Saturday 19 January 2013

Optimis Kedah jadi negeri pengeluar makanan utama






KOTA SARANG SEMUT – Kerajaan negeri optimis menjadikan Kedah sebagai negeri pengeluar makanan sebagaimana yang telah diputuskan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam mesyuarat NCIA bahawa Kedah adalah negeri pembekal makanan Malaysia.

Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak, menjelaskan, setakat ini Kedah adalah penyumbang terbesar beras negara dan selebihnya diimport dari Thailand, Filipina dan Indonesia.

Satu ribu ekar tanah di Charuk Genting Bunga, Pedu kita jadikan ladang buah-buahan. Semua jenis buah-buahan akan kita tanam di sana, dan ianya bukan sahaja menjadi ladang untuk mendapatkan hasil malah untuk dijadikan ladang pelancongan,“  kata beliau lagi. Berucap sempena Majlis Penyerahan Sijil Pengurusan Tanaman Mempelam di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri telah mengadakan Pelan Hala Tuju sektor pertanian yang dirangka untuk lapan tahun bermula dari tahun 2008 sehingga 2015. Kerajaan negeri sentiasa memandang serius kepada sektor pertanian negeri dan memberi keutamaan khususnya meningkatkan pengeluaran makanan selain meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar yang kebanyakannya menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.
“Kerajaan telah bersetuju mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk dijadikan kawasan pertanian makanan selain dari beras seperti ubi, pisang, ubi kayu dan lain-lain. Kita berusaha meningkatkan agenda makanan kerana tuntutan kepada makanan semakin meningkat,“ jelasnya lagi.
Kedah Agro dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah telah diarah dan diamanahkan untuk mengurus rantaian pemasaran hasil pertanian di Kedah. Antara tindakan yang telah diambil selama lima tahun ini ialah mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di Sungai Petani dan di daerah-daerah. Semua hasil-hasil pertanian dikumpul dan diproses untuk menghasilkan produk makanan samada untuk pasaran dalam mahu pun luar negara.
“Sekarang ni memang agak perlahan sedikit proses rantaian itu tetapi selepas ianya dikemaskini dan ramai petani yang turut serta, proses itu akan berjalan lebih dan baik lancar.
“Selain kilang memproses hasil pertanian yang kita wujudkan di Sungai Petani, PKNK juga telah mengadakan kilang memproses nanas dalam tin dan InsyaAllah kita nak cadang buat macam tu untuk proses mempelam pula,“ sambung beliau.
Sambungnya lagi, dahulu orang kurang berminat untuk menjadikan mempelam sebagai perniagaan.Penanaman mempelam di Kedah mencecah sehingga 1000 hektar tetapi tidak dapat memulangkan hasil terbaik untuk Kedah.
“1000 hektar tu lebih kurang empat ribu relong. Luas sangat tapi kita tidak dapat manfaat darinya. Ini kerana pokok-pokok yang ditanam tidak dijaga dengan baik dan pengurusan yang tidak teratur.
“Saya menyambut baik usaha Jabatan Pertanian mengadakan kursus seumpama ini kerana dengan pendedahan mengenai teknik-teknik terkini, pengeluaran buah akan menjadi lebih banyak dan subur,“ ujarnya.
Melalui kursus yang mendedahkan teknik-teknik pemangkasan dan pemulihan pokok mempelam itu, maka para peserta boleh memanfaatkannya di kebun masing-masing dan sekali gus pengeluaran buah mempelam akan meningkat. Dengan keluasan penanaman yang menjangkau 1000 hektar, Kedah tidak perlu lagi memikir untuk menambah penanaman tetapi lebih kepada memberi penekanan kepada membaik pulih pokok-pokok berkenaan.
“Kursus pemangkasan dan pemulihan pokok ini sangat penting untuk menghasilkan buah yang baik. Dulu kita arahkan Kedah Agro kumpul buah mempelam untuk jadikan jus tapi masa itu belum ada kilang. Sekarang kita sudah ada kilang.
“Kita juga ada rangkaian di Eropah dan Timur Tengah. Yang penting saya minta aktiviti pertanian dipertingkatkan.Selain boleh tolong rakyat, petani dapat juga pendapatan sampingan. Cuma kita harap  aktiviti pertanian ini perlulah dibuat  secara terancang dan ianya boleh membantu pengeluaran hasil negeri.“ kata beliau lagi.
YAB Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana memberi latihan kepada peserta dan berharap agar penanaman dan pengurusan pokok-pokok mempelam mereka menjadi lebih baik dan mengeluarkan hasil yang banyak. Peserta diharap dapat mempratikkan apa yang  dipelajari dan menjadi penggerak utama sektor pertanian untuk menjadikan Kedah penerajui sektor pertanian negara.
Seramai 41 peserta telah berjaya menamatkan kursus yang diadakan bermula  0gos 2011 sehingga Disember 2012.Kursus berkenaan akan diteruskan untuk masa-masa yang akan datang.
Beliau seterusnya menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta kursus dan diberi peluang melihat demontrasi teknik pembiakan tanaman mempelam.
Turut hadir, YB Dato’Mohamed Taulan Mat Rasul, YB Dato’Amiruddin Hamzah, YB Ustaz Abdul Ghani ahmad, YB Tan Chow Kang, YB Lim Soo Nee, YB Senator Saiful Idzham, Pegawai Daerah Yan, Pengarah Pertanian Negeri, MKK dan penduduk setempat.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts