Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Sunday, 13 March 2016

Naik 50 kereta api dalam 15 hari



KETIKA musim sejuk di Itali, seorang anak muda terpaksa transit selama lima jam di stesen kereta api Grosseto sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya.
Dia yang tiba sejak pukul 12 tengah malam berasa gerun apabila mendapati dirinya bersendirian di tempat asing itu.
Gagal mendapatkan bantuan rakyat tempatan untuk mencari tempat berehat, pada suhu yang hampir mencecah 0 darjah Celsius dia membuat keputusan untuk menyorokkan bagasinya di sebuah kawasan semak.
Dia kemudiannya menyertai kumpulan gelandangan yang tidur di sekitar kawasan stesen kereta api tersebut.
Pengalaman itu merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh pengembara beg galas, Meor Farid Asyradi Meor Zahidi, 26, semasa kembaranya merentasi benua Eropah dengan menaiki kereta api.
“Walaupun kepenatan, saya tabahkan diri menanti ketibaan kereta api seterusnya. Dalam keadaan sedemikian, lima jam di Itali umpama lima hari lamanya.
“Ia merupakan pengalaman yang banyak mengajar saya untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan. Bagi saya cukuplah saya selamat sepanjang bersendirian di negara asing itu,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anak jati Sungai Siput, Perak itu juga merupakan penulis buku Travelog Mr. Traveller, sebuah naskhah perkongsian kembaranya di 15 buah negara dengan menaiki 50 kereta api selama 15 hari.
Dilahirkan pada 11 Mei 1990, minat mengembara pelajar Sarjana Sains Politik Islam juga di UM itu mula berputik selepas terlibat dalam program pertukaran pelajar di dua buah negara iaitu Mesir dan Korea Selatan.
Rentetan itu, dia yang juga merupakan seorang guru tuisyen dan moderator sambilan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk pergi melancong beg galas secara sendiri atau berkumpulan setiap kali cuti semester.
Kembaranya di benua Eropah dua tahun lalu merupakan perjalanan yang banyak memberi pengalaman bermakna sambil meluaskan pengetahuan tentang negara orang.

Buku Travelog Mr. Traveller telah dijual sebanyak 12,000 unit.


Seperti pengembara beg galas lain, Meor Farid Asyradi memulakan minatnya dengan mengembara di negara-negara jiran bagi menimba pengalaman berada di negara berbeza adat, bahasa dan kehidupan sosial sebelum merentas benua lain.
Markas
Putera kepada pasangan Meor Zahidi Meor Muhd. Tahir, 56, dan Masturah Meor Adnan, 55, itu memulakan kembaranya selama dua bulan di benua Eropah dengan menjadikan Sweden sebagai pusat utama dalam rancangan perjalanannya.
“Sweden umpama markas untuk kembara saya di Eropah. Di sana saya mempunyai seorang rakan. Kami berkenalan ketika sama-sama menguruskan program Sveriges Muslimska Akademiker (SMA-APIUM Summer Camp) yang diadakan di Akademi Pengajian Islam UM.
“Sebelum memulakan perjalanan menaiki kereta melalui 15 buah negara, saya meluangkan masa terlebih dahulu bersama rakan-rakan di Sweden dan melancong ke Britain selama seminggu,” ujarnya.
Tambah anak kedua daripada lima beradik itu, sebelum memulakan langkah untuk mengembara ke benua Eropah dia telah melakukan persiapan awal dengan membuat beberapa rujukan dan perancangan.
Antara persiapan awal Meor Farid Asyradi sebelum melakukan pengembaraan ialah merancang perjalanan, kewangan, mengkaji tentang budaya dan adat resam tempat yang ingin dikunjungi serta menghubungi rakan-rakan di beberapa buah negara di benua Eropah.
Pada masa sama dia turut melakukan beberapa perancangan tambahan sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga.
Khatam Quran
Menurutnya, perbelanjaan sepanjang dua bulan dia berada di sana hanya menelan belanja hampir RM7,000 termasuk tiket penerbangan ke Sweden dan tiket perjalanan 15 hari melalui 15 buah negara.

Antara koleksi gambar kenangan yang dirakam oleh Meor Farid Asyradi ketika mengembara di benua Eropah.


Walaupun jumlah itu kedengaran kurang munasabah, Meor Farid Asyradi telah membuktikan sebaliknya. Baginya pengembaraan yang dilakukan lebih untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
Antara kenangan lain yang tidak boleh dilupakan adalah rasa hiba apabila dapat mendengar semula azan Subuh berkumandang ketika merentasi sempadan negara Turki.
“Ia merupakan saat yang menyentuh perasaan apabila setelah hampir sebulan lebih saya tidak mendengar azan dilaungkan dari masjid. Ternyata masih ada syiar Islam yang berkembang di benua Eropah ini.
“Selain mengembara, saya juga meletakkan satu lagi sasaran utama iaitu ingin khatam al-Quran sepanjang dua bulan di Eropah kerana ia merupakan cara terbaik untuk membendung diri daripada terbelenggu maksiat ketika di negara orang,” jelasnya.
Tambah suami kepada Siti Syahidah Mohd. Samsudin, 26, selain itu dia juga tidak boleh melupakan saat getir ketika hampir menjadi mangsa peras ugut ketika berada di Romania. Saat itu Allah benar-benar melindungi dirinya dengan memberikan ilham untuk melepaskan diri.
Semua pengalaman yang dialami olehnya merupakan momen yang sangat berharga buatnya. Dia pada masa sama melihat pengalaman tersebut sebagai ilmu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.
Mahu berkongsi pengalaman dengan orang ramai tentang kembaranya di Eropah, pada April 2015, Meor Farid Asyradi telah menerbitkan buku Travelog Mr. Traveller, 25 Tahun-35 Negara-Niat-Minat dengan modal sendiri.
Tidak berniat untuk memperdagangkan pengalamannya, tanpa disangka tindakan menerbitkan buku travelog tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca.
“Pada awalnya saya tidak merancang untuk menerbitkan buku, namun akhirnya saya membuat keputusan untuk melakukan sedemikian setelah memikirkan ia boleh menjadi jalan dakwah saya menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
“Ia merupakan satu langkah berani dan saya mengambil masa selama tiga minggu untuk menggarap kandungan dan proses mencetak mengambil masa lebih kurang dua minggu,” ujarnya.
Berani
Setelah sembilan bulan berada di pasaran, buku terbitan Meor Farid Asyradi telah terjual sebanyak 12,000 unit.

Dengan sekeping tiket, Meor Farid Asyradi mengembara ke 15 negara dengan menaiki 50 buah kereta api selama 15 hari.


Kini buku yang merupakan cetakan kelima itu masih berada di pasaran serta telah dinobatkan sebagai salah satu antara 15 buku terlaris 2015 di sebuah kedai buku terkemuka Malaysia.
Bagi Meor Farid Asyradi, segala pencapaian yang dikecapi merupakan rezeki kurniaan Ilahi. Dia yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah selepas tamat pengajian sarjana memberitahu, aktiviti melancong dan penglibatan dalam bidang penulisan akan tetap diteruskan.
“Insya-Allah tahun ini saya akan menerbitkan sebuah lagi buku, Travelog Mr. Traveller: The Untold Story yang bakal memuatkan 50 kisah benar sepanjang pengalaman menjadi pengembara beg galas.
“Pada masa sama, saya juga merancang untuk membuka syarikat penerbitan sendiri bagi membantu dan membuka platform buat penulis muda lain memulakan karier dalam bidang penulisan,” jelasnya mengakhiri bicara.

Saturday, 20 February 2016

'Mahathir mahu semua parti ketepi perbezaan singkir Najib'



Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju supaya semua parti politik mengketepikan perbezaan masing-masing dan berganding bahu untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dedah seorang ahli parlimen PAS.
Bercakap kepada Malaysiakini, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini adalah antara keputusan dan isu-isu yang dibincangkan semasa pertemuannya selama sejam dengan bekas perdana menteri itu pagi ini.
"Kedua-dua kami bersetuju bahawa Najib perlu digantikan dengan segera dan keputusan mengenai perdana menteri baru akan dibuat kemudian.
"Kami bersetuju bahawa kita harus mengketepikan perbezaan antara parti dan ideologi, kita harus lihat ke hadapan," katanya.
Menurut Mahfuz, jika isu pengganti dibincangkan ketika ini, ia mungkin menyebabkan pertikaian.
"Idea kami sama iaitu perubahan PM mesti disegerakan, cara bagaimana, bermula dari kesatuan semua pihak, termasuk parti-parti politik.
"Jangan fikir dulu siapa pengganti PM, sebab kalau fikir dulu siapa pengganti PM, makna takkan berlaku... semua pihak akan bertengkar, akan perlu ada kepentingan politik masing-masing," katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena juga berkata beliau telah berjumpa Dr Mahathir atas inisiatifnya sendiri dan tidak mewakili PAS.
Menurutnya, pembangkang boleh membiarkan Najib terus menjadi perdana menteri sehingga menimbulkan lebih banyak rasa tidak puas hati dan marah rakyat terhadap Umno dan BN supaya peluang mereka lebih cerah pada pilihan raya umum akan datang.
"Dalam tempoh masa lama itu satu penganiayaan kepada rakyat akan terus berlaku.
"Saya tak sampai peringkat untuk terus menganiayai rakyat yang tertekan di bawah pimpinan Najib," katanya.
Mahfuz berkata susulan perjumpaan pagi tadi, beliau mencadangkan perbincangan lanjut dan meliputi jumlah yang lebih besar.
"Bukan hanya saya dan Tun (Dr Mahathir)... memerlukan pelan tindakan.
"Pemikiran itu sudah ada titik pertemuan. Saya beritahu tadi perlu ada satu pertemuan lebih besar pelbagai parti, NGO dan individu untuk kita rangka pelan tindakan," katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa Mahathir pada pertemuan itu tidak memberi sebarang janji atau jaminan mengenai pelan tindakan berkenaan.
"Dia (Dr Mahathir) ambil maklum. Bagi saya beliau seorang negarawan, walaupun ada perbezaan dalam beberapa hal, tetapi kita ada titik pertemuan pada isu semasa.
"Bagi saya beliau boleh panggil semua pihak bukan saja daripada pembangkang tetapi juga di kalangan individual, BN dan NGO lain," katanya lagi.

Syor Untuk Halalkan Ganja, Wajar Kata Pengasih




Kuala Lumpur – Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) menyokong syor akan pihak kerajaan mengkaji semula kesalahan penggunaan marijuana atau ganja di kalangan masyarakat di negara ini.

Presidennya Datuk Mohd Yunus Pathi ketika dihubungi SuaraTV berkata kesalahan menghisap ganja tidak wajar diambil tindakan sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak memudaratkan.
“Secara peribadi saya tidak bersetuju untuk menghalalkan penjualan ganja, namun saya bersetuju supaya mereka yang menghisap ganja tidak didakwa sebagai kesalahan jenayah.
“Kalau ada yang nak menghisap ganja biarlah mereka hisap, ini kerana menghisap ganja bukan satu perkara yang serius yang boleh diklasifikasikan sebagai sangat merbahaya,” katanya kepada SuaraTV sebentar tadi.
Menurut Mohd Yunus lagi, majoriti negara yang menganggotai TPPA turut menyifatkan pengunaan ganja sebagai tidak merbahaya dan tidak meletakkan ia sebagai kesalahan jenayah.
“Saya difahamkan majoriti negara di bawah TPPA meletakkan ganja sebagai bahan yang tidak mudarat dan mereka yang menghisapnya tidak dihukum.
“Macam arak ia ada dijual tetapi bukan semua orang minum arak, begitu juga dengan judi dan penjualan nombor ekor ia dijual secara terbuka kerana tidak semua yang bermain judi” ujarnya pula.
Terdahulu Ahli Parlimen Belia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli ketika membahaskan usul mengenai meningkatkan undang-undang dadah pada sidang Parlimen Belia semalam mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula peruntukan undang-undang berhubung pengunaan ganja.
Menurut wakil dari Selangor itu golongan muda tidak menganggap ganja sebagai dadah dan menegaskan isu ketagihan ganja di negara ini hanya menyumbang lapan peratus daripada semua jenis ketagihan berbanding 60 peratus daripada morfin dan 30 peratus daripada heroin.

Laporan berhubung isu tersebut kemudiannya ditweet oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disifatkan sebagai tanda sokongan terhadap syor yang dikemukakan itu. – SuaraTV.

Tuesday, 24 November 2015

Pendebat UIAM kalahkan pelajar Israel‎


Pendebat UIAM kalahkan pelajar Israel‎
Dari kiri: Sara Rahim, Jasmine Ho, Ameera Natasha dan Mifzal. - Foto The Star Online.

BANGI - Pasukan Malaysia muncul juara dalam salah satu pertandingan debat paling kompetitif di dunia iaitu Pertandingan Debat Cambridge Intervarsity (Cambridge IV).




Memetik laporan portal Isma Web, pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjuarai pertandingan keseluruhan manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menang dalam kategori English as Second Language (ESL).
Pertandingan ini berlangsung di Universiti Cambridge, United Kingdom pada 20 dan 21 November lalu.

UiTM menjadi universiti Malaysia pertama dalam sejarah, memenangi kategori utama apabila mereka menjuarai dalam liga akhir menentang pasukan dari Persatuan Sejarah Dublin, Trinity College dan dua pasukan dari Universiti Toronto, Hart House A & B.
Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron, dan Jasmine Ho, kedua-duanya berumur 22 tahun, berjaya mempertahankan usul ‘Dewan ini percaya komuniti antarabangsa perlu membayar kepada negara-negara yang berdekatan dengan zon konflik untuk memproses, menyelesaikan dan menyekat pergerakan selanjutnya pelarian’ dalam kedudukan mereka sebagai kerajaan.

Sewaktu kategori akhir ESL, pendebatnya Ameera Natasha Moore, 22, dan Sara Rahim, 20, mengalahkan pasukan Tel Aviv dari Israel dan Leiden A dan Leidin B, kedua-duanya dari Belanda.
Mereka membahaskan usul ‘Dewan ini percaya bahawa Arab Saudi perlu menghadkan penglibatan dalam ibadah haji kepada rakyat negara-negara yang komited menentang IS’ sebagai pembangkang.

Bagi semua kategori, usul hanya didedahkan 15 minit sebelum perbahasan dijalankan dan tiada sokongan elektronik dibenarkan selain kamus elektronik.
Tiada bantuan luar dibenarkan dalam masa persediaan 15 minit.
Antara 128 pasukan yang terlibat adalah Universiti Harvard, Universiti Oxford, London School of Economics, Universiti Toronto, Universiti Tel Aviv, Universiti Cornell dan Kolej Trinity Dublin.

Wanita Islam pertama ke angkasa

Anousheh Raissyan
Anousheh Raissyan


WANITA berasal dari Iran ini menjadi angkasawan wanita Islam pertama ke angkasa. Detik bersejarah itu dilakukan beberapa hari sebelum beliau meraikan ulang tahunnya yang ke-40.
Anousheh melakukan penjelajahan ke angkasa lepas dengan menaiki kapsul Soyuz TMA-9 dari Baikonur, Kazakhstan pada tanggal 18 September 2006.

Kehidupan awal
Anousheh lahir di Mashhad, Iran, dengan nama Anousheh Raissyan pada 12 September 1966.
Pada tahun 1984, Anousheh dan keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) untuk membina kehidupan baharu.
Di AS, Anousheh melanjutkan pelajaran di Universiti George Mason dalam jurusan sains komputer dan kejuruteraan elektrik.
Selanjutnya, beliau meraih ijazah di Universiti George Washington.
Selepas tamat pengajian, Anousheh bekerja di MCI iaitu sebuah syarikat telekomunikasi di AS di mana beliau bertemu dengan suaminya, Hamid Ansari.
Mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun 1991.

Pasang impian ke angkasa
Sejak kecil, Anousheh memasang impian untuk menjelajah ke ruang angkasa selepas melihat bintang-bintang ketika sedang baring bersendirian di balkoni rumahnya di Teheran.
Impiannya itu menjadi kenyataan apabila syarikat yang diusahakannya bersama suami dan adik iparnya, Prodea System menjalin kerjasama dengan Space Adventures dan Agensi Angkasa Lepas Persekutuan Rusia (FSA).
Dalam program Space Adventures, seorang peserta akan dipilih bagi mengikuti penerbangan roket Soyuz ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Pada awalnya, Anousheh dipilih sebagai calon kedua atau pengganti kepada Daisuke Enomoto.

Nasib menyebelahinya apabila Enomoto disingkirkan atas alasan kesihatan dan beliau menjadi calon utama bagi menyertai misi Soyuz TMA-9 bersama dua lagi angkasawan dari Rusia dan AS.  

10 hari di angkasa
Selepas lulus ujian perubatan dan kelayakan, Anousheh akhirnya dipilih bagi mengikuti program angkasa ke ISS.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan beliau menjadi wanita Islam pertama ke angkasa lepas.
"Ini merupakan 10 hari yang hebat bagi saya," kata beliau pada majlis perpisahan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (IPS), tiga jam setengah sebelum pulang ke bumi.
Anousheh pulang ke bumi menggunakan kapsul kecil Soyuz TMA-8 dan ia telah mendarat dengan sempurna di utara Kazakhstan.
Ia kembali dari IPS membawa bersama angkasawan Rusia, Pavel Vinogradov dan angkasawan AS, Jeff Williams.

Kontroversi
Hasrat Anousheh untuk mengibarkan bendera Iran telah dilarang.
Beliau bercadang menggunakan dua bendera iaitu Iran dan AS dalam penerbangannya sebagai tanda penghargaannya kepada dua negara yang menyumbang kepada hidupnya.
Beliau tidak mempunyai sebarang mesej politik, lebih-lebih lagi penerbangannya itu adalah atas biaya sendiri.
adalah hanya untuk menunjukkan kemampuan seseorang mencapai tahap kecemerlangan dalam sains dan perniagaan.

Thursday, 5 November 2015

Kisah Benar Askar Jepun 28 Tahun Hidup Di Hutan Selepas Perang Dunia Kedua


Sudah lebih daripada 60 tahun semenjak Perang Dunia Ke-2 berakhir dengan keputusan peperangan berpihak kepada Tentera Bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Siapa sangka, walaupun perang telah lama berakhir, seorang askar Jepun yang ketakutan telah ditemui bersembunyi di dalam hutan selama 28 tahun, iaitu kira-kira 40 tahun setelah perang berakhir.
shoichi yokoi
Tepat 40 tahun semenjak seorang askar Jepun ditemui di hutan Guam, setelah terselamat dan berada di sana selama hampir 3 dekad selepas berakhirnya Perang Dunia Ke-2.

Beliau diberi sambutan seperti seorang wira semasa ketibaan beliau di Jepun.

Walaubagaimana pun, beliau sering merasai seolah-olah masih belum berasa seperti di rumah dalam keadaan Jepun pada era moden ini.

Selama 28 tahun ini, Shoichi Yokoi, seorang askar berpangkat Lans Koperal dalam pasukan Tentera Jepun semasa Perang Dunia Ke-2 menghabiskan masa dengan bersembunyi di dalam hutan dengan kepercayaan ahli pasukannya akan datang membawanya pulang.




Beliau akhirnya telah ditemui oleh sekumpulan pemburu tempatan di Pulau Pasifik, pada 24 Januari 1972 dan askar yang berusia 57 tahun ini masih lagi beranggapan bahawa hidupnya berada dalam bahaya.

"Dia sangat takut." kata Omi Hatashin, sepupu kepada Yokoi.

Terkejut dengan kehadiran manusia yang sangat ramai setelah bertahun-tahun hidup bersendirian, Yokoi cuba untuk merampas salah satu senapang daripada pemburu berkenaan namun disebabkan faktor pemakanan yang tidak sihat dan lemah, beliau bukan tandingan kepada pemburu tempatan itu.

"Pada masa itu, dia takut pemburu berkenaan akan mengambilnya sebagai tawanan perang - dan merupakan malu yang paling besar bagi seorang Tentera Jepun dan keluarganya yang berada di Jepun." kata Hatashin lagi.

Semasa sekumpulan pemburu itu cuba untuk membawanya pergi melalui kawasan hutan yang berumput tinggi, dia merayu kepada pemburu berkenaan untuk membunuhnya sahaja di situ.

Dengan menggunakan sejarah dan memoir pakciknya, Yokoi selepas dua tahun penemuan beliau, serta testimoni mereka yang menemui pakciknya pada masa itu, Hatashin telah menghabiskan masa selama beberapa tahun untuk menyatukan kembali cerita dramatik pakcik nya itu.

Dia berjaya menerbitkan sebuah buku bertajuk "Private Yokoi’s War and Life on Guam, 1944-1972" dalam Bahasa Inggeris pada 2009.

"Saya sangat berbangga dengan beliau. Beliau adalah seorang yang pemalu dan tenang serta mempunyai kehadiran yang besar." katanya.

Pengalaman pahit Yokoi bermula pada Julai 1944 apabila Tentera US menyerbu Guam sebagai sebahagian daripada serangan mereka terhadap Jepun dalam pertempuran di Pasifik.

Serangan tersebut sangat ganas, bilangan mangsa yang terkorban adalah tinggi pada kedua-dua belah pihak.

Namun, apabila pusat perintah Jepun berjaya diganggu, askar seperti Yokoi dan lain-lain askar dalam pasukan mereka, terpaksa dibiarkan hidup untuk menjaga diri-mereka sendiri.

"Dari awal, mereka mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak dikesan pihak musuh. Mereka memadam bekas tapak kaki mereka apabila mereka melangkah masuk dan bergerak melalui semak." kata Hatashin.

Dalam tahun-tahun awal keadaan Tentera Jepun itu, bilangan mereka semakin berkurangan dengan hanya menjadi beberapa dozen anggota.

Mereka terpaksa menangkap dan membunuh haiwan ternakan penduduk tempatan sebagai sumber makanan.

Bimbang dikesan oleh Tentera US dan penduduk tempatan, mereka membawa diri semakin dalam ke dalam hutan.

Di sana, mereka terpaksa makan katak beracun, belut dan tikus.

Yokoi juga ada membuat perangkap dari buluh untuk menangkap belut.

Beliau juga menggali sebuah lubang perlindungan bawah tanah yang disokong dengan batang buluh yang kuat.

"Beliau merupakan seorang lelaki yang sangat pintar". kata Hatashin.

Membuatkan dirinya sibuk juga dapat membantu beliau melupakan sejenak daripada terlampau berfikir mengenai sanak-saudara atau keluarga di kampung halaman, kata sepupunya itu lagi.

Kembali ke Guam
Memoir Yokoi sendiri juga menceritakan mengenai pengalaman beliau semasa bersembunyi dan mendedahkan keadaan terdesak beliau untuk tidak putus harapan, tambah-tambah lagi semasa tempoh 8 tahun yang terakhir di mana beliau benar-benar hidup keseorangan selepas dua sahabat terakhirnya yang masih hidup, meninggal dunia semasa banjir pada tahun 1964.

Dengan menumpukan fikiran beliau untuk pulang dan berjumpa dengan ibunya yang uzur, beliau sendiri pernah menulis.
"Ia adalah sia-sia untuk membuatkan hatiku sakit dengan dengan perkara-perkara seperti ini."

Pada suatu ketika yang lain, semasa dia dalam keadaan sakit yang teramat sangat di dalam hutan, dia menulis :

"Tidak! Saya tidak boleh mati di sini! Saya tidak boleh mendedahkan mayat saya kepada musuh. Saya mesti pulang ke rumah untuk mati. Saya telah berada sejauh ini untuk selamat dan saya tak boleh sia-sia kan nya sekarang."
Dua minggu selepas penemuan beliau di dalam hutan, beliau akhirnya dibawa pulang ke Jepun.

Beliau telah dikepung dengan pihak media, ditemuramah di televisyen dan radio, dan kerap dijemput untuk memberikan ucapan di universiti-universiti dan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Hatashin, yang ketika itu berusia 6 tahun semasa Yokoi mengahwini makciknya berkata bekas askar memang tidak boleh hidup tenang di dalam kehidupan moden Jepun.

Yokoi tidak kagum dengan pembangunan pesat negara selepas perang dan sekali mengulas mengenai rupa baru matawang 10,000 Yen yang kini dianggap seperti "tidak bernilai" itu.

Menurut Hatashin, pakciknya itu sering bernostalgia mengenai kehidupan pada masa lalu seiring dengan keadaannya yang semakin tua, dan sebelum kematiannya pada tahun 1997, beliau kerap berkunjung ke Guam bersama isterinya.

Beberapa hadiah peninggalannya ketika hayat nya dihutan termasuk perangkap belut ciptaannya sendiri, tersimpan di dalam muzium kecil di pulau itu.







Sumber asal: 1newsonline.com

Monday, 11 May 2015

Lelaki Ini Mencipta Sandal yang Boleh Membesar untuk Membantu Jutaan Kanak-kanak Miskin

elaki Ini Mencipta Sandal yang Boleh Membesar untuk Membantu Jutaan Kanak-kanak Miskin

Kita mungkin mempunyai lebih daripada 1 kasut. Ada yang digunakan khas untuk bersukan, kasut formal untuk ke tempat kerja, kasut riadah dan lain-lain lagi. Tapi tahukah anda, terdapat lebih 300 Juta kanak-kanak miskin di dunia yang tidak mempunyai sepasang kasut pon. Sedar dengan masalah itu, Kenton Lee telah mancipta sejenis kasut yang unik dapat membesar hingga 5 saiz supaya ia boleh digunakan dengan lebih lama lagi.

adjustable-sandal-poor-children-the-shoe-that-grows-kenton-lee-1 
 





adjustable-sandal-poor-children-the-shoe-that-grows-kenton-lee-2 
 adjustable-sandal-poor-children-the-shoe-that-grows-kenton-lee-3 adjustable-sandal-poor-children-the-shoe-that-grows-kenton-lee-4 adjustable-sandal-poor-children-the-shoe-that-grows-kenton-lee-9
Sumber: boredpanda/ amazingnara

Tuesday, 24 February 2015

Kejayaan Bermula Dari Garaj

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
alt
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
alt
 
 
 
 
 
 
 
 

Friday, 2 August 2013

Guru perlu pendedahan semula sejarah Islam


ABDUL AZIZ
ALOR SETAR – Guru-guru yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolah menengah dan rendah perlu diberi pendedahan semula mengenai sejarah Islam yang sebenar.
Pengerusi Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi berkata, usaha itu perlu sebagai langkah utama sejajar dengan tindakan mengkaji semula sejarah Islam dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah.

“Guru-guru agama juga perlu pendedahan dan pengajian semula mengenai sejarah Islam, khususnya semasa zaman sahabat Nabi sebelum disampaikan kepada pelajar.

“Kita perlu laksanakan cadangan ini demi memperbetulkan beberapa fahaman yang kurang tepat dan ada yang didakwa menjurus ke arah fahaman Syiah,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Kulliyah Syariah Kolej Universiti Insaniah berkata, pihaknya sedia membantu jabatan dan agensi berkenaan untuk menjelaskan mengenai peristiwa sebenar semasa zaman sahabat berdasarkan sumber-sumber yang muktabar.

Mengulas mengenai gesaannya supaya kerajaan mengkaji semula buku teks Pendidikan Islam yang dibimbangi turut dipengaruhi unsur Israiliyat dan juga yang menjurus kepada fahaman Syiah, Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu dilaksanakan untuk mengelak timbul salah faham kalangan pelajar.

“Kita nak fokus apa itu Syiah dan apa yang kurang tepat dalam buku teks berkenaan. Kita khuatir kalau pelajar menganggap ia benar.

“Kalau kerajaan setuju, Giptis sedia duduk semeja untuk membincangkan mengenai perkara itu,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya telah membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan berhubung dakwaan itu, beliau berkata, satu aduan secara lisan telah dibuat menerusi telefon, kelmarin.

“Pihak kementerian telah menghubungi saya dan minta penjelasan mengenai perkara itu. Saya dan tiga individu dari Universiti Utara Malaysia (UUM) serta seorang pendakwah bebas akan berjumpa dengan pihak berkenaan di Kuala Lumpur.

“Kita bercakap secara umum dan tidak menuding jari kepada mana-mana penerbit atau penulis. Kita cuma mahu perkara berkaitan sejarah Islam dikaji semula dan memperbetulkan mana yang berkenaan,” katanya.

Giptis gesa kaji semula buku teks



JITRA – Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis) menggesa supaya kerajaan mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.
 Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman.

“Pada saya, mata pelajaran Pendidikan Islam ini perlu disemak dan ditulis semula. Terutamanya berkaitan sejarah Islam semasa zaman Saidina Uthman dan para sahabat nabi.

 “Saya khuatir perkara ini boleh merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap pembunuhan yang dilakukan itu,” katanya pada sidang media di Hotel Darulaman, di sini semalam.

Tambahnya, pelajar di peringkat universiti juga tidak ketinggalan perlu diperjelaskan mengenai perihal Sunni dan Syiah.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat segelintir pemimpin sebuah parti politik terlibat dengan fahaman Syiah, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada individu berkenaan untuk mengaku atau sebaliknya.

“Kita bercakap dalam bentuk umum dan tidak menunjukkan kepada sesiapa. Sebenarnya, ia perlu ditanya kepada diri masing-masing. Sepanjang pengalaman saya di Kuala Lumpur, nampaknya pemuda-pemuda Islam lebih mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah.

“Jadi sudah tentu ada yang terlibat. Cuma kalau ada pun mereka cuba menyembunyikan diri. Kita harap mereka yang berkenaan itu bertaubatlah sebelum mati. Balik semula ke pangkal jalan,” katanya.

Popular Posts