Saturday 19 January 2013

Isu Sharifah-Bawani: Jangan salahkan kerajaan, kata Khaled


Mohamed Khaled Nordin
Khaled Nordin merasmikan Restoran Warisan Senibong di Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Kementerian Pengajian Tinggi kesal dengan insiden bertikam lidah antara Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dengan pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang menjadi perhatian banyak pihak.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kejadian itu sesuatu yang malang dan tidak sewajarnya berlaku khususnya di dalam universiti.
Beliau menegaskan, kenyataan menerusi klip video berdurasi 24 minit di internet itu tiada kaitan dengan kerajaan.
“Ada pelbagai aktiviti diadakan di universiti anjuran pelajar sendiri dan jangan anggap semua berlaku di universiti anjuran kerajaan atau  kementerian.
"Masalahnya ialah apabila insiden seperti ini berlaku seolah-olah kerajaan yang atur dan menyuruh Sharifah yang bercakap seperti itu yang berkehendakkan minda pelajar disekat dan ditutup," kata beliau.
Khaled berkata, "Sharifah bukan tenaga akademik dan bukan kakitangan kementerian atau UUM, dia dijemput oleh pelajar untuk menjadi moderator, dari mana dia datang saya tidak tahu."
“Insiden ini sesuatu yang malang yang tidak sewajarnya berlaku dalam universiti,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Restoran Warisan Senibong, di sini, hari ini.
Khaled biarpun kecewa dengan insiden itu, kementeriannya tidak berhasrat menyekat kebebasan bersuara atau program-program percambahan idea di universiti.
“Memang kadang-kadang cara pelajar itu, cara mereka menyoal dan cara mereka menunjukkan pemerhatian dan kesedaran mengenai perkara yang mempunyai hubung kait dengan mereka atau pembangunan negara.
“Kita akan teruskan program  yang mana pelajar dibenarkan menganjurkan pelbagai aktiviti, boleh bersuara, beri pandangan dan pendapat sebebas-bebasnya dalam universiti, namun pihak-pihak ini perlu lebih sensitif,” katanya.
Akuinya, ada cubaan mengaitkan insiden itu dengan kerajaan, yang disifatkannya kebenaran akan terjawab kelak.
"Kecenderungan untuk mengait semua perkara adalah punca pasti berlaku sebab kita hendak pilihan raya, hendak cari isu salahkan kerajaan.
“Kita tahu logo 1Malaysia hak semua rakyat Malaysia, yang boleh dipakai oleh semua dan SW1M bukan kerajaan yang wujudkan,” katanya.
Video klip Bawani yang heboh dibincangkan di laman sosial dan dimuat naik di Youtube mengundang reaksi pelbagai pihak yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap jawapan dan tindakan Sharifah Zohra kini terkenal dengan perkataan 'Listen!' sebagai protes terhadap perbuatan itu.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts