“Some things you must always be unable to bear. Some things you must never stop refusing to bear. Injustice and outrage and dishonor and shame. No matter how young you are or how old you have got. Not for kudos and not for cash: your picture in the paper nor money in the back either. Just refuse to bear them.”
- William Faulkner, Intruder in the Dust.
SAYA rasa
terpanggil untuk menulis kepada Saudari setelah menonton sebuah klip
Youtube bertajuk ‘Forum Suara Mahasiswa Part 4’ bertajuk ‘Seiringkah
Mahasiswa Berpolitik’ yang telah dimuat naik oleh TvMyMahasiswa pada 9
Januari 2013.
Untuk pengetahuan Saudari, saya adalah mahasiswa pasca-ijazah dalam
bidang Pengajian Masa Depan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Selain terganggu dengan ‘ikrar mahasiswa’ untuk ‘menentang demonstrasi
jalanan, anasir luar yang menjadi barah’ dan pelbagai terma pelik yang
tidak pernah saya ikrarkan ketika mengambil ijazah sarjana muda dahulu,
saya lebih tertarik untuk mengulas mengenai komen Bawani kepada
Saudari.
Universiti atau Tadika?
Bawani memulakan komen beliau dengan bertanya kepada Saudari mengenai
tuduhan terhadap Ambiga (Pengerusi bersama Bersih) sebagai pencetus
anarkis di Malaysia dan Pak Samad sebagai pencetus kepada orang-orang
gila yang membuat demonstrasi jalanan. Beliau kemudiannya menjelaskan
kepada sidang dewan mengenai pergerakan Bersih yang menurutnya sah di
sisi undang-undang serta sebuah gerakan non-partisan.
Perkara pertama yang tidak saya fahami ialah mengapa Saudari perlu
turun ke bawah dewan untuk berhadapan dengan Bawani? Adakah sudah
menjadi kebiasaan di Universiti Utara Malaysia (UUM, lokasi forum ini
diadakan) panelis akan turun dan ‘confront’ audien secara berhadapan? Dalam sebuah forum di negara yang matang saya tidak fikir ‘intimidation’ sebegini perlu.
Kemudian Bawani meneruskan komen beliau dengan memberi contoh negara
seperti Argentina, Venezuela dan Brazil yang dikatakan memberi
pendidikan percuma kepada rakyatnya bermula dari prasekolah sehingga
kepada ijazah pertama. Seterusnya Bawani memperkatakan mengenai
keupayaan PTPTN melalui matematik mudahnya iaitu peruntukan sebanyak 10
bilion daripada keseluruhan 200 bilion perbelanjaan Persekutuan dengan
memberi contoh Cuba sebagai negara yang pernah melakukannya. Lebih
menarik Bawani melakukannya dengan membentangkan tahap literasi Cuba
sebagai yang tertinggi di dunia.
Kemudiannya situasi menjadi lebih menarik. Bawani membentangkan GDP
Cuba (saya tertanya-tanya apakah jurusan pengajian saudari Bawani?)
namun malangnya ketika saya teruja untuk mendengar hujah lanjut Bawani,
hujah beliau disambut dengan 10 kali lafaz ‘Listen’ oleh
Saudari! Soalan kedua saya ialah, berapa minit komen yang diberikan
kepada audien untuk bertanya soalan serta apakah tindakan ini dilakukan
semata-mata untuk menutup keupayaan hujah Bawani?
Sebagai ahli akademik saya percaya kepada kebebasan berhujah dan
berbeza pendapat. Saya percaya kewibawaan Saudari akan lebih dihormati
sekiranya hujah dibalas hujah, bukan hujah dibalas ‘Listen’. Lebih ironi, Saudari kemudiannya mengucapkan ‘Let me speak’
sehingga 7 kali! Saya begitu hairan, dalam bidang pedagogi selalunya
perkataan diulang-ulang digunakan hanya untuk anak-anak prasekolah,
bukan mahasiswa dengan fakta literasi dan GDP. UUM ini universiti atau
tadika?
Hujah vs hujah
Seterusnya saya tidak berminat untuk mengulas mengenai hujah balas Saudari kepada Bawani mengenai ‘When I speak, you listen’, ‘jangan samakan negara lain dengan Malaysia’, ‘apa yang kamu buat di Malaysia, go to Cuba, go to Argentina, go to Libya’ (Libya?), ‘you must understand what is democracy, you must understand – what is perhimpunan lebih dari 3 orang di sesebuah tempat’, ‘animals have problem’, ‘kucing ada masalah’, ‘anjing boleh menggonggong’, ‘lembu kambing ada masalah’, ‘kita manusia lebih rakus daripada ikan’, ‘and you tau tak binatang apa yang paling banyak sekali masalah?’, ‘pernah makanshark finn?’ atau ‘you are very much to go to another university’.
Saya tidak nampak kaitan fakta yang dibentangkan oleh Bawani bermula
dari jumlah perbelanjaan negara serta idea untuk pendidikan percuma
sehingga kepada GDP negara Cuba dengan jawapan Saudari seperti ‘pernah
makan shark finn?’. Saya cuma terkesan apabila Bawani cuba
menggunakan bahasa Melayu asas dengan saudari, saudari balas dengan
bahasa Melayu rojak.
Saya fikir bukan ini caranya seseorang dengan status ‘degree holder’
seperti Saudari berhadapan dengan mahasiswa seperti Bawani. Saya
sendiri tidak berapa setuju dengan hujah Bawani. Faktor sosial, budaya
dan georgrafi negara kita sangat berlainan dengan Cuba dan tidak
memungkinkan perumpamaan mudah GDP untuk digunakan sebagai hujah.
Walaubagaimanapun saya percaya Malaysia sedang mengalami fasa-fasa
menuju kematangan demokrasi. Oleh yang demikian di dalam sebuah
universiti yang subur budaya ilmu dengan golongan intelek dan
terpelajar, hujah perlu dijawab dengan hujah, bukan dengan ‘When I speak, you listen!’.
Fungsi Mahasiswa
Saya kini dengan rendah diri ingin mengajak Saudari kembali merenung
fungsi golongan mahasiswa. Saya percaya ilmu yang terbaik ialah ilmu
yang kembali kepada masyarakat. Oleh yang demikian graduan yang paling
bermanfaat ialah graduan yang kembali ke masyarakat untuk menyelesaikan
1001 masalah negara.
Dalam Indeks Kebebasan Media, kita berada pada kedudukan 122, di bawah
Sudan dan Congo. 10 tahun kebelakang ini berdasarkan Bank Dunia,
kenaikan gaji purata rakyat Malaysia hanyalah 2.6% di belakang kadar
inflasi iaitu 2.8%. Data Epu/HIS menyatakan jurang pendapatan di
kalangan rakyat semakin meningkat dengan 52.8% isi rumah memperoleh
pendapat kurang daripada RM 3000 sebulan.
Kedudukan Malaysia di dalam indeks pendidikan antarabangsa seperti
PISA dan juga TIMSS juga turun mendadak (PISA 2009, 55 daripada 74
negara; TIMSS 2011 – Matematik daripada 519 kepada 440, Sains daripada
492 kepada 426). Inilah masanya untuk kita gunakan mahasiswa sedia ada
dalam bidang masing-masing samada pendidikan, ekonomi mahupun sains
sosial untuk berdebat dan berhujah tentang masalah-masalah tersebut.
Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, ketakutan saya ialah
apabila mahasiswa yang ada kini sibuk bermain Dota, Facebook, menonton
Raja Lawak atau sibuk memuat turun siri kegemaran drama Korea. Graduan
harus berfikir lebih jauh daripada kerja, kahwin, beli kereta, rumah
dan ‘settle down’.
Fungsi mahasiswa yang sebenar ialah melibatkan diri dengan keputusan
kerajaan serta memperkasa masyarakat dengan melengkapkan mereka dengan
isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal serta golongan
tertindas. Golongan terpelajar ini kelak akan memimpin negara,
seharusnya asas perjuangan mereka sejak dari awal diletakkan lebih besar
dari berkhidmat kepada diri sendiri.
Apa selepas ini?
Saya tidak menulis mewakili Bawani. Jauh sekali mewakili mana-mana
gerakan mahasiswa dalam negara. Saya hanya menjalankan tanggungjawab
kerana rasa terpanggil akibat status saya sebagai mahasiswa juga. Dan
semestinya lorong menggerakkan mahasiswa dan perubahan itu pelbagai.
Saya setuju tidak semestinya gerakan mahasiswa itu terdorong untuk
berjuang atas ‘politik-merengek’ sahaja, baring-baring atas jalan raya,
demonstrasi ataupun berkhemah di Dataran Merdeka.
Tetapi saya juga percaya gerakan yang sama juga tidak akan terbina
hanya melalui lawatan ke rumah anak yatim, rumah angkat di kawasan
pedalaman (tanpa meremehkan prorgram terbabit) ataupun program-program
dalaman universiti ala-ala sambutan tahun baru yang membosankan. Saya
percaya asas kepada perjuangan mahasiswa ini ialah ilmu dan sikap. Saya
menjemput Saudari untuk membaca karya Ali Shariati khususnya makalah
ringan ‘Ideologi Kaum Intelektual’. Namun jika Saudari begitu sibuk
dengan persatuan ‘Suara Wanita 1 Malaysia’, saya sedia meminjamkan buku
tersebut untuk dibaca oleh saudari.
Saya juga percaya sebenarnya banyak forum-forum sebegini diadakan di
seluruh negara namun mereka bijak kerana tidak memuat naik ke atas
talian. Malah perkara yang paling sedih dan memalukan ialah sikap
mahasiswa di dalam dewan yang bertepuk tangan dan menjerit menyatakan
sokongan ketika Sharifah memalukan Bawani dengan serangan peribadi.
Berbanding dengan kemarahan warga Internet melalui Twitter dan
Facebook; saya melihat jalan ke hadapan mahasiswa untuk berubah masih
panjang dan penuh ranjau. Bayangkan dalam dewan dengan 2300 warga
mahasiswa, mereka hanya mampu memeluk diri, tersenyum dan menepuk
tangan ketika Bawani diperlakukan sedemikian rupa di dalam institusi
pengajian tinggi mereka.
Untuk Saudari Sharifah, saya menunggu balasan daripada Saudari.
Mungkin jika Saudari berkelapangan saya akan usahakan agar sebuah forum
lanjutan dapat diadakan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya untuk
menggalakkan penggunaan akal, etika dan anti korupsi di kalangan
mahasiswa 1 Malaysia. Saya akhiri surat ini dengan bait dari Buya Hamka;
Kalau hidup sekadar hidup,
babi di hutan juga hidup.
Kalau bekerja sekadar bekerja,
kera di hutan juga bekerja.
Izinkan saya menyambung sedikit kiasan Buya Hamka di atas;
Kalau mahasiswa setakat belajar,
Lembu di padang juga belajar.
(Selain belajar untuk membuang air, lembu juga belajar untuk membiak)
*
Zul Fikri Zamir Mohamad Munir ialah kolumnis di The Malaysian Insider
serta Co-Founder Teach For The Needs (TFTN), sebuah gerakan aktivis
pendidikan yang boleh dicapai di www.teachfortheneeds.org
No comments:
Post a Comment