Sunday 27 January 2013

CIA dalang disebalik kejadian membunuh diri terjun bangunan?



"CIA adalah sebuah agensi perisikan yang dianggap termaju di dunia. Ia bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam aktiviti-aktiviti perisikan dan keselamatan, tetapi juga mempunyai keupayaan untuk menerokai kemajuan sains dan teknologi untuk kepentingan negaranya.

Selepas tamat perang dunia ke dua, US dan Sovient masing-masing cuba melebarkan pengaruhnya ke seluruh dunia. Dengan persaingan dalam perang dingin di antara US dan Soviet ini, setiap pihak telah menghantar perisik-perisik ke dalam pasukan perisikan musuh bagi membentuk "double agent", iaitu agen perisik yang seolah-olah bekerja dengan satu pihak, sedangkan dia bekerja dengan pihak musuhnya. Kebimbangan di pihak US amat ketara setelah penguasaan dan perkembangan teknologi nuklear oleh pihak Soviet. Demi menyekat pengaruh komunis ke serata dunia, CIA telah membelanjakan jutaan dolar untuk mengkaji kaedah bagi mengawal tingkahlaku manusia, terutamanya dalam mendapatkan maklumat rahsia daripada tahanan yang enggan memberikan kerjasama ketika sesi soalsiasat.

Bermula pada awal 1950an, CIA melalui salah satu unitnya iaitu Scientific Intelligent Division telah memulakan satu operasi rahsia berbentuk eksperimen bagi tujuan penyelidikannya terhadap kawalan minda manusia. Operasi rahsia yang dikenali sebagai Project MKUltra, melibatkan ujian-ujian dan aktiviti-aktiviti yang kebanyakannya salah disisi undang-undang Amerika Syarikat.

Project MKUltra ini telah dijalankan secara rahsia tanpa persetujuan pihak yang diuji menyebabkannya diklasifikasikan sebagai amat sulit dan sentiasa dinafikan oleh pihak kerajaan US. Antara kaedah yang paling kerap digunakan ialah penggunaan LSD kepada manusia tanpa pengetahuan dan persetujuan individu tersebut.

LSD atau Lysergic acid diethylamide adalah sejenis dadah semi sintetik yang di proses daripada Asid Lysergic, merupakan sejenis bahan kimia yang boleh memutarbelitkan persepsi realiti dan menghasilkan halusinasi, disamping menimbulkan rasa gelisah dan panik secara mendadak apabila seseorang itu mengambilnya. LSD berupaya menimbulkan semula ingatan terpendam didalam minda seseorang secara tiba-tiba, dan kadangkala menyebabkan seseorang itu mengalami sesuatu peristiwa itu selama beberapa hari. LSD juga berupaya menyebabkan gangguan emosi yang serius, dan menghilangkan kewarasan seseorang terhadap dunia yang nyata. Mereka kadangkala merasakan dinding dan lantai bergerak, bayangan roh jahat, pembentukan objek-objek aneh serta gagal memahami dimensi ruang seperti luas dan ketinggian walaupun ketika mata seseorang itu telah ditutup.

Disebabkan kesan LSD yang amat dahsyat ini, penggunaannya mendominasikan kaedah-kaedah kawalan minda dan sesi soalsiasat CIA. Selain itu, para kakitangan CIA juga turut dijadikan bahan ujikaji LSD tanpa mereka sedari. Beberapa kes-kes kematian yang berlaku telah dikaitkan dengan Project MKUltra ini. Di antara kes kematian yang terkenal dikaitkan dengan LSD melibatkan kematian Dr Frank Olson pada 1953, seorang saintis kerajaan yang berkhidmat dengan Bahagian Peperangan Biologi , agensi dibawah pentadbiran tentera US. Dr Frank Olson sendiri merupakan salah seorang penyelidik kanan di dalam Project MKUltra yang dikendalikan CIA.

Skop penyelidikan beliau melibatkan penggunaan dadah psikoaktif di dalam sesi soal siasat agensi keselamatan US, menyebabkan beliau mengetahui hampir kesemua rahsia-rahsia sulit Project MKUltra. Setelah mencuba sendiri LSD untuk tujuan kajian, beliau dilaporkan mula mengalami perubahan sikap dan mengalami kemurungan. Beberapa rakan dan saksi percaya bahawa Dr Frank Oslon mula berubah fikiran dan merasai bahaya kesan LSD terhadap manusia. Beliau dipercayai ingin menarik diri dari penyelidikan itu, tetapi pihak atasan mula menuduhnya mengalami tekanan mental. Dr Frank Olson akhirnya dirujuk kepada pakar Psikitrik dan dikehendaki melaporkan diri di sebuah Pusat Rawatan Mental untuk tujuan pemulihan.

Ketika dalam perjalanan, Dr Frank Olson yang berada di bawah pengawasan dan tahanan seorang agen CIA bernama Robert Lashbrook ditemui mati terjatuh daripada sebuah hotel. Menurut laporan rasmi yang dikeluarkan kerajaan ketika itu, kematian Dr Frank Olson diklasifikasikan sebagai membunuh diri dengan terjun daripada balkoni hotel tersebut.

Rahsia disebalik peristiwa tersebut mula terbongkar selepas skandal Watergate menghantui politik Amerika Syarikat. Pada tahun 1975, Presiden US ketika itu telah mengarahkan semua aktiviti-aktiviti CIA disiasat oleh sebuah suruhanjaya yang diketuai oleh naib Presiden ketika itu, Nelson Rockefeller. Bagi melindungi maklumat rahsia Project MKUltra daripada didedahkan kepada suruhanjaya itu, Pengarah CIA, Richard Helms telah mengarahkan kesemua dokumen berkaitan Project MKUltra dimusnahkan. Hal ini menyebabkan siasatan terhadap projek itu agak sukar dilakukan. Namun, salinan dokumen berkaitan kewangan projek itu yang disimpan di bahagian kewangan CIA telah dijadikan panduan untuk meneruskan siasatan.

Setelah penyiasatan daripada dua suruhanjaya yang dibentuk, akhirnya, kerajaan US mengakui bahawa Dr Frank Olson telah diberikan LSD tanpa pengetahuannya dan menawarkan pampasan berjumlah 750 ribu dolar kepada keluarganya. Mereka menerima pampasan tersebut, namun keluarganya itu masih tetap menganggap Dr Frank Olson telah mati dibunuh dan meneruskan tuntutan untuk penjelasan sebenar kematiannya. Autopsi kedua yang dilakukan pada 1994 telah menemui beberapa kesan hentakan di kepala dan badan. Kes tersebut kini dibuka semula tetapi masih lagi belum dapat diselesaikan.

Selain kes Dr Frank Olson, kes kontroversi seterusnya yang dikaitkan dengan LSD ialah kematian Diane Linkletter yang terjun dari sebuah bangunan yang tinggi. Menurut bapanya, Diane dipercayai telah dipengaruhi oleh LSD sehingga menyebabkannya menjadi tidak rasional. Meskipun laporan autopsi tidak menemui sebarang kesan penggunaan dadah, bapanya menegaskan pengesanan LSD memerlukan ujian khas kerana LSD tidak dapat dikesan melalui prosedur biasa autopsi. Disamping itu,terdapat beberapa kes-kes lain juga menunjukkan LSD adalah punca kepada beberapa kejadian kematian akibat terjatuh dari bangunan yang tinggi.

Negara kita juga mempunyai beberapa kes kematian akibat terjun bangunan yang menimbulkan seribu satu persoalan. Meskipun laporan rasmi telah dikeluarkan, namun ianya belum tentu melenyapkan pelbagaian persoalan yang masih lagi belum terungkai di dalam minda keluarga mangsa dan masyarakat. Kematian Teoh Beng Hock telah menyebabkan keluarganya bangkit untuk menuntut penjelasan, dan sebuah suruhanjaya siasatan telah ditubuhkan. Namun, adalah suatu yang mendukacitakan apabila kejadian terjun bangunan melibatkan dua penjawat awam berbangsa melayu Islam dipandang sepi sehingga ke hari ini. Al-Fatihah kepada Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, Pegawai Kanan Kastam dan Allahyarham Rumie Azzan Mahlie, Pegawai Penyiasat JAS Sarawak."

No comments:

Post a Comment

Popular Posts