Tasmania: Sambil
berpelukan erat dalam air dengan wajah ketakutan, keluarga ini terpaksa
berlindung di bawah jeti lebih dua jam ketika kebakaran hutan Australia
memusnahkan bandar tempat mereka tinggal.
Ketika api membakar
kediaman mereka, Tammy dan Tim Holmes membawa lima cucu mereka ke
satu-satunya tempat yang diharapkan tidak terkena api.
Dengan oksigen makin
berkurangan dalam udara yang tercemar itu, mereka berpaut pada struktur
kayu berkenaan dan berpelukan semasa sendiri sebagai sokongan ketika
harapan untuk keluar dari bencana itu kian tipis. Pada satu ketika, api
turut membakar jeti terbabit dan memaksa Holmes menceduk air dari laut
untuk memadamkan api itu.
Akhirnya, selepas dua jam
setengah dalam air, Holmes berjaya mendapatkan sampan kecil yang
digunakan mereka untuk melarikan diri ke hotel di luar zon kebakaran.
Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak terbabit, Bonnie Walker bimbang keluarganya sudah terbunuh.
Dia meninggalkan anaknya,
Charlotte, dua; Esther, empat; Liam, sembilan, dan Matilda yang berusia
11 tahun serta Caleb, enam tahun di bawah jagaan ibu bapanya ketika dia
menghadiri majlis pengebumian.
Bonnie memberitahu dia
memandu ke majlis pengebumian di Hobart ketika api membakar di kedua-dua
belah jalan raya dan melepasinya sebelum api sampai di jalan raya dan
memisahkan dia daripada keluarganya.
Dia memberitahu rangkaian
ABC Australia: “Kami hanya menunggu di telefon dan menerima mesej pada
jam 3.30 petang mengatakan ibu dan bapa sudah dipindahkan, mereka
dikelilingi oleh api. Saya terus berdoa.
“Jadi, saya menguatkan semangat menerima kenyataan mungkin kehilangan anak dan ibu bapa saya,” katanya.
Dengan bekalan oksigen
makin berkurangan dalam udara yang tercemar, Bonnie berkata, bapanya,
“berusaha berdepan dengan risiko” untuk mendapatkan sampan kecil dari
pantai.
Holmes memberitahu
bagaimana dia mengarahkan isteri, cucu dan anjing peliharaan, Polly ke
jeti berdekatan apabila melihat asap dari hutan yang terbakar di
bumbung.
Walaupun tiga jentera
bomba tiba, lelaki berusia 62 tahun itu, menyedari dia tidak dapat
mempertahankan kediaman yang dibinanya sendiri itu.
“Saya melihat ke arah
anggota bomba dan berkata, “Saya perlu pergi kepada Tammy dan
kanak-kanak itu,” katanya kepada West Australian.
“Selama dua jam setengah
berikutnya, kami berpelukan di bawah jeti ketika kebakaran kian marak
dan menyebabkan asap tebal, abu dan sisa kebakaran yang menyebabkan kami
kekurangan oksigen.
“Ada masa, kami perlu
masuk lebih dalam di permukaan air kerana ia terlalu panas dan ada juga
ketika, jeti itu turut terbakar. Saya dapat menceduk sedikit air dan
menyimbahnya ke jeti untuk memadamkan api itu,” katanya. - Daily Mail
No comments:
Post a Comment