Sunday, 13 January 2013

Kesan sampingan ‘memanaskan’ enjin

 


Ramai pemilik kenderaan percaya bahawa enjin perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Adakah amalan itu sesuatu yang baik atau sebaliknya?
Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sesuatu destinasi. Ada yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5 minit. Ada yang hidupkan enjin kereta dulu, masuk rumah, sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk kereta untuk memulakan perjalanan.
Soalnya sekarang adakah memanaskanenjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa keburukannya?
Di negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya ditegah.
The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di tahap -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya.
Salah seorang jurutera di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata, Engines run best at their design temperature. Berdasarkan kenyataan tersebut, operasi enjin yang efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin anda di dalam keadaan idle bukanlah cara yang terbaik untuk memanaskan enjin.

DINDING SILINDER CEPAT HAUS
Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan idle sebenarnya tidak mendatangkan faedah. Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahan api tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung (Oil Pan) minyak pelincir. Akibatnya minyak pelincir akan cepat tercemar.

PALAM PENCUCUH CEPAT KOTOR
Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah gangguan suhu-kerja palam pencucuh (Spark Plug). Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan mendatangkan kesan kepada peningkatan penggunaan bahan api, dan jangka hayat palam pencucuh itu sendiri.

PAIP EKZOS CEPAT BERKARAT
Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan idle, maka bertambah lamalah masa yang diambil untuk enjin panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.

PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Kebanyakan sistem ekzos kenderaan hari ini dilengkapai dengan apa yang disebut Catalytic Converter. Tujuannya ialah untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya.
Catalytic Converter 22
Dengan membiarkan enjin berada dalam keadaan pepura (idling), komponen ini tidak berfungsi, dan akan menambah lagi pencemaran udara. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana ia boleh beroperasi (400 – 600 darjah), kereta perlu dipandu dan BUKAN meninggalkan kereta dalam keadaan statik. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan idling maka semakin lama jugalah Catalytic Converter “tidur” dan tak bekerja. Kalau dibiarkan berterusan, apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar, dan umat manusia yang akan datang?

APA YANG HARUS DILAKUKAN
Setelah mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin, adakah anda akan terus mengamalkannya?
Atau mengamalkan apa yang disyorkan di bawah ini!
Apabila enjin tidak dihidupkan dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelincir akan turun meninggalkan komponen bergerak (Moving Parts) di dalam enjin dan bertakung dalam takungan bawah enjin (Oil Pan).
Oleh itu, setelah enjin dihidupkan, ambillah sedikit masa – 20 hingga 30 saat – untuk minyak yang bertakung dalam Oil Pan naik ke atas dan melincirkan komponen enjin.
Bagaimana ianya dilakukan?
Setiap enjin dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir (Oil Pump). Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Adakah tujuan ini akan tercapai dengan hanya membiarkan enjin berada dalam keadaan idle untuk jangka masa lama?
Apa yang boleh dipelajari dari artikel ini?
Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin diwaktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita rakyat Malaysia.
Setelah memahami kesan sampingan memanaskan enjin yang merugikan - terhadap kenderaan dan alam sekitar – adakah sikap pemilik kenderaan akan berubah?
Tepuk dada tanya selera.


No comments:

Post a Comment

Popular Posts