Thursday, 3 May 2012

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012

Hampir sejuta kunjungi Pesta Buku 2012

KUALA LUMPUR 3 Mei - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012 terus mendapat sambutan apabila hampir sejuta orang mengunjunginya sejak diadakan pada 30 April lalu.
Pengarah Projek PBAKL, Ahmad Fadli Abd. Aziz berkata, kunjungan orang ramai yang berterusan ke pesta buku tersebut menunjukkan minat membaca rakyat negara ini juga kian meningkat.
"Sambutan pengunjung amat menggalakkan terutamanya kelmarin apabila orang ramai mengambil kesempatan pada cuti umum Hari Pekerja untuk mengunjungi PBAKL.
"Pada tahun lepas, kita mendapat penyertaan sebanyak 1.7 juta pengunjung dan jumlah itu dapat diatasi dalam masa berbaki empat hari ini," katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, pengunjung termasuk rombongan pelajar dari pelbagai sekolah seluruh negara membanjiri PBAKL seawal pukul 9 pagi.
Malah, hujan lebat sehingga petang, tidak menghalang semangat mereka untuk mendapatkan buku atau majalah pilihan.
Seorang pengunjung, Muhd. Faiz Azaham, 14, pelajar Sekolah Menengah (SM) Setapak Indah, berkata, pesta buku itu memberi peluang kepadanya mencari buku akademik.
"Pelbagai gerai yang dibuka di sini menawarkan harga berpatutan malah, mereka juga memberikan potongan harga yang istimewa.
"Tidak rugi jika pelajar mengambil kesempatan mengunjungi pesta buku ini," katanya.
Guru pengiring dari Sekolah Kebangsaan Serting Tiga Felda Bandar Sri Jempol, Negeri Sembilan, Shamsul Hilmi Abdul Kadir, memberitahu lawatan tersebut merupakan program tahunan kali kedua yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
"Sebenarnya lawatan ini adalah program tahunan pusat sumber sekolah. Atas permintaan guru dan murid, tahun ini kami sekali lagi mengunjungi PBAKL.
"Tujuan utama lawatan adalah untuk memberi pendedahan kepentingan membaca buku kepada murid," ujarnya.
Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nazatul Husna Saiyudin, 18, berkata, dia amat tertarik dengan buku yang ditemui di situ.
"Generasi muda digalakkan membeli buku berkaitan pemimpin negara sebagai bahan bacaan bagi mengetahui dan mendalami sejarah negara seperti kisah Tun Dr. Mahathir yang dikasihi oleh semua rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, Doktor Umum: Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan antara buku yang berjaya menarik perhatian orang ramai pada pesta buku kali ini.
Buku berharga RM59.90 yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu tersebut mengandungi catatan berkaitan perjalanan hidup bekas Perdana Menteri keempat itu.
Pengurus Kanan Eksekutif MPH Distributors Sdn. Bhd., Khairulnizam Mohammad Yunos yang ditemui berkata, sejak PBAKL berlangsung, sebanyak 100 naskhah telah dijual.
"Kita yakin buku ini akan terjual lebih banyak lagi sebelum hujung minggu ini memandangkan orang ramai khususnya para pelajar sering bertanyakan bagaimana boleh mendapatkannya," kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia  3 Mei 2012

No comments:

Post a Comment

Popular Posts