Posted:
22 May 2012 03:19 PM PDT
SHAH ALAM - Walaupun terdapat banyak
percanggahan pendapat seperti yang telah dijangka, apa yang menarik dalam debat
antara Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy
Jamaludin, semalam, adalah persetujuan secara terbuka berhubung dasar pendidikan
negara kedua-dua pendebat.
Debat penuh bertenaga anjuran Sinar
Harian itu berakhir dengan persetujuan bahawa apa yang perlu dinilai semula
adalah kerangka pendidikan tinggi negara secara menyeluruh.
Rafizi menekankan isu Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukan semata-mata untuk menghapuskan hutang
tetapi lebih kepada keadaan ekonomi negara.
Namun, Khairy menegaskan walaupun
penilaian semula model pendidikan tinggi negara sedang dibuat, ia perlu
dilakukan secara realistik dan bukan hanya berdasarkan ‘idea yang dipetik dari
awangan’.
Debat selama sejam setengah yang
berjalan dalam keadaan panas tetapi terkawal itu membuktikan kematangan fikiran
kedua pendebat muda terbabit serta penonton dalam membincangkan dasar pendidikan
negara secara berilmiah.
Sepanjang debat, Rafizi banyak
memberikan contoh keadaan negara lain, seperti Amerika Syarikat (AS) yang
menghadapi masalah bebanan hutang pendidikan tinggi yang tidak mampu dibayar
oleh pelajar sehingga menjejaskan ekonomi negara itu.
“Kita kena rujuk kepada pengalaman
negara lain yang berdepan masalah hutang pelajar. Di AS, hutang pelajar mencecah
AS$2.6 trilion sehingga menjejaskan ekonomi negara.”
Khairy pula dilihat banyak memberi
angka-angka untuk mematahkan hujah Rafizi, termasuk memberikan jumlah besar
sebanyak RM185 bilion setahun untuk pembiayaan semua janji pembangkang untuk
menghapuskan hutang dan memberi pendidikan percuma secara adil kepada semua
pihak.
Sebelum itu, debat dimulakan dengan
Rafizi mengingatkan penonton bahawa Malaysia bermula sebagai negara yang
memberikan pendidikan percuma kepada generasi lama.
“Dulu, masa zaman generasi lama, zaman
bapa Khairy, pendidikan tinggi di negara ini diberikan secara percuma, dan
mahasiswa inilah yang menjadi tulang belakang pembangunan pesat ekonomi negara.
Jadi mengapa ia tidak boleh dilaksanakan sekarang?” soal Rafizi diiringi tepukan
gemuruh penyokongnya.
Namun, Khairy menganggap perbandingan
itu seperti epal dan rambutan.
“Dulu kita mampu bagi pendidikan
percuma sebab kita hanya ada satu IPTA, tetapi sekarang kita ada 20 IPTA dan
puluhan IPTS serta kolej, dengan ratusan ribu pelajar.”
Khairy turut memberi contoh negara yang
memberi pendidikan tinggi percuma yang menghadapi masalah ekonomi kronik
sehingga muflis, seperti Greece.
Tetapi hujah Khairy itu dipatahkan
Rafizi yang kemudian memberi contoh Finland, negara dengan kualiti pendidikan
kedua terbaik dunia dengan ekonomi mapan walaupun menyediakan pendidikan percuma
daripada peringkat tadika hingga ijazah kedoktoran.
Apa pun pendirian Rafizi dan Khairy,
namun apa yang dapat dilihat, kedua-dua pendebat yang kadang-kala menyelitkan
unsur jenaka dan sinis dalam hujah mereka boleh dianggap sebagai perintis kepada
budaya politik baru negara yang lebih segar dan bebas daripada unsur politik
kotor.SH
No comments:
Post a Comment