Wednesday 20 March 2013

Sepatah Kata Untuk ISMA alias Berjasa

Barang kali saya tidak perlu membongkar 'rahsia' Dr Mohd Asri Zainal Abidin seperti dijanjikan dalam catatan awalnya kerana apa dimaksudkan rahsia itu sudah terbongkar. Beliau terlebih dahulu mendedahkan rahsianya di dalam twiternya kemudian sudah dihighlightkan oleh beberapa protal berita.

Yang saya maksudkan sebagai rahsia bukan penegasannya tidak akan bertanding di dalam pilihan raya akan datang, tetapi perjumpaannya dengan Najib Razak. Bagi saya perjumpaan itu menarik dan memberi (mungkin) idea menjadikan beliau membuat keputusan tidak mahu terlibat dalam pilihan raya.

Secara peribadi saya setuju kalau beliau tidak terlibat dalam pilihan raya. Biarlah dia kekal berada, berstatus seperti sekarang ini. Harga dirinya lebih mahal dan dia akan menjadi 'hak' semua. Ilmunya tidak dikotori dengan unsur dan elemen politik. Kalau beliau menyertai politik hanya segolongan saja akan menerimanya dan dia juga akan terkena najis siasah yang sukar untuk disamak.

Malaysia politiknya masih belum matang lagi. Kalau kita menyertai sesebuah parti kita akan dikeji dan dikecam sampai ke akhirnya oleh parti yang menjadi musuh kita. Dari segi ilmu mungkin boleh tetapi sosial politik sukar dipraktikan. Maksudnya kita boleh berada di satu pentas wacana tetapi tidak di bawah satu wadah membawa kebajikan kepada rakyat.

Jadi keputusan Asri itu tepat. Cuma apa yang hendak saya sunggungkan - kalau boleh beliau menulis, mendedahkan apakah isi pertemuan beliau dengan Najib tempoh hari. Tentu percakapan beliau dengan Najib ada perkara dan sudut yang boleh dimanfaatkan tanpa merendahkan sesiapa.

Saya tidak fikir pertemuan itu tiada ole-ole dari Najib untuk Asri. Setidak-tidaknya diberi masa dan bahan untuk difikirkan. Semoga sahaja bahan itu ada, dan ianya memberi faedah kepada kita semua. Asri akan menatijahkan juga itu suatu hari nanti.

(ii)
Rupanya catatan saya mengenai Asri itu bukan saja mendapat perhatian oleh pemerhati politik dan peminat Asri. Tetapi ia juga menjadi perhatian ahli-ahli ISMA atau Ikatan Muslimim Malaysia. Sekurang-kurang ada tiga orang (ahli?) ISMA membuat teguran dan penjelasan berhubung sentuhan secara tidak langsung mengenai seperti mana saya catatkan. Satu teguran saya publish dan satu lagi saya buang.

Seorang menasihat saya agar tidak memfitnah dan mengambil kira bahawa setiap butir huruf di keyborad akan dikira dan dihitung akan dosa dan pahalanya. Terima kasih kerana mengingatkan itu. (Inilah baru saya tahu bahawa mengetuk keyboard itu juga termasuk dalam dosa dan pahala). Betapa pun kita akan terlupa dengan hal-hal begitu. Surah al Ashr memberi pernyataan jelas akan perkara ini. Mungkin saya tidak pernah membaca suruh itu di sepanjang hidup saya?

Beliau lalu menghuraikan satu persatu apa yang saya fitnahkan itu. Apa yang dapat saya fahamkan dia tidak faham dengan bentuk penulisan saya, mengenai dialog saya dengan Asri itu yang berbentuk agakan dan spekulasi. Saya bertanya Asri siapakah wakil ISMA yang menjadi panel? Saya agak Abu Zaik (presiden) ke atau Aminruddin (setiausaha)? Saya hanya mengagak dan bukan mengatakan salah seorang mereka yang menjadi ahli panel.

Terus terang saya kata saya hanya kenal dua nama itu saja dalam ISMA. Adapun nama Hazizi yang menjadi ahli panel itu hanya baru itu pertama kali mengenalinya.

Ahli ISMA itu beranggap saya membuat fitnah hal itu lantas mengingatkan saya. Macamlah dia alim sangat dan terlindung dari dosa kecil dan dosa besar. Inilah sikap dan perangai pendakwah kita yang merasakan dirinya sudah perfect. Tidak mengapa saya terima. Saya anggap teguran itu ikhlas walaupun teguran itu sebenarnya tidak berasas dan dari seorang yang tidak faham penulisan saya.

Teguran dan penjelasan ahli ISMA bernama Dr  Nizam Zakaria di bawah ini saya kira lebih bermutu dan ikhlas.


Salam tuan MSO,
Saya pembaca tulisan penulis sejak tahun 98 lagi. Tapi inikali pertama terpanggil untuk meninggalkan komen. Terutama apabila penulis menulis tentang ISMA. Benar, saya seorang ahli ISMA dan terpanggil untuk menjawab apa yang penulis lakarkan dalam entry ini. Saya meraikan perbezaan pandangan dan kebebasan akan dan pendapat. Namun ia wajar diikuti dengan tanggungjawab dan kejujuran. Tudahan penulis terhadap ISMA menerima duit dari UMNO adalah tidak benar. Tidak wajar dikaitkan semua yang tidak bersama dalam pakatan sebagai agen UMNO. Ia adalah kesilapan yang merendahkan akal manusia. Ia juga berbau fitnah yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah. Menerima bantuan kewangan dari JAKIM dan sebagainya sebagai sebuah NGO bukan seerti dengan suapan UMNO. ISMA adalah NGO yang menggunakan manhaj tarbiyah mendidik manusia. politik hari ini hanyalah sebahagian kecil dari projek dakwah kami. Boleh berkenalan dengan kami lebih lanjut sekiranya mahu. 
Terima Kasih, Wallahu a'alam. 
Saya tidak mahu mengulas teguran Dr Nizam ini dan anda boleh nilai sendiri dengan membaca balik dialog saya dengan Asri dalam intry terdahulu serta mengintai kegiatan dakwa dilakukan oleh ISMA dan mengkaji sejauh mana serius tuduhan saya itu. Kalau kita bertanya dan mengkaji apakah tujuan ISMA mengambil Berjasa untuk bertanding dalam pilihan raya sudah dapat diketahui ke mana hujung jatuh dan niat ISMA ini. ISMA sudah berjeluah dengan politik?
Orang menilai kita bukan apa yang ada dihati kita atau nawaitu kita, orang menilai dan menghukumnya terhadap apa yang kita buat dan kita ucapkan. Saya lebih melihat ISMA dari perbuatannya bukan niat. Kecewalah kalau Nizam mengharapkan orang menilai ISMA menerusi niatnya. Niat ada sesuatu yang bersifat ghaib.
 
Saya menghormati dan sanjung kalau ISMA berdiri sebagai sebuah wadah untuk menjernihkan politik orang Islam di negara ini. Saat sesetengah cerdik pandai hilang kepercayaan kepada PAS dan Umno parti Melayu dan Islam kehadiran ISMA merupakan satu rahmat. ISMA boleh jadi penjernih politik walaupun mustahil boleh jadi penyatu hubungan politik. Apabila ISMA melibatkan diri dalam politik nawaitu asal tadi sudah tercemar.
Apabila ia juga ikut terlibat dengan politik, apa lagi penyertaannya dengan tujuan menganggu sesuatu pihak dalam mengaut undi Melayu dan Islam, maka ISMA tidak dapat mengelakkan dirinya menjadi alat kepada mana-mana pihak dan menjadi musuh kepada pihak lain. Pasti bagi PAS yang juga berjuang atas nama Islam merasakan kehadiran itu sebagai pengacau.
Saya yakin apabila ada ahli ISMA bertanding atas Berjasa ia akan menyebabkan orang PAS khasnya, terasa hati. Mereka mengetahui siapa dan apa Berjasa itu. Berjasa ditubuhkan tahun 1978 menjadi alat dan perkakas kepada Umno untuk menumbangkan PAS. Dengan mengambil Muhammad bin Nasir (tokoh yang dijulang jujur oleh Umno sebaliknya pengkhianat bagi PAS) sebagai tokoh Berjasa meranapkan kerajaan PAS di Kelantan.
Nah, sifat dan peranan Berjasa itu masih kekal sampai ke hari ini cuma dalam konteks berbeza. Ahli  ISMA tidak boleh berbohong akan nawaitu politik ini. Kalau pimpinan ISMA menafikan ia adalah satu penipuan besar kepada ahli-ahlinya.
Mengenai tanggapan saya menuduh ISMA mendapat duit dari Umno yang sangat dikesali itu, sukacita saya jelas ia dalam hubungan politik. Kalau ahli ISMA sudah bergabung dengan organ politik, tidak boleh tidak masalah kewangan tetap akan timbul dan terkait sama. 
Pilihan raya memerlukan kewangan besar. Saya tidak fikir ISMA mempunyai kewangan yang cukup. Dalam hal ini kerana Berjasa itu 'berkerja' untuk Umno maka bantuan kewangan tidak dapat tidak akan disalur. Kalau bukan direct dari ibu pejabat Umno tetapi dari orang Umno tertentu. Rasanya saya boleh tunjuk siapa individu yang sedia membantu.
Mungkin ahli ISMA akan berkorban mengeluarkan duit, tetapi apakah ia cukup mencapai maksud melalui strategi itu? Dan kalau bertanding setakat nak jual lambang Berjasa rasanya tidak payah. ISMA harus menetapkan ia boleh menarik 10 atau 20 peratus undi Melayu untuk mengalahkan calon bukan Melayu. Bagaimana pula kalau pertandingan itu berlaku di antara PAS dengan MCA yang didokong oleh Umno?Di mana garis tengah ISMA kalau ini berlaku?
  
Kita harus jujur dan terbuka dalam soal ini. Adalah lemah akalbudi kalau ISMA menyertai politik, meletak calon menerusi Berjasa untuk pecah undi sedang ianya membelanjakan wang ringgit sendiri. Apakah ini dikatakan manhaj dakwah ISMA? Rasanya ISMA lagi terhormat kalau mengecualikan diri dari paera 'berjois' politik seperti dilakukan Mohd Asri Zainal Abdin. Harap ISMA fikir kembali untuk meletak calon penganggu dalam pilihan raya akan datang.  Saya bimbang nama baik dan penghormatan ISMA selama ini tiba-tiba menjadi hamis pula.
Masa masih ada untuk bermahasabah!
 
MSO.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts