Oleh Lim Hong Siang
Ketika menjawab pertikaian Anthony Loke mengapa conference Pacific Asia Travel Association (PATA)
2012 menelan kos RM3.4 juta dalam tempoh tiga hari, RM1.7 juta lebih
daripada anggaran bajet, Menteri "Melancong", Ng Yen Yen mendakwa
program tersebut perlu memperlihatkan imej "Malaysia Boleh".
Justeru itu, setiap peserta dihidangkan jamuan malam berharga RM150/orang. Malah, Yen Yen menyindir ahli parlimen Rasah ini, bahawa RM150/orang untuk jamuan malam di Kuala Lumpur adalah standard (taraf) antarabangsa, bukan standard Rasah.
Saya teringat Menu Rakyat 1Malaysia yang
diperkenalkan Najib Razak. Perdana Menteri ini hanya membayar RM3
meskipun mengambil lauk-pauk yang mengandungi nasi, ayam masak kicap,
ayam masak merah, daging goreng, taugeh dan papadom. Langkah Najib
untuk membuktikan bahawa penduduk Kuala Lumpur masih dapat membeli
makanan yang murah di pusat bandar ini, akhirnya mendapati taraf rakyat
jelata di Lembah Klang hanya mencecah 2% dari paras antarabangsa
sebagaimana yang digariskan Ng Yen Yen. Jika diambil gaji minima RM900
yang ditetapkan kerajaan, berhempas pulas satu bulan buruh itu
membanting tulang hanya cukup untuk enam hidangan jamuan malam yang
bertaraf antarabangsa.
Pedih sungguh jenaka ini, tetapi ia
berlaku setiap hari di tanahair yang serba boleh ini. Dengan megah
Najib mendabik dada, kononnya mahu menjadikan Malaysia negara demokrasi
terbaik di dunia. Maka beliau menggubal Akta Perhimpunan Aman 2011
untuk menyekat hak rakyat berhimpun. Di Amerika Syarikat, calon
Presiden mengharungi debat demi debat - antara calon dalam parti, dan
antara calon yang berlainan parti. Dari masa ke masa, calon Presiden
perlu tampil di depan kaca televisyen, ditusuk dengan soalan yang tajam
dari kiri dan kanan, tanpa mempunyai kuasa untuk memecat pengacara atau
melucutkan lesen stesen media tersebut. Ini amalan demokrasi bertaraf
antarabangsa. Najib yang ghairah mahu menjadikan Malaysia negara
demokrasi terbaik di dunia, sekadar merasmikan debat Piala Perdana
Menteri, tetapi berdalih bahawa "debat bukan budaya kita" apabila
dicabar berbahas dengan Ketua Pembangkang Parlimen.
Padahal saya
tertarik dengan kenyataan Ng Yen Yen bahawa program itu perlu
memperlihatkan imej "Malaysia Boleh". Kepada siapa imej ini
ditunjukkan? Semestinya VIP dari luar negeri. Yen Yen tidak pernah
memikirkan, apakah makna VIP dibelanja dengan hidangan RM150/orang,
semata-mata untuk menunjukkan "Malaysia Boleh", sedangkan kebanyakan
rakyat Malaysia "tidak boleh" menjangkau paras perbelanjaan itu?
Seperkara lagi, seandainya Ng Yen Yen selaku anggota kabinet sedar
bahawa jamuan malam berharga RM150/orang adalah taraf antarabangsa,
mengapa kerajaan begitu keberatan sebelum ini, apabila pembangkang dan
NGO mendesak untuk penggubalan Akta Gaji Minima?
Makna di
sebaliknya, kerajaan ini lebih mementingkan persepsi orang asing
daripada rakyatnya sendiri. Jikalau kita tidak mudah lupa, pernah VIP
dari Pakistan melawat ke Malaysia, lebih 10 tahun yang lalu. PM ketika
itu, Mahathir Mohamad cukup berang apabila VIP tersebut ternampak sampah
yang bertaburan di Kuala Lumpur. Untuk penganalisa politik seperti
Wong Chin Huat ketika itu, mustahil seorang PM yang biasa berulang-alik
di KL tidak sedar masalah sampah selama ini. Jadi, persoalan yang
timbul di sebalik "kemarahan" Mahathir adalah, apakah beliau marah
kerana masalah sampah di KL yang tidak diselesaikan, ataupun keadaan
sampah yang bertaburan di KL telah dinampak oleh VIP Pakistan?
Bertimbun-timbun contoh dapat diberikan untuk membuktikan bahawa
kerajaan kita sebenarnya lebih ambil berat persepsi orang asing
berbanding hidup mati rakyatnya. Pernah negara kita dilanda masalah
jerebu. Jalan penyelesaian ketika Najib menyandang jawatan Menteri
Pelajaran adalah, memberi amaran agar ahli akademik tidak mengumumkan
indeks udara yang sebenar. Alasannya, ia boleh menakutkan pelancong
yang merancang untuk melawat Malaysia. Ertinya, kerajaan ini tidak
mengambil kisah rakyat yang bergantung kepada indeks udara untuk
menentukan aktiviti harian mereka, asalkan pelancong datang
berpusu-pusu.
Padahal Malaysia membayar harga yang terlalu besar
semata-mata untuk menunjukkan "Malaysia Boleh". Untuk menunjukkan
kepada orang asing bahawa "Malaysia Boleh" membuat kereta sendiri dan
menampung industri automobil ini, maka kita sanggup melumpuhkan sistem
pengangkutan awam, menaikkan harga kereta import dengan AP, dan kini
berakhir dengan kesesakan jalan raya sebelum dan selepas waktu pejabat.
Hari ini, berapa ramai warga Malaysia yang berani berbangga dengan
kereta nasional? Cuba perhatikan di jalan raya, pemandu kereta yang
membayar tol melalui pintu yang dibuka, dan bukan melalui tingkap -
kebanyakannya memakai kereta nasional, betul tidak? Biar jawab dengan
ikhlas, andai bukan harganya yang kurang mahal berbanding kereta import,
apakah kereta nasional masih dijadikan pilihan?
Jadi, di
manakah taraf kita? Di manakah kedudukan sebenar Malaysia di persada
dunia? Persoalan di sebalik hidangan RM150/orang adalah, kerajaan
sebenarnya sedar senario di luar dunia Malaysia, namun saja
memperlekehkan masalah rakyat. Padahal rakyat sedar bukan seorang
sahaja yang kenyang apabila dihidangkan makanan berharga RM150/orang.
Kita tahu apa bentuk hidangan yang berharga RM3 di KL.
Bayangkanlah jurang antara taraf antarabangsa dengan taraf realiti
rakyat jelata. Sejauh mana lebar jaraknya, begitulah tebalnya topeng
1Malaysia. Begitu jugalah buncitnya perut sang penguasa, bini, menantu
dan kroninya.
*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com
No comments:
Post a Comment