Sunday 3 March 2013

Pengusaha kuari pasir degil, angkut pasir seperti biasa


Pengusaha kuari pasir masih degil
Lori mengangkut pasir
 
WANG TEPUS, Kubang Pasu - Ibarat mencurah air ke daun keladi. Itulah perumpamaan sesuai terhadap pengusaha kuari pasir yang dilihat hanya mematuhi kehendak penduduk untuk beberapa hari sahaja di Kampung Kota Mengkuang dan sekitar, dekat sini, semalam.
Tinjauan mendapati, operasi mengangkut pasir dari perusahaan di kawasan berkenaan dilihat masih berjalan seperti biasa pada waktu kemuncak walaupun sudah beberapa kali dibantah penduduk kampung.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan  Penghulu Haji Darus, Shafizan Taib berkata, lori yang mengangkut pasir menggunakan jalan terbabit masih beroperasi sebelum jam 8 pagi.

Menurutnya, pihaknya sebelum itu sudah mengadakan perbincangan bersama perusahaan di sekitar berkenaan kerana menyedari kehadiran kenderaan terbabit dilihat mengganggu penduduk untuk keluar melakukan tugasan harian.

“Memandang operasi ini berlaku seawal pagi ia dilihat bertembung dengan waktu kemuncak penduduk sekitar keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Lebih membimbangkan tahap keselamatan pelajar turut terancam kerana ada sebahagian pelajar menggunakan laluan ini ke sekolah setiap hari,” katanya.

Darus berkata, pihak terbabit sepatutnya membuat pemantauan terhadap kapasiti penduduk yang menggunakan laluan itu pada waktu tersebut dan perlu bertimbang rasa terhadap keadaan itu.

“Saya tidak menafikan kehadiran kenderaan ini mengganggu urusan penduduk kerana kebanyakan kemalangan yang berlaku di kawasan ini melibatkan lori pasir.

“Keadaan ini ternyata membimbangkan penduduk setempat dan pihak terbabit seharusnya memikirkan mengenai soal keselamatan bukannya mengejar keuntungan semata-mata,” katanya.

Laluan utama lori pasir
Penduduk, Osman Saad, 42, berkata, jalan penduduk yang menghubungkan Wang Tepus dengan Tanah Merah turut menjadi laluan utama kenderaan terbabit menjalankan operasi mereka setiap hari.

“Penduduk bimbang setiap kali menggunakan jalan itu dan khuatiri sekiranya kejadian yang berlaku sebelum ini sehingga melibatkan kematian.

“Sememangnya penduduk tidak menginginkan kejadian seperti ini tetapi sebelum keadaan bertambah teruk lebih baik kita mencari penyelesaian untuk mengelakannya daripada berlaku kejadian seperti ini,” katanya.

Katanya, pihak terlibat perlu mengadakan pemantauan dan mengenakan tindakan tegas kepada pihak berkenaan supaya operasi tersebut berjaya dikurangkan demi keselamatan penduduk.

“Bukan penduduk tidak membenarkan langsung operasi ini dijalankan sebaliknya perusahaan terbabit perlu mematuhi kehendak penduduk dan sikap bertolak ansur sudah diberikan namun mereka gagal memberi respons yang baik.

“Kami tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menghalang mereka, tetapi berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan terhadap mereka terlibat,” katanya.
 
Operasi seawal jam 6 pagi
Pekerja kontrak, Senawi Omar, 67, berkata, penduduk berhampiran jalan sering kali mendengar deruman enjin kenderaan berkenaan yang menjalankan operasi mengangkut pasir seawal jam 6 pagi.

Menurutnya, waktu itu merupakan kemuncak untuk penduduk kampung melakukan tugasan seharian dengan menghantar anak ke sekolah dan keluar bekerja.

“Keadaan dilihat terganggu kerana kehadiran lori pasir menyebabkan kesesakan dan keadaan menjadi lebih kelam kabut sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Katanya, disebabkan kerana hanya ingin mengejar keuntungan semata-mata terdapat banyak kemalangan yang berlaku di sekitar kawasan tersebut.

“Penduduk mengambil inisiatif membuat satu papan tanda amaran namun ia hanya dilihat sebagai penghias bahu jalan kerana kebanyakan mereka mengabaikan papan tanda itu,” katanya.

Difahamkan, kehadiran lori pasir di sekitar kawasan berkenaan membuat penduduk setempat berang dengan operasi mengangkut pasir yang dijalankan kerana mengakibatkan kemalangan maut mengorbankan rata-ratanya penduduk setempat.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts