Cerita balik raya: Untung dan rugi?
Manusia sering membuat pertimbangan antara keuntungan dan kerugian lebih
daripada membuat penilaian antara benar dan palsu. Ini dapat dilihat
apabila menyingkap sejarah mahupun di dalam retorik politik.
Pengumuman Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan cukai eksais, cukai
jualan dan cukai import semua kenderaan dapat dinilai daripada
perspektif untung-rugi dan benar-palsu yang saya maksudkan tadi.
Jika dihapuskan beban cukai tiga ganda ini, harga kereta nasional akan
turun ke sekitar RM30,000, manakala harga kereta seperti Honda dan
Toyota turun RM50,000 secara purata. Ini memberi rakyat peluang untuk
memiliki kenderaan, yang kini bukan lagi satu barang mewah tetapi satu
keperluan asas tatkala sistem pengangkutan awam masih pincang dan jarak
antara tempat tinggal dan tempat kerja semakin jauh akibat penempatan
yang bertambah luas.
Siapa yang akan untung? Sudah tentu rakyat daripada semua lapisan.
Sebanyak 20 peratus daripada RM580 bilion hutang isi rumah sekarang
adalah disebabkan pinjaman kereta, mengakibatkan pendapatan boleh guna
yang rendah kerana perlu membayar hutang kereta, juga hutang rumah dan
hutang kad kredit.
Jika diambil kira hutang PTPTN, beban hutang isi rumah jauh tinggi
daripada yang sepatutnya. Tangga gaji yang bukan sahaja rendah malah
membeku – ia hanya meningkat 2.3 peratus dalam tempoh 10 tahun
kebelakangan, seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan – hanya
menambahkan bukti bahawa rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang
tinggi berbanding piawaian antarabangsa.
Ini terbukti apabila nisbah harga rumah kepada gaji yang lazimnya lima
kali ganda (purata antarabangsa) hampir 15 kali ganda di negara kita.
Penghapusan cukai tiga ganda akan menyebabkan Proton lebih berdaya saing
kerana ia mesti bertambah baik dan mengeluarkan kereta yang lebih
berkualiti. Selain menghapuskan cukai tiga ganda ini, sistem AP akan
turut dirombak agar kereta reconditioned akan menjadi lebih murah.
Inilah perbezaan Agenda Reformasi Ekonomi Pakatan Rakyat yang
berteraskan ‘merakyatkan ekonomi’ dan ‘keadilan ekonomi’ (economic
justice) di dalam sebuah negara berkebajikan. Dengan merangka dasar
ekonomi tanpa pengherotan yang menjadi teras ekonomi BN, harga barangan
dan perkhidmatan akan turun untuk keperluan dan keselesaan rakyat.
Selain cukai tiga ganda ini, Pakatan Rakyat akan menghapuskan hutang
PTPTN, menurunkan harga minyak petrol, dan juga harga gula (dengan
menghapuskan monopoli ke atas komoditi ini). Harga rumah mampu milik
juga akan turun apabila tiada kolusi dan korupsi antara pemerintah,
pembangun hartanah dan pembina. Harga perkhidmatan kesihatan akan turun
hasil daripada penambahan kapasiti perkhidmatan kesihatan kerajaan yang
lebih efisien. Keutamaan juga diberikan kepada pemerkasaan dan integrasi
perkhidmatan pengangkutan awam termasuk komuter, LRT, dan MRT.
Amat menyedihkan lagi kadar kemiskinan buat kali pertamanya semenjak
1999 telah meningkat 1.5 peratus. Kita juga kena ingat bahawa angka
kadar kemiskinan atau Poverty Line Index rasmi pada RM800 adalah tidak
tepat di mana ia sepatutnya RM1,300 juga menutup kebenaran kadar
kemiskinan rakyat di negara ini, di mana koefisien Gini setinggi 0.46
(anggaran Bank Dunia) – antara yang tertinggi di Asia.
Usaha PR untuk merakyatkan ekonomi sering dibantah kerajaan Barisan
Nasional dengan hujah seperti negara akan muflis nyata tidak benar,
kerana apabila ada Reformasi Ekonomi akan berlakunya pengagihan ekonomi
yang lebih adil lalu memaksa sektor ekonomi bertambah efisien dan
berdaya saing.
Ternyata dengan pengurangan harga barang dan bebanan hutang, rakyat akan
menikmati pendapatan boleh guna yang lebih tinggi untuk disimpan,
dilabur atau mempelbagaikan perbelanjaan langsung merangsang ekonomi
negara dengan lebih mampan serta melimpah kepada lebih banyak syarikat
dan bukan kepada segelintir syarikat kroni yang miliki monopoli
komoditi. Inilah keuntungan untuk rakyat, yang akan merdeka daripada
menjadi tawanan ekonomi kapitalisme kroni dan hamba hutang.
Siapa yang akan rugi? Penganut kapitalisme kroni akan merasakan
kerugiannya tatkala tiada lagi penswastaan keuntungan dan liabiliti
sektor swasta tidak lagi dinasionalisasikan. Lubang ketirisan ekonomi
akibat rasuah, pemerolehan projek terlalu mahal, dan amalan menjarah
kekayaan negara akan tertutup. Malah projek seperti LRT Ampang akan
diberi secara tender terbuka kepada syarikat yang benar-benar layak.
Insya-ALLAH, tahun depan sekiranya melalui pilihan raya yang bebas dan
adil sebuah era baru akan diundi masuk ke Putrajaya, lebih ramai rakyat
akan pulang ke kampung halaman dengan memandu kereta baru masing-masing.
(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 31 Julai 2012)
No comments:
Post a Comment