Saturday 19 January 2013

Laksamana Cheng Ho Bentuk Baba-Nyonya Melaka







PADA ketika Kerajaan Melayu Melaka memulakan empayernya pada awal kurun ke-15, keadaan politik di rantau Asia Tenggara ketika itu tidaklah begitu stabil. Dua buah kuasa besar yang terdiri daripada Kerajaan Majapahit (Indonesia) dan Kerajaan Siam (Thailand) sedang bersaing hebat bagi merebut kuasa dan jajahan takluk masing-masing di kawasan ini. Justeru, kedatangan armada Cheng Ho beserta dengan kekuatan ketenteraannya menjamin kedamaian negara-negara di rantau ini dan mengelakkan berlakunya peperangan. 

Ini selari dengan dasar negara Dinasti Ming ketika itu yang menekankan dasar persahabatan dan bukannya membawa persengketaan. Kekuatan dan kehebatan armada Cheng Ho ini telah menakutkan negara-negara di rantau ini untuk berperang sesama sendiri. Bagi negara yang ingin selamat dan terhindar daripada serangan Siam atau Majapahit, mereka akan mengadakan hubungan baik dengan lawatan Cheng Ho. Inilah yang dilakukan oleh kerajaan Melaka. Mereka menerima kedatangan Cheng Ho sebagai sahabat dan 'pelindung' kepada ancaman daripada kuasa luar seperti Siam dan Majapahit pada ketika itu. 

Dengan itu kerajaan Melaka berasa selamat dan dapat membangunkan pelabuhan serta negeri mereka dengan aman damai. Ini merupakan satu simbolik dan strategi yang berkesan oleh pihak kerajaan Melaka. Pada ketika Laksamana Cheng Ho membawa armadanya ke Asia Tenggara (Nusantara), Melaka pada waktu itu di bawah takluk Siam dan terpaksa membayar ufti tahunan berupa 40 unit pohon emas. 

Menurut catatan Ma Huan seorang jurutulis yang ikut serta dalam pelayaran tersebut mengatakan, 'Parameswara sebelumnya cuma bertaraf kepala suku atau ketua kaum sahaja'. Oleh itu membayar ufti sebegitu banyak adalah suatu penindasan dari sebuah kuasa penjajah (kerajaan Siam) waktu itu. Berdasarkan ikatan persahabatan dengan pemikiran-pemikiran Islam agama anutannya, Cheng Ho telah mengutus surat kepada kerajaan Siam supaya ufti dihentikan. 

Tandanya Laksamana Cheng Ho dengan kekuatan kerajaannya, telah berjaya membebaskan dan menyelamatkan kerajaan Melayu Melaka dari penjajahan kerajaan Siam, dengan tanpa tumpah darah setitik pun. Bukan itu sahaja, bahkan kunjungan muhibah Cheng Ho itu berjaya membangunkan hubungan politik, diplomatik dan sosial secara perdamaian dengan pemerintah berbagai negeri di Laut Cina Selatan.

Di Melaka, beliau menempatkan pasukannya di suatu kawasan berbukit, yang akhirnya disebut Bukit Cina atau Chinese Hill. Beliau dan pengikutnya terus menziarahi Raja Melaka, iaitu Parameswara yang masih beragama Hindu. Disampaikan hadiah terdiri dari emas, wang China, sutera porsolen dan beberapa payung kuning. Tradisi payung kuning bagi raja-raja Melayu pun bermula dari sejak itu. Malah, tidak lama kemudian, Raja Parameswara telah memeluk agama Islam dengan memakai gelaran Raja Parameswara Iskandar Shah (1392-1414 T.M.).
Kesan sejarah pengikut Cheng Ho: Kuburan lama di Bukit Cina, Melaka
Pada tahun 1459, sekali lagi Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka dengan membawa Puteri Hang Li Poh untuk dijodohkan dengan Sultan Melaka pada ketika itu iaitu Sultan Mansur Shah (1458-1477 T.M.), dan pengikut-pengikut puteri ini telah juga ditempatkan di sekitar kawasan Bukit Cina lalu membentuk petempatan yang lebih luas di kaki Bukit Cina, Melaka. Bukti petempatan ini masih wujud hingga ke hari ini dengan adanya kuburan kuno (lama) di atas Bukit Cina (seperti gambar di atas), Perigi Raja atau Perigi Puteri Hang Li Poh, Kuil 'San Pao Kung' atau 'Sam Po Bo' iaitu gelaran kehormat kepada Cheng Ho, serta ukiran patung Laksamana Cheng Ho.
Perigi Raja atau Perigi Puteri Hang Li Poh
 
Kuil 'San Pao Kung' atau 'Sam Po Bo', di Bukit Cina, Melaka
Ukiran Patung Laksamana Cheng Ho di Kuil 'San Pao Kung' atau 'Sam Po Bo', di Bukit Cina, Melaka




Keturunan Baba dan Nyonya di Melaka
Kemunculan masyarakat minoriti Baba dan Nyonya di Melaka adalah daripada keturunan pengikut-pengikut Puteri Hang Li Poh yang datang bersama armada Cheng Ho pada tahun 1459. Puteri Hang Li Poh dikahwinkan dengan Sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Shah dan Sultan Melaka telah memerintahkan agar didirikan sebuah istana khas bagi puteri ini di puncak Bukit Cina. Manakala pengikut puteri ini pula tinggal di petempatan yang dibina di kaki Bukit Cina dan kawasan sekitarnya. 

Walau bagaimanapun, kesan tinggalan istana Puteri Hang Li Poh tidak dapat dijejaki hingga ke hari ini. Kesan petempatan pengikutnya pula dapat dilihat berdasarkan adanya perigi yang digunakan mereka yang dikenali sebagai `Perigi Raja' atau `Perigi Puteri Hang Li Poh' di kaki Bukit Cina tersebut. Keturunan pengikut Puteri Hang Li Poh inilah yang dikata membentuk masyarakat minoriti Baba dan Nyonya di Melaka. Mereka telah diasimilasikan ke dalam masyarakat dan budaya Melayu sehinggakan identiti budaya mereka banyak yang telah hilang dan digantikan dengan unsur-unsur budaya Melayu. 

Nama mereka dikenali dengan permulaan sebagai `Baba' bagi kaum lelaki (misalnya Baba Kim Teck), dan `Nyonya' bagi kaum wanita (misalnya Nyonya Che Pon). Mereka juga `amat fasih' bertutur dalam bahasa Melayu dialek Baba dan Nyonya sebagai bahasa pertama, dan mengamalkan serba sedikit cara hidup orang-orang Melayu. Contoh bahasa Melayu dialek Baba dan Nyonya dapat dilihat dalam pantun dondang sayang seperti berikut:

Naday bugis tolak blayar, 
Jerok mari dalam kendi; 
Hutang budi balas di dunia, 
Hutang hati mengikat diri.

Pisang mas bawak blayer, 
Tengah laot patah kemudi-nya;  
Hutang budi dapat di bayer,
Hutang hati apa ganti-nya.
Keturunan Baba dan Nyonya Berbaju Kebaya Melayu dan nyanyi Dondang Sayang
Baba dan Nyonya menarikan Tarian Melayu Tradisioanal
Mengikut sejarah, Baba dan Nyonya merupakan golongan keturunan Cina yang sangat unik kedudukannya yang terdapat di Negeri-Negeri Selat, Tanah Melayu, khususnya di negeri Melaka. Selain Melaka, kedudukan mereka kini berselerakan terutama sekali di Negeri-negeri Selat bekas Jajahan British di Pulau Pinang dan Singapura. Mereka juga dikenali sebagai Cina Peranakan atau "Straits Chinese". 

Kaum Baba dan Nyonya ini mengamalkan agama-agama tradisional Cina, dengan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, perayaan Pesta Tanglung, di samping mengamalkan adat resam Melayu dan penjajahan Barat. Bahasa mereka juga unik dengan mengamalkan Dialek Baba-Melayu: campuran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Hokkien. Begitu juga daripada aspek pemakanan, mereka mengamalkan campuran masakan Cina dan Melayu beridentitikan masakan Baba Nyonya yang pedas dan berempah. Mereka kaya kaya dengan kebudayaan, dan sangat unik dengan ciri-ciri campurannya. Sebab itulah dikatakan bahawa Warisan Baba Nyonya menjadi bahagian yang penting dalam khazanah seluruh bangsa Malaysia. 

Pakaian Tradisional Pengantin masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka
Pada hari ini, bilangan masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka semakin berkurangan, mungkin kurang daripada 100 ribu orang. Ini kerana ramai daripada mereka terutamanya keturunan muda yang telah berhijrah ke negeri-negeri lain ataupun berkahwin dengan orang-orang Melayu atau Cina dan memeluk agama Islam atau Buddha. Walau bagaimanapun, kerajaan Negeri Melaka masih mengekalkan petempatan tradisional mereka sebagai warisan budaya yang tidak ternilai harganya. 

Petempatan tradisional mereka masih dipelihara oleh kerajaan dan dijadikan muzium ataupun pusat-pusat pelancongan di negeri Melaka. Pelancong berpeluang untuk menatap rumah-rumah tradisional Baba dan Nyonya yang masih dikekalkan dalam bentuk asal dengan seni bina, rekaan dan hiasan dalamannya yang menarik serta begitu unik sekali. Petempatan tradisional mereka ini dipelihara utuh di sekitar Banda Hilir dan kawasan Tengkera. 

Bangunan lama berupa deretan rumah kedai tersebut sebagai khazanah silam yang menyimpan seribu satu kenangan menceritakan tentang kewujudan masyarakat ini serta keunikan budaya mereka yang telah mula ditelan zaman. Hanya warisan artifak untuk tatapan generasi hari ini yang mampu mengukir senyuman dan menceritakan segalanya kepada para pengunjung yang melawatnya. (CRI)

REPLIKA armada Cheng Ho ini turut menjadi tarikan pengunjung ke Zheng He Park.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts