Penduduk, Nilachandran Gopal, 45, berkata, surat untuk menjalankan operasi pembersihan sudah diberikan kepada Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), namun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kampung berkenaan terus dilanda banjir kilat setiap kali hujan.
“Ada sebuah kolam takungan najis yang belum beroperasi, namun apabila hujan lebat, air takungan itu melimpah sehingga menyebabkan banjir kerana sistem perparitan yang tidak sempurna mengganggu saliran air.
“Setiap kali hujan lebat penduduk mulai resah kerana terpaksa menanggung kerugian demi membaik pulih rumah mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penduduk, Savithri Arumugan, 41, berkata, sekiranya hujan lebat berterusan rumahnya akan mula dinaiki air hingga paras pinggang, walaupun hujan hanya beberapa jam sahaja kerana kawasan rumahnya agak rendah berbanding penduduk lain.
“Perkara ini membimbangkan penduduk, terutamanya seperti warga emas dan kanak-kanak kerana terdedah dengan jangkitan penyakit akibat daripada air kotor itu.
“Sudah beberapa kali perkara ini diketengahkan, namun tiada tindakan segera diambil. Jadi saya berharap pihak terlibat dapat mengatasinya secepat mungkin kerana kami tidak mampu bertahan lagi,” katanya.
Penduduk, Letchumi Muriappan, 62, berkata, hujan lebat secara berterusan mengakibatkan rumahnya dinaiki air melebihi paras lutut hanya dalam masa sejam.
Sementara itu, Pengerusi JKKP, Kalidas Munisamy, berkata, segala usaha untuk menjalankan kerja pembersihan itu sudah dilaksanakan pihaknya.
Menurutnya, perkara itu turut dibincangangkan dalam mesyuarat bersama Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum dan beliau bersetuju untuk memberikan peruntukan.
“Segala usaha itu sedang dilakukan pihaknya yang memakan masa selama satu ataupun dua bulan dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin selepas peruntukkan itu disalurkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment