di ruang letak kereta tidak jauh dari
pintu masuk bangunan. Seseorang boleh sahaja memperhatikan beberapa
buah Mercedes CLS atau S Class atau BMW 7 Series dengan nombor
pendaftaran tunggal atau nombor dwi atau nombor berturutan (yang
menjelaskan betapa kedudukan sipemiliknya adalah bertaraf warlord kecil
di Bahagian atau Cawangannya).
Warlord besar tak pakai kereta
seperti itu. Mereka adalah anggota kabinet dan mereka cuma boleh
bergerak secara rasmi dengan sebuah Proton Perdana hitam. Kalau ada pun
kereta jenis mewah itu termasuk juga kenderaan pacuan 4-roda Hummer dan
Porsche Cheyenne, maka itu untuk masa bukan-rasmi.
Bagaimanapun, tidak kira sama ada warlord kecil atau besar, mereka
berpakaian segak – pakaian kebangsaan lengkap dengan songkok dan kain
sampin. Yang tidak kebangsaan cuma pakaian kaki atau footwear sahaja.
Orang Melayu bila berpakaian baju Melayu lazimnya bercapal sahaja, tapi
mereka ini nampaknya melanggar budaya dengan memakai kasut kulit. Dan
rata-rata bukanlah dari jenama ‘Bata’. Tak mainlah jenama jenis ini.
Pemimpin UMNO lah katakan. Penting pulak sebab turut berada sama di
PWTC waktu persidangan.
Namun, apapun, budaya sudah berubah.
Budaya baru menggantikan budaya lama. Dulu orang Melayu masuk UMNO
kerana ingin turut sama memperjuangkan nasib dan kedudukan orang Melayu.
Di era moden ini kebanyakan yang menyertai UMNO adalah untuk ‘mengejar
mimpi Melayu’ atau pursuing the Malay dreams – kehidupan mewah, projek
besar, kereta besar, rumah besar, akaun bank yang gemuk dan macam-macam
lagi.
Justeru UMNO juga patut mengubah lagunya dari Bersatu
Bersedia Berkhidmat, kepada lagu, misalnya Row Row Your Boat (gently
down the stream, merrily merrily life is but a dream: Maknnya hidup ini
sentiasa memburu mimpi seperti yang dilakukan oleh pemimpin UMNO di
semua peringkat).
Tentu tak salah menyadur lagu orang lain untuk
dijadikan lagu sendiri kan. Kalau UMNO boleh buat macam itu dengan
lagu kebangsaan, inikan pula lagu parti sendiri.
Disebabkan
perubahan budaya, minda dan set minda yang berlaku dalam UMNO cukup
ketara (walaupun tidak pernah dinyatakan oleh mana-mana pemimpin UMNO
secara hakiki), maka segala sesuatu juga turut sama berubah.
Mana-mana yang menyertai UMNO dengan aspirasi dan mimpi yang dikatakan
itu akan mengambil masa tidak lama untuk mempersembahkan diri sebagai
pemikir baru dalam Cawangan dan melakukan apa sahaja agar dipilih ke
tempat selesa dalam AJK. Langkah seterusnya sudah tentulah Bahagian
dengan matlamat (yang dizahirkan atau tidak) untuk menjadi calon dalam
pilihanraya.
Anjakan budaya inilah yang telah merobah
segala-galanya – yang telah menukarkan UMNO dari sebuah badan siasah
tulen kepada sebuah kenderaan atau vehicle bagi mengejar mimpi.
Hakikat ini, walaupun tidak dinyatakan secara eksplisit tetapi
dibayangkan oleh Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan (sebagaimana
dilaporkan oleh Bernama) bahawa menurut beliau, 80 peratus daripada
keputusan kerusi yang tewas dalam PRU12 lalu adalah berpunca kerana
calon UMNO telah disabotaj oleh ahli-ahli dan pemimpin UMNO sendiri.
Sementara umum menyangkakan prestasi buruk UMNO pada pilihanraya umum
itu berpunca dari kelemahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi, rupa-rupanya Ahmad Maslan membuka tembelang sebenar bahawa
faktor tunggal utama yang menyebabkan UMNO hanyut adalah sabotaj dari
kalangan orang UMNO sendiri.
Biar betul. Tapi kesianlah jugak. Macam dah tak ada harapan nak memburu mimpi termasuk bagi mereka yang masih dibuai mimpi.
Tak pasti sekiranya Mat juga dapat petanda-petanda dan alamat lain.
Tapi petanda yang satu ini, iaitu, ‘sabotaj’ sudah memadai untuk
‘membungkuskan’ UMNO dalam PRU13 (yang bagi UMNO, kalau boleh tak
payahlah diadakan terus).
Patutlah, Mat UMNO dan lain-lain kelihatan semakin gabra.
No comments:
Post a Comment