Thursday 24 January 2013

Cinta Nabi SAW Gaya Sahabat



"Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi SAW. Ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh dari air tangan Nabi SAW. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi SAW dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu dari Baginda SAW.

Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah SAW adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda SAW, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad SAW, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda SAW. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Sham bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah SAW.

Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi SAW. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi SAW. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi SAW.

Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah SAW sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi SAW dengan penegasannya:

“Demi Allah, aku benci bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah SAW ditinggalkan diseksa oleh kamu semua” al-Bukhari

Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi SAW adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda SAW.

sambungan
www.tarbawi.my"

No comments:

Post a Comment

Popular Posts