Friday, 26 October 2012

Sejuk hati bila pemimpin DAP pertahan PAS


Oleh Ahmad Lutfi Othman
Panik. Gelabah. Meracau-racau. Mungkin itu istilah sesuai dapat dirumuskan tentang situasi Umno-BN berdepan tsunami politik Mac 2008, lebih empat tahun lalu, yang menyaksikan BN kalah mengejut lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Nampak jelas, sekali Umno dirundung malang, hilang segera kewarasan berpolitik, juga kebijaksanaan mengatur strategi. Segala yang tercapai dek tangan digapai bagi menyelamatkan diri daripada terus tenggelam.

Sentimen dan api perkauman dinyalakan. Media dan alat propaganda yang dikuasai Umno, misalnya Utusan Malaysia dan TV3, bebas memercikkan bahang panas  menggugat sensitiviti. Jika saingan politiknya, seperti PAS ataupun DAP, berbuat demikian, pemimpin dan aktivisnya pasti diserkup pelbagai akta. Apa pun, rakyat semakin matang dan cermat memerhati aksi golongan terdesak itu.
Memikirkan pengundi masih bermentaliti lapuk, mudah dikelirukan isu-isu sensasi dan cepat melupakan persoalan kritikal  -- seperti korupsi, salahguna kuasa, peningkatan kadar jenayah, kenaikan kos hidup -- Umno dan kembarnya, MCA, mencari jalan pintas demi mempertahankan Putrajaya.
Kepada audien Melayu-Islam, Umno ghairah menggambarkan PAS begitu kemaruk kuasa, sanggup menggadai prinsip perjuangan dan rela memeluk rakan barunya, DAP, yang dipersepsikan sebagai musuh agama dan bangsa. DAP pula diunjurkan  menjadi parti paling dominan dan mempunyai kuasa penentu dalam Pakatan Rakyat. Segalanya bertujuan untuk menakutkan pengundi Melayu terhadap usaha Pakatan membentuk kerajaan alternatif.
MCA, yang kalah  pada kebanyakan kerusi majoriti pengundi Cina, menggunakan lenggok bahasa dan penekanan isu berbeda. PAS yang disifatkan Umno sebagai kuda tunggangan DAP, telah diangkat Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek -- ketika berdepan masyarakat Tionghua -- menjadi parti paling berpengaruh dan bakal menerajui kerajaan Pakatan di peringkat persekutuan.
Untuk mengusik emosi penyokong tradisinya, konsep Negara Berkebajikan dikritik hebat media Umno, dan PAS ditohmah sanggup melupakan cita-cita menubuhkan Negara Islam, sekali gus meremehkan Hudud. Bekas pemimpin PAS, seperti Dr Hasan Ali dan dua tiga kerat ulamak tertentu diperalatkan bagi memalitkan imej buruk ke wajah Parti Islam itu.
Dalam masa sama, lidah pemimpin MCA terutama Soi Lek, semakin fasih mencerca Hudud dan membayangkan satu undi kepada Pakatan bermakna satu undi kepada pelaksanaan undang-undang Islam, yang sengaja digambarkan sebagai peraturan kolot, menindas dan zalim.
Bukanlah isu besar jika MCA menolak Hudud, memandangkan Umno turut mengambil pendirian hampir sama. Malah sekutu rasminya dalam Perikatan sejak 1953 -- Umno -- melalui pemimpin utamanya kerap melemparkan ungkapan mempersenda dan menghina Islam.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merumuskan dengan baik situasi ini: "Dulu ketika Umno tidak pandai lagi menggunakan hujah dalam ilmu-ilmu Islam seperti maqasid syariah untuk menolak perlaksanaan hukum Islam, para pemimpin dan pengikutnya mencaci dan mencerca hukum Islam habis-habisan dan menuduh hukum Islam primitif, menimbulkan huru hara dan sebagainya.
"Kerja jahat itulah yang kini disambung oleh Chua sekarang dengan restu Umno yang sengaja berdiam diri dengan perbuatan Presiden MCA itu menghina Islam."
Ketika Soi Lek memberikan gambaran salah terhadap apa yang didakwanya perlaksanaan Hudud di negara-negara yang dianggap "paling korup, tidak stabil dan tidak selamat", dalam perhimpunan agung MCA baru-baru ini, banyak pihak mengecam sikap membisu Perdana Menteri, Najib Razak yang merasmikan majlis berkenaan. Soi Lek juga tidak menyokong tohmahannya itu dengan fakta dan data sahih.
Dalam perhimpunan itu,  Naib Pengerusi Wanita MCA, Senator Heng Seai Kie, yang juga seorang timbalan menteri, memutarbelitkan ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis kempen menutup aurat di Kelantan, dengan mendakwa Mursyidul Am PAS itu menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam kerana mendedahkan aurat. Satu kenyataan paling biadab, kurang ajar dan cukup celupar!
Najib sebelum itu turut enggan mengulas dakwaan Soi Lek (yang hanya bersumberkan satu SMS diterimanya daripada individu yang tidak dikenali)  bahawa 1.2 juta rakyat akan hilang pekerjaan jika Hudud dilaksanakan. Presiden MCA menyenaraikan pelbagai industri yang terjejas dengan kehilangan pekerjaan yang didakwanya itu, antaranya, pekerjaan di resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan juga rumah urut.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam satu majlis ceramah membidas Najib: "Presiden MCA boleh berucap menyerang Islam begitu biadap sekali dan dia  boleh duduk senyum. Kemudian bila berucap tak tegur pun. Mana dia maruah  sebagai umat?"
Namun apa yang ditunjukkan Soi Lek bukan lagi sekadar penolakan Hudud (sesuatu yang boleh dianggap lazim bagi seorang bukan Islam), tetapi ia usaha terancang dan bermotif untuk menghina dan merendahkan Islam bagi meraih sokongan. Menyedari MCA mungkin menjadi sejarah selepas PRU13, Soi Lek cuba menampilkan imejnya sebagai "pembela dan penyelamat" bagi masyarakat Cina daripada "kezaliman Hudud".
(Dalam satu paditonya, Mat Sabu menyindir: "Sekarang orang ramai bukan lagi bertanya berapa banyak kerusi MCA yang dimenanginya dalam PRU13 nanti, tapi mereka bercakap berapa ramai ahli MCA yang tinggal.")
Soi Lek secara terbuka pernah melafazkan: "Kita orang Cina berani menentang dan melawan Umno terutama dalam bab Hudud, adakah DAP berani dalam hal ini." Saya perhatikan banyak posting dalam internet menggandingkan kenyataan Soi Lek itu dengan ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng: "Kita orang DAP tidak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka, begitu juga orang PAS tidak pernah menghalang dalam bab agama kita."  Masyarakat dapat menilai siapa sebenarnya yang memperlekehkan Hudud.
Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke Siew Fook selepas dilaporkan menepuk meja dalam sidang Parlimen menyokong Tok Guru Nik Aziz yang difitnah Senator MCA, memberi respons penuh hikmah: "Dalam politik kita berbeza pendapat, itu perkara biasa. Umpamanya, kita dalam DAP juga punyai pendapat berbeza dengan PAS dalam soal hukum Hudud. Tetapi kita tidak pergi sampai ke tahap memburuk-burukkan dan menghina Islam."
Gaya politik Soi Lek  -- yang kerap diingati dengan pengakuan rakaman rahsia hubungan seksnya pada 2007 di sebuah hotel di Johor -- dan pemimpin MCA mutakhir ini cukup berbahaya. Ia semakin menjadi-jadi apabila kenyataan menghina Islam oleh Soi Lek  sejak awal dulu tidak pernah ditegur pemimpin Umno. Seharusnya diperbetulkan, apatah lagi jika ia berpunca dari kejahilan, memandangkan Umno juga mempunyai ilmuan Islam dan ulamak!

Saya tertarik dengan ingatan Anthony Loke, Ketua Pembangkang dalam Dun Negeri Sembilan dan ahli Parlimen Rasah, tanda kewarasan dan kebijaksanaan pemimpin Pakatan tidak pernah pudar. Masyarakat Islam tentunya mendapat pengajaran bermakna dalam episod ini, sekurang-kurangnya dapat membantu membuat penilaian menyeluruh dan adil terhadap gelagat aktor-aktor politik yang gelisah berdepan hukuman rakyat.      

Sejuk dada saya membaca kenyataan dan reaksi pemimpin DAP terhadap fitnah MCA itu. Kalau dulu kita terpaksa mengharapkan sanggahan daripada pemimpin PAS tetapi kini cukuplah dengan sokongan sekutunya dalam DAP.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit turut melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Soi Lek mempertahankan tuduhan liar Timbalan Menteri Wanita MCA yang mendakwa Tok Guru Nik Aziz membenarkan wanita bukan Islam yang tidak menuruti kod pemakaian Islam dirogol.
"Perasan terkejut kepada ucapan Chua bertukar menjadi kasihan dan sedih melihatkan Presiden MCA sanggup menjadi sebegitu hina untuk menghamburkan pembohongan-pembohongan dan penipuan kerana terdesak memikirkan prospek PRU13," tegas Kit Siang.
"Adalah jelas MCA dan Umno telah mengadakan 'perjanjian syaitan' supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu, kerana mereka menyimpulkan bahawa politik kebencian sedemikian adalah satu-satunya cara untuk melindungi dan memelihara kuasa Umno-BN  pada PRU13," tambahnya.
Setiausaha Agung DAP, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya  menyifatkan fitnah terhadap Tok Guru Nik Aziz sebagai "satu pembohongan besar".
"Ini satu pembohongan besar sama dengan pembohongan Utusan Malaysia apabila mendakwa saya anti-Melayu dan anti-Islam kerana Nik Aziz tidak pernah berkata begitu," kata  Guan Eng dalam kenyataannya.
"MCA adalah versi Cina untuk akhbar Utusan Malaysia yang bertenggek di atas kepalsuan, ketakutan dan kebencian untuk hidup. MCA umpama lelaki curang yang mendakwa dirinya bermoral dan bermaruah," ujarnya.
Saya segera teringat bisikan Guan Eng semasa bertemunya di Lapangan Terbang LCTT, Sepang ketika saya masih keuzuran selepas menjalani pembedahan pintasan jantung. Beliau yakin hubungan PAS dengan DAP tidak mudah diputuskan disebabkan persefahaman pemimpin kedua-dua parti, terutama Tok Guru Nik Aziz dan Kit Siang, yang pernah melalui pelbagai penderitaan dan tekanan yang sama dalam memperjuangkan kebenaran dan hak rakyat.
Selamat hari raya Aidil Adha dan melaksanakan ibadah korban serta menghayati pengertian pengorbanan setulusnya seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts