Menyempatkan diri beribadah Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai
anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat
hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku
akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup
kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)
Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan
Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya
lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi
s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t
akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya
dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan
saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini
rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-
Nya:
“(iaitu)
orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi
tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa
yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti
kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga
bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
Tunaikan hajat orang lain Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak
tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan,
dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua
hajat. Wallahu a’lam.
Buat kebajikan banyak-banyak Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan
jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula
boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit
rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
Menjalin silaturrahim Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman
mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah .
Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
Bersedekah Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai
Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang
dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya.
Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah
membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah
menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh
rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan
doanya dimakbulkan Allah .
Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan
dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah
dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan
sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan
siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada
petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
Bersyukur kepada Allah Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku
amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir
surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali
setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan
kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah
(Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki
jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah”
berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk
mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya
‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung
dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah
suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya
dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang
yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh
membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak
tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak
anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang
baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi
baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
Bertawakal Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya
kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya
kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan
petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada
takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara
yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
No comments:
Post a Comment