Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 30 JULAI: DAP dan PAS bersatu tenaga untuk memerangi
rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta melaksanakan amalan integriti
dalam kepimpinan yang berteraskan prinsip cekap, akauntabel dan telus.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, DAP bersetuju dengan usaha
PAS memperjuangkan negara berkebajikan yang melindungi rakyat yang
miskin, fakir, sakit dan sesiapa yang memerlukan bantuan.
“DAP dan PAS boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat
Malaysia berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada
membiarkan perbezaan ini untuk memecahbelahkan kita.
“Untuk sebab ini, DAP dan PAS telah menandatangani “dasar bersama”
yang menyatakan kerangka kerjasama kita dan dasar membina negara-bangsa
kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat pada masa depan.
“Jelas, “dasar bersama” tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan
negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa
depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan membidas MCA dan
Gerakan yang meneruskan serangan tidak bertanggungjawab dan tidak jujur
kononnya DAP menyokong PAS dalam pelaksanaan undang-undang hudud dan
penubuhan negara Islam serta serangan peribadi yang menampakkan keadaan
terdesak mereka untuk meraih kembali sokongan yang sudah hilang.
“Saya ingin mengulangi sekali lagi pendirian DAP yang tidak menyokong
pelaksanaan negara Islam di Malaysia dan pelaksanaan undang-undang
hudud oleh PAS. Pendirian DAP ini konsisten dan tidak pernah goyah,”
katanya, merujuk kepada penghormatan DAP kepada kontrak sosial dan
Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan pelaksanaan hukum
jenayah Islam itu serta penubuhan negara agama.
Katanya, MCA dan Gerakan seakan-akan menjadi orang bersalah yang
menyerang orang lain terlebih dahulu dengan cubaan mereka untuk menutup
kegagalan menuntut tindakan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang
menyokong pelaksanaan hudud ke atas orang bukan Islam.
Kepimpinan UMNO telah bercelaru apabila pemimpin seperti Tan Sri
Muhyiddin Yassin telah menolak untuk melaksanakan hudud tetapi beberapa
pemimpin UMNO lain mendesak hudud dilaksanakan untuk semua, termasuk
orang bukan-Islam.
Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, UMNO Pulau Pinang
yang telah menuntut pelaksanaan hudud di Pulau Pinang dan di serata
negara.
“Bukan sahaja Ketua Pembangkang Pulau Pinang Dato’ Azhar Ibrahim tetapi
Ketua Wanita UMNO Kepala Batas juga telah meluluskan ketetapan untuk
menyokong undang-undang hudud untuk semua,” ujarnya.
Beliau menambah, ADUN UMNO Kemelah di Johor, Ayub Rahmat, pula telah
menyeru agar Johor menjadi negeri pertama untuk melaksanakan
“undang-undang hudud sebenar”, yang berbeza dengan versi PAS kerana
“undang-undang hudud sebenar” UMNO akan merangkumi rakyat bukan Islam
juga.
“Dalam erti kata lain, UMNO yang ingin melaksanakan undang-undang hudud
ke atas bukan Islam adalah lebih ekstrem berbanding PAS yang hanya ingin
melaksanakannya ke atas orang Islam.
“Saya tidak dengar pemimpin-pemimpin tertinggi Gerakan mengutuk UMNO
ataupun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggunakan kata-kata
“sida politik” terhadap UMNO.
“Kenapa MCA atau Gerakan tidak meninggalkan BN atas sokongan
pemimpin-pemimpin UMNO terhadap hudud untuk semua? DAP tidak akan
menggunakan taktik jijik dan kotor yang digunakan oleh MCA dan Gerakan
terhadap pemimpin-pemimpin DAP,” tambahnya.
Guan Eng berkata, DAP tidak pernah menyalah gunakan imuniti Parlimen
untuk menonjolkan video seks Chua Soi Lek serta tidak menyerang Chua
sebagai orang tidak bermoral yang mempimpin parti tidak bermoral.
Menurutnya, DAP juga tidak menjalankan kempen memburuk-burukkan sepertimana Gerakan lakukan terhadap dirinya dan keluarganya.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, keberanian sedemikian tidak pernah
ditunjuk oleh pemimpin-pemimpin Gerakan terhadap UMNO yang disokong
penuh walaupun UMNO bagai tidak endah apabila gambar potret Presiden
Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah dikoyakkan.
“Jangan kita lupa bahawa UMNOlah yang telah mengharamkan penggunaan
kalimah “Allah” dalam kitab injil bahasa Melayu yang digunakan secara
luas di Sabah dan Sarawak.
“Ini berbeza dengan PAS yang mengambil jalan sederhana yang membenarkan
orang Kristian untuk menggunakan kalimah “Allah” seperti yang menjadi
kelaziman selama beratus-ratus tahun di Timur Tengah dan Indonesia,”
tambah beliau.
Menurut Guan Eng, jelas terdapat perbezaan di antara kerjasama DAP dan
PAS, dengan kerjasama MCA atau Gerakan dan UMNO, apabila PAS dan UMNO
dua-dua menyokong hudud dan negara Islam.
“PAS menyokong hudud secara terbuka dan tidak ingin melaksanakannya ke
atas bukan Islam sementara UMNO hanya menyatakan usaha melaksanakan
hudud untuk semua dalam media bahasa Melayu tetapi tidak dalam media
bahasa Cina atau Inggeris.
“DAP bekerjasama dengan PAS atas prinsip bersama iaitu keadilan,
kebebasan dan demokrasi dengan mata terbuka sedangkan MCA, MIC dan
Gerakan menyerah diri kepada UMNO dengan mata tertutup,” tambah beliau. –
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment