PASIR GUDANG – Kementerian Pengajian Tinggi kesal dengan insiden
bertikam lidah antara Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah
Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dengan pelajar undang-undang Universiti
Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang menjadi perhatian banyak pihak.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kejadian itu
sesuatu yang malang dan tidak sewajarnya berlaku khususnya di dalam
universiti.
Beliau menegaskan, kenyataan menerusi klip video berdurasi 24 minit di internet itu tiada kaitan dengan kerajaan.
“Ada pelbagai aktiviti diadakan di universiti anjuran pelajar sendiri
dan jangan anggap semua berlaku di universiti anjuran kerajaan atau
kementerian.
"Masalahnya ialah apabila insiden seperti ini berlaku seolah-olah
kerajaan yang atur dan menyuruh Sharifah yang bercakap seperti itu yang
berkehendakkan minda pelajar disekat dan ditutup," kata beliau.
Khaled berkata, "Sharifah bukan tenaga akademik dan bukan kakitangan
kementerian atau UUM, dia dijemput oleh pelajar untuk menjadi moderator,
dari mana dia datang saya tidak tahu."
“Insiden ini sesuatu yang malang yang tidak sewajarnya berlaku dalam
universiti,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Restoran Warisan
Senibong, di sini, hari ini.
Khaled biarpun kecewa dengan insiden itu, kementeriannya tidak
berhasrat menyekat kebebasan bersuara atau program-program percambahan
idea di universiti.
“Memang kadang-kadang cara pelajar itu, cara mereka menyoal dan cara
mereka menunjukkan pemerhatian dan kesedaran mengenai perkara yang
mempunyai hubung kait dengan mereka atau pembangunan negara.
“Kita akan teruskan program yang mana pelajar dibenarkan menganjurkan
pelbagai aktiviti, boleh bersuara, beri pandangan dan pendapat
sebebas-bebasnya dalam universiti, namun pihak-pihak ini perlu lebih
sensitif,” katanya.
Akuinya, ada cubaan mengaitkan insiden itu dengan kerajaan, yang disifatkannya kebenaran akan terjawab kelak.
"Kecenderungan untuk mengait semua perkara adalah punca pasti berlaku
sebab kita hendak pilihan raya, hendak cari isu salahkan kerajaan.
“Kita tahu logo 1Malaysia hak semua rakyat Malaysia, yang boleh dipakai
oleh semua dan SW1M bukan kerajaan yang wujudkan,” katanya.
Video klip Bawani yang heboh dibincangkan di laman sosial dan dimuat
naik di Youtube mengundang reaksi pelbagai pihak yang menyatakan rasa
tidak puas hati terhadap jawapan dan tindakan Sharifah Zohra kini
terkenal dengan perkataan 'Listen!' sebagai protes terhadap perbuatan
itu.
No comments:
Post a Comment