Friday 19 April 2013

Bekalkan baju pantulan cahaya kepada petugas PRU


Ahmad (empat, kanan) beramah mesra bersama anggota URB.
Ahmad (empat, kanan) beramah mesra bersama anggota URB.
 
JITRA - Setiap parti yang mengadakan kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu membekalkan baju pantulan cahaya kepada penyokong mereka ketika bertugas demi keselamatan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, semua parti terlibat pilihan raya perlu menitik beratkan soal keselamatan ketika bertugas terutama pada waktu malam.

Menurutnya, dengan ini petugas yang diupah untuk menjalankan kempen dilihat berkeadaan selamat ketika melaksanakan kerja-kerja mereka.

“Kita tahu setiap parti yang bertanding akan mengupah individu tertentu untuk memasang bendera parti di seluruh negeri ini namun, soal keselamatan perlu dijaga supaya tidak berlakunya perkara tidak dingini sepanjang berkempen.

“Tindakan melakukan tugasan pada waktu malam dalam kawasan gelap membahayakan petugas yang diupah dan dengan adanya baju ini ia membolehkan pengguna jalan raya melihat mereka serta kemalangan boleh dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam.

Ahmad berkata, sehingga kini keadaan masih aman berikutan tiada berlaku sebarang pergaduhan antara penyokong mahupun pemimpin dari parti bertanding.

“Apa yang pentingnya adalah peraturan yang sudah diuar-uarkan seperti mana pilihan raya sebelum ini harus dipatuhi demi menjaga keselamatan sepanjang PRU13.

“Mana-mana tempat yang tidak dibenarkan untuk menampal logo parti tidak dibenarkan sama sekali dan taklimat akan diberikan kepada wakil parti yang bertanding,” katanya dalam sidang media, di Dataran Darulaman, semalam.

Difahamkan, sebanyak sembilan motosikal Kawasaki Ninja 250 itu dibekalkan untuk daerah tersebut bagi membolehkan aktiviti jenayah dibanteras dengan pantas.

Ahmad berkata, motosikal itu dibekalkan untuk kawasan panas yang sering kali berlakunya kejadian jenayah dan rondaan akan dilakukan serentak melibatkan Taman Tunku Maheran, Taman Sri Aman dan Taman Mahsuri.
“Sebolehnya orang ramai tidak perlu takut dengan polis tetapi perlu bersama-sama polis dalam usaha mengurangi kadar jenayah di kawasan ini.
“Dengan adanya unit rondaan ini, orang ramai boleh menghubungi secara terus kepada unit berkenaan sekiranya berlaku jenayah di sekitar kawasan dan mereka akan tiba di tempat kejadian hanya 10 minit bergantung kepada keadaan tempat serta maklumat disampaikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts